Tuesday, March 22, 2011

Hairan

Jika boleh bercakap, mengapa harus menengking? Suasana yang tidak kondusif untuk membina minda yang progresif. Setiap hari risaukan permulaan yang hitam dan perit. Hairan bagaimana manusia seperti mereka mampu hidup di bawah bumbung hitam yang pekat legam. Tidak bisakah berbicara bagai manusia yang punya hati dan perasaan? Seakan-akan mereka dahulunya begitu sempurna, tiada cacat cela. Manusia mudah lupa, sudah dapat menggapai langit, lupa pada daratan yang dahulunya tempat berpijak. Semoga aku tidak akan sekali-kali tergolong dalam kelompok itu.

Jika di Ireland dahulu, berdasarkan pengalaman yang serba singkat itu, aku dapati jabatan ini lebih bahagia. Daripada intern sampailah kepada consultant, semuanya baik belaka. Setiap hari menguntum senyuman manis, mendamaikan jiwa. Jururawat juga kebanyakannya baik dan sangat merendah diri, walau pengalaman bertahun-tahun di situ. Tidak seperti di sini, specialist bukan main lagi garang, bagai singa yang menunggu untuk membaham mangsanya. Baru sahaja membuka kad pesakit sudah dikatakan mengambil masa lama. Apakah yang mereka harapkan daripada kami yang baru hari pertama atau kedua bekerja di klinik itu? Jadi superman yang superfast kah?

Mereka yang diharapkan dapat membimbing kami pula dikhuatiri menghidap PMS selalu. Tidak semena-mena terdengar pekikan mereka menghiasi wad yang gloomy itu. Tahulah mereka stress, tapi perlulah pandai menguruskannya, bukannya dilempiaskan pada kami yang setahun jagung ini. Lagi sekali, seakan-akan mereka begitu sempurna semasa mereka menjadi kami. Manusia yang berulang-kali mengatakan bahawa dia tidak pernah mengadu domba rupa-rupanya lebih daripada itu. Terbongkar wajah sebenarnya saat kami meluangkan masa bersama kakak kerani yang serba tahu itu.

Mengapakah mereka memilih untuk hidup dalam suasana begini, sedangkan mereka ada pilihan untuk hidup dengan lebih tenang, tidak menyakiti dan tidak disakiti? Aku sangat tidak faham.

Dalam keadaan yang masih tidak difahami ini, masih ada manusia yang berhati mulia. Kebanyakannya yang berstatus junior. Posting pertama dan kedua. Kami menjadi gang, yang memahami antara satu sama lain, yang sama-sama pernah ditengking dan dipergunakan sehabisnya. Yang menjadi mangsa insan-insan yang sering menyakiti itu. Ternyata kami amat memerlukan antara satu sama lain. Tak sabar menanti rakan-rakan dari jabatan sebelum ini yang bakal mengisi jabatan baru ini.

Alhamdulillah berjaya off tag Jumaat lepas. Jawab viva macam apa saja, tapi jauh di sudut hati aku yakin bahawa aku layak untuk lulus, melainkan kalau examiner mahukan perfection. Sabtunya kami tiga beranak ke kenduri kesyukuran ibu saudaraku. Hmm…tidak tahu apa yang patut kurasa. Hairan bagaimana mereka semua boleh tahu pasal perkara itu. Berduyun-duyun pula mereka menasihatiku itu dan ini. Hakikatnya none of them are or were doctors. So do they really know how I live and how I suffer?

Pertemuan itu memang sudah ditentukan Allah, cuma destinasi seterusnya yang belum nampak. Sudah tentu mengharapkan sesuatu, tetapi bilakah masa yang sesuai untuk mengenalpastinya? Ya Allah, tunjukkanlah daku jalan yang benar, aku memerlukan sesuatu daripadanya, namun aku khuatir bahawa bukan itu yang terbaik buatku…

No comments:

Post a Comment