Apa perasaanmu apabila tibanya hari lebaran, manusia saling bermaafan tetapi tidak dengan keluargamu sendiri?
Mana ada ibubapa yang serba sempurna di dunia ini. Dendam apakah yang layak untuk seorang anak simpan terhadap ibubapanya? Sedangkan jika ibubapa itu sendiri berdendam dengan anak mereka, sudah tentu dah lama anak itu menjadi buangan.
Puluhan tahun seorang anak hidup bersama ibubapanya sebelum berkahwin, sudah tentu telah beribu kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya, namun, adakah ibubapa terus-menerus menghukum si anak dan membuangnya dari hidup mereka?
Wajarkah seorang anak mengungkit-ungkit kesalahan dan kekurangan ibubapa sehingga sanggup memandang hina dan mengabaikan mereka? Bagaimana jika ibubapa yang mengungkit kesalahan anak sejak dari kandungan lagi, sanggupkah duhai anak menanggung aibnya?
Tahukah anak, betapa susahnya ibu mengandung sembilan bulan, kehadiran anak dalam kandungan mengubah terus fisiologi tubuh seorang ibu. Namun, ibu tetap tabah meneruskan kandungan dan memastikan anak lahir ke dunia dengan sempurna dan sihat. Ketika anak masih kecil dan tidak berdaya, berapa banyak kalikah ibu diganggu rehatnya dek tangisan anak yang kelaparan, yang tidak selesa selepas buang air, yang kepanasan dan yang mahu ibu melayannya bermain? Berapa banyak kali anak membuatkan ibu risau apabila anak sakit, anak jatuh dan anak tidak berjaya dalam peperiksaan? Tidak terbilang...
Namun anak, yang baru beberapa ketika berkahwin, sudah mula menyenaraikan kekurangan ibu dan bapa, sudah mula mempersoalkan kenapa tidak dibuat begitu dan begini, sudah menuduh ibubapa tidak adil dan seribu satu perkara buruk lagi dengan mudahnya dibangkitkan.
Apakah manis rasanya anak berdendam kepada ibubapa? Di manakah tercatatnya pahala di situ yang boleh menjamin syurga? Bahagiakah hidup di dunia dalam keadaan ibubapa disakiti?
Saidina Ali pernah berpesan, jagalah kedua ibubapamu, kelak anakmu akan menjagamu.
Seburuk-buruk ibubapa, kerana merekalah anak lahir ke dunia. Kerana merekalah anak menjadi manusia yang membesar dari seorang bayi menjadi suami orang dan bapa orang.
Tiada guna bebelan panjang, hanya doa yang mampu dikirimkan. Jangan nanti apabila nasi sudah menjadi bubur, ibubapa sudah masuk dalam tanah, hidup anak susah menderita, baru nak menyesal.
Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa.
Tepuk dada, tanya iman.
Ingin lihat bagaimana kehidupan seorang anak derhaka. Mungkin senang di dunia, tetapi tidak di akhirat.
Salam Aidiladha.
No comments:
Post a Comment