Saturday, August 27, 2016

Tetamu, jagalah adabmu.

Apabila tetamu berkunjung ke rumah, bukan hanya tuan rumah yang perlu pandai melayan dengan baik. Tetamu juga perlu pandai membawa diri. Jaga adab sebagai tetamu. Jaga harta benda tuan rumah.

Tetamu guna tandas, buang tisu ke dalam mangkuk tandas. Adab apakah ini? Masih berada di zaman batu? Tisu bukan untuk dibuang ke dalam mangkuk tandas, tetapi ke dalam tong sampah. Kebetulan memang tuan rumah menyediakan tong sampah kecil di dalam bilik air, tidak nampakkah?

Anak-anak kecil tidak betah duduk lama di dalam rumah. Asal ada halaman, mahu dimainnya di luar. Jagalah adab anak-anak, jangan dibiarkan mereka bermain sesuka hati. Habis bunga-bunga di laman dicabutnya. Bunga tiruan yang diletak di atas pokok juga ditariknya. Buah muda di pokok dibalingnya dengan batu. Tak pernah terdidikkah anak-anak ini? Tidakkah pernah dipesan, jangan rosakkan harta benda di rumah yang bakal dikunjungi? Lebih teruk lagi, diambilnya batu dan diukirnya garisan pada kereta! Nak marah,budak lagi. Nak marah pada ibubapanya, nanti dikatakan sombong lalu bermasam muka pula. Diam saja. Doa saja, supaya tetamu seperti ini tidak datang lagi.

Ada pula yang membiarkan anak-anak masuk ke dapur tuan rumah lalu sesuka hati membuka peti ais dan mengambil minuman. Bagaikan di rumah sendiri! Tapi baru pertama kali datang. Fridge magnet ditolak dan ditarik lalu akhirnya jatuh menyembah bumi. Pecah dua. Ibu bapa leka di ruang tamu, hanya tuan rumah yang tahu, hartanya telah dirosakkan oleh si kecil. Sabar.

Sungguhpun tetamu datang membawa rezeki, kadangkala rezeki itu ditarik balik pula, menjadi satu dugaan. Sabar atau melenting.

Inilah pahit manis sebagai tuan rumah, jadikan pengajaran supaya tidak diulangi. Akan ku didik anak-anakku nanti agar menjaga adab sebagai tetamu. Main-main juga, jangan sampai merosakkan barang-barang tuan rumah.

No comments:

Post a Comment