Tuesday, December 01, 2015

Kematian Sebagai Pengajaran Terbaik

Masih lagi terkejut dengan dua berita kematian.
Yus Jambu dijemput Ilahi, diasbabkan kematian kerana serangan jantung. Memang menghidap diabetes dan masalah jantung sebelumnya. Muda lagi, 39 tahun. Pergi mengejut.

Semasa membaca berita mengenai arwah Yus, terbaca berita kematian Jonah Lomu. Macam familiar nama ni. Bintang rugby New Zealand All Blacks! Zaman aku kenal bintang rugby antarabangsa, itulah zaman bintang Lomu menyinar. Meninggal mengejut akibat masalah jantung juga. Pernah menghidap Nephrotic syndrome dan menjalani renal transplant. Usia 40 tahun.

Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Hakikat yang semua orang terima.

Sudah semakin banyak kes kematian muda akibat serangan jantung. Yang dikenali - pelakon, penyanyi, ustaz etc dah ramai, yang tak dikenali - netizen, sudah tentu lebih ramai.

Shamrin, penyanyi Fotograf. Faisal Yusop, pelakon drama. Ustaz Asri, penyanyi Rabbani. Meninggal mengejut akibat masalah jantung juga. Tak kira lagi atlet...pemain bola sepak yang rebah di tengah padang....ramai lagi.

Kita takkan tahu bila ajal kita. Apa asbab untuk ajal kita. Jika tiba-tiba nyawa dicabut, bersediakah kita? Jika kita yang hidup ni, terkejut dengan kematian kenalan kita secara mengejut, mereka yang mati ni, tentu lagi terkejut dengan kedatangan malaikat maut secara mengejut.

Orang yang baik, akan disebut-sebut kebaikannya saat kematian menjelma. Akan dikenang-kenang jasanya, akan diratapi pemergiannya. Semoga kita tergolong dalam golongan yang baik, dan mendapat pengakhiran yang baik juga.

Jadi, jangan sangka jika kau sihat, tak berpenyakit, kau akan hidup hingga tua. Orang muda pun boleh mati. Jika kau rasa kau tak kisah nak berbaik-baik dengan manusia lain, tak kisah nak memohon keampunan dengan ibu bapa kau, kau ingatlah ni, kematian boleh menjemput kau bila-bila masa. Silap haribulan, kau azam nak minta maaf dengan ibubapa masa raya tahun depan, bila kau bangun esok pagi, kau dah ada dalam kubur. Insaflah!

Jika aku mati, aku harap amalanku yang tidak seberapa ini dapat membantuku bersoal jawab di alam barzakh nanti. Aku harap, wang simpananku dapatlah membayar habis hutang-hutangku, seterusnya dapat digunakan buat belanja hidup mak dan ayahku. Aku harap, kematianku tidak menyusahkan sesiapa, malah urusan menghantar aku pergi buat selama-lamanya dipermudahkan. Aku harap, sebelum aku mati, dapatlah aku melihat keluargaku bersatu semula, dapatlah aku tunaikan hasrat mak dan ayah untuk menjejakkan kaki ke tanah haram yang suci.

Sesungguhnya orang yang bijak adalah orang yang banyak mengingati mati.
Dan kematian itu adalah pengajaran terbaik buat orang yang masih hidup.

No comments:

Post a Comment