Take chances, make mistakes. That's how you grow. Pain nourishes your courage. You have to fail in order to practice being brave !
Sunday, May 27, 2012
SUNYI
Asalnya mahu pergi jauh, mengambil angin segar petang yang redup ini.Namun hanya berakhir di kekunci notebook yang berusia tiga tahun ini.
Sunyi...kadangkala hati terasa begitu sunyi dan kosong.Pergi kerja, balik kerja.Rutin yang sama. Rutin yang tidak mengundang rasa menarik dalam hidup.Amat terasa sunyi dan keseorangan.Bukan tiada insan di sisi.Ayah dan mak sentiasa ada.Namun tetap terasa keseorangan.
Dahulu ada abang-abang yang menghibur hati, yang menemani diri. Kini setelah masing-masing mendirikan rumah tangga, peranan abang itu seolah-olah gugur dari dalam hidup mereka. Aku bersyukur kerana dibesarkan bukan dalam keadaan dimanjakan oleh mereka,sebaliknya aku dipengaruhi oleh cara hidup lasak mereka.Aku bukanlah adik bongsu yang disayang-sayang dan dibelai manja tetapi aku adik yang didedahkan kepada lagu rock, heavy metal, filem-filem aksi dan ganas hingga membawa diriku sendiri ke alam seni mempertahankan diri.
Aku berkongsi minat dan rasa dengan abang-abangku tentang sesuatu perkara yang menjadi bahan kesukaan kaum lelaki.Aku gembira dengan keadaan itu.Permainanku bersama abang ngah dan kawan-kawannya bukanlah main masak-masak ataupun kahwin-kahwin tetapi main bola sepak di mana akulah penjaga golnya, main lawan-lawan street fighter di mana akulah Cun Li, main lumba basikal serta main lumba lari.Kami agak rapat dek usia yang hanya berbeza tiga tahun.
Berbanding dengan abang long, usia kami berbeza lapan tahun. Aku masih ingat peranannya sebagai seorang abang yang membawaku bermain di padang permainan serta panggilannya untuk pulang ke rumah ketika mak dimasukkan ke hospital akibat darah tinggi ketika aku bersekolah di darjah dua.Sayang sekali abang long tidak berpeluang menjadi abang sulung yang diidamkan. Faktor ekonomi mahupun caranya dibesarkan mungkin mempengaruhi. Aku begitu terharu apabila melihat peranan abang sulung yang dimainkan oleh watak Aidil dalam drama Nur Kasih dahulu. Sungguh aku mengharapkan abang seperti itu hadir dalam hidupku...
Kini abang long sudah punyai seorang anak lelaki yang comel, menjadi satu-satunya cucu mak dan ayah buat masa ini.Budak kecil itu menjadi penyeri keluarga kami.Cuma alangkah baiknya jika abang lebih mengambil berat tentang kami...
Abang ngah masih berdua dengan isterinya.Faktor geografi menyukarkan kami untuk kerap berjumpa.Semakin hari semakin jauh dari keluarga.Janji yang dikotanya sudah acap kali dimungkiri.Kadangkala terasa bagai tidak mahu lagi mempercayainya. Seorang abang yang amat bertanggunggjawab terhadap keluarga kini berubah setelah hidup berumah tangga.Dahulu semasa zaman bujangnya, pasti dia akan pulang menjenguk kami sebulan ke dua bulan sekali.Waktunya akan dimaksimumkan sebaik mungkin.Habis kerja petang Jumaat, malam itu juga naik bas untuk pulang dan hanya akan pulang menaiki bas terakhir pada hari Ahad. Kini setelah memiliki kereta sendiri dan beristeri, Sabtu petang baru sampai di rumah. Ahad awal petang sudah mahu bertolak pulang.
Dahulu dikirimnya wang saguhati setiap bulan kepada ayah.Jika tidak dapat pulang, pasti akan dimasukkannya ke bank.Kini setelah berkahwin dan memiliki rumah sendiri, saguhati entah ke mana.Hanya mengharapkan panggilan telefon dua kali seminggu.Pernah juga dia ke luar negara tanpa memaklumkan kepada keluarga.Last minute sangat katanya.
Janjinya mahu pulang dalam bulan lima ini.Bulan lima sudah menjengah ke hujung. Mampukah mengotakan janji? Ataupun ia akan menjadi satu lagi janji palsu yang menyakitkan?
Aku amat mencemburui seorang rakanku yang mempunyai seorang adik lelaki, tiga tahun lebih muda daripadanya. Mereka bekerja di tempat yang sama, berkongsi minat yang sama, sering keluar bersama, malah makan tengah hari pun mereka bertanya antara satu sama lain.Untungnya dia.
Mak dan ayah semakin dimamah usia.Mereka sepatutnya dibahagiakan.Aku harap, jika mereka kurang bahagia di dunia ini, semoga mereka bahagia di akhirat nanti. Doa anak-anak untuk mereka...insyaAllah.
Cabaran menjaga Tok yang berusia 82 tahun semakin susah.Sebagai seorang tua, degilnya makin menjadi-jadi.Begitu mencabar kesabaran kami.Semoga Allah tinggikan tahap kesabaran kami.Kami anggap ini yang terbaik untuk kami.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment