Wednesday, March 28, 2012

Pelanggan Yang Sukar

Jika dalam hati sudah tersimpan perasaan tidak senang, pasti mudah benar ternampak kekurangannya. Namun jika dalam hati masih ada ruang untuk menerima dengan keterbukaan, pasti yang kurang itu kecil baginya.

Kali ini kami terpaksa berhadapan dengan pelanggan yang paling sukar.Mereka telah migrate ke negara lain namun masih angkuh menyatakan bahawa gaji kami mereka yang bayar.Mereka mahukan layanan kelas pertama dikala berada di kelas ketiga. Salah masuk tempatkah? Mereka tidak sedar bahawa Tuhan sedang menduga mereka melalui insiden tersebut tetapi mereka masih sombong mendongak langit.

Apabila setiap gerak-geri diperhatikan dan dipersoalkan, segala benda menjadi tidak kena.Yang biasa dipraktiskan setiap hari kini menjadi satu perbuatan yang salah pada pandangan mereka sehingga mahu diadukan pada pihak atasan. Apakah mereka cuba mengubah satu sistem yang telah bertahun dibina? Apakah beberapa hari mereka di situ sudah cukup untuk menilai sistem itu?

Tidak perlu bagi pengarah mahupun VIP mana sekalipun untuk masuk campur.Mereka boleh mengadu, hakikatnya kita lebih tahu bagaimana perangai mereka.Mereka tidak meletakkan kepercayaan langsung, setiap inci perkara harus dipersoalkan.

Mereka memang menyakitkan hati.Si abang boleh mengeluarkan kata-kata mencarut hanya kerana suatu ketidaksengajaan.Padahal si adik yang terlantar tidak bersuara sepatah pun. Si emak melayan anaknya bagai berusia empat tahun.Seolah-olah orang lain tidak perlu dikisahkan, hanya anaknya yang penting.

Kesabaran itu ada batasnya. Rasa belas kasihan boleh bertukar menjadi kebencian jika sikap itu masih terus diulang-ulang. Kita hidup di muka bumi bukan sesama kerabat sahaja, kita berinteraksi dengan pelbagai latar masyarakat. Jika mahu tunjukkan belang bukanlah di sini. Di sini adalah tempat kami berkomunikasi dengan jujur dan menerima kekurangan serta kelebihan masing-masing.Jika mahukan kesembuhan segera, mintalah pada Tuhan Yang Satu, serta berbaiklah sesama manusia. Jika seorang manusia terguris, sudah tentu yang buruk saja akan didoakannya. Jika cukup empat puluh orang, silap-silap doa itu makbul.

Usah mencari pasal dengan orang lain, takut-takut pada masa hadapan, orang itulah yang akan menolong kita nanti, ataupun orang itulah yang menjadi sebahagian daripada keluarga kita nanti. Jika benar sayangkan anak, fokuslah pada pemulihannya, bukannya pada mencari kesalahan mahupun menulis aduan yang panjang lebar.

Prevention is better than cure.Kami sedang usahakan supaya kebajikan kami terbela. Kami juga ada maruah dan ada hak untuk mendapat ketenangan di tempat kerja.Kami dibayar untuk memberikan khidmat, namun jika khidmat kami sering diperkecilkan, kami tidak rela.

Ya Allah, Kau selamatkan kami dan lindungilah kami daripada perkara yang tidak elok, berikan kekuatan kepada kami untuk menghadapi manusia seperti mereka.Ya Allah, berilah kesedaran dan keinsafan kepada mereka serta berilah balasan yang setimpal kepada mereka atas segala perbuatan mereka kepada kami.
Amin.

No comments:

Post a Comment