Monday, August 29, 2016

Wahai Hati

Saat harinya menghampiri, diri terasa lemah sekali. Kurang bersemangat. Tiada motivasi. Tertekan. Suram. Sedih. Takut. Gementar. Semua bercampur baur. Rasa hanya ingin menyendiri. Hanya mahu duduk di atas sejadah dan bermunajat kepadaNya. Mahu membaca al-Quran, dan berharap akan  menemui ayat-ayat memujuk.

Wahai hati, janganlah begini. Tenang-tenanglah selalu.

Kesal kerana tak dapat berkongsi detik itu dengan beberapa insan yang dikasihi. Ada yang telah pergi selama-lamanya, ada yang hilang ditelan rasa, ada yang jauh berkilometer.

Rasa tidak mahu diganggu. Tidak terdaya mahu melayan itu dan ini. Hanya mahu damai seorang diri. Tidak mahu mendengar hiruk-pikuk manusia yang hanya mahukan kegembiraan. Sedangkan hati sedang berduka.

Mampukah untuk bangkit semula? Sempatkah untuk mengecapi nikmat itu? Lamakah akan Dia pinjamkan kebahagiaan itu?

Damailah wahai hati. Biar mulut terkunci rapat, jangan sampai hati tertutup rapat. Bukalah hati, bukalah minda...

Saat keliru dengan perasaan sendiri...tidak tahu emosi bagaimana yang harus keluar.

Rindu pada insan-insan yang suatu waktu dulu menghiasi taman hati. Kini lesap jauh membawa diri. Apalah salah diri hingga dijauhi begini...

Suram tidak boleh berpanjangan...sengaja melayan karenah hati malam ini...esok saat mentari muncul, harus bangkit dan teruskan perjalanan. Dongakkan kepala, tegakkan dada, dan berjalan dengan penuh keyakinan!

Saturday, August 27, 2016

Tetamu, jagalah adabmu.

Apabila tetamu berkunjung ke rumah, bukan hanya tuan rumah yang perlu pandai melayan dengan baik. Tetamu juga perlu pandai membawa diri. Jaga adab sebagai tetamu. Jaga harta benda tuan rumah.

Tetamu guna tandas, buang tisu ke dalam mangkuk tandas. Adab apakah ini? Masih berada di zaman batu? Tisu bukan untuk dibuang ke dalam mangkuk tandas, tetapi ke dalam tong sampah. Kebetulan memang tuan rumah menyediakan tong sampah kecil di dalam bilik air, tidak nampakkah?

Anak-anak kecil tidak betah duduk lama di dalam rumah. Asal ada halaman, mahu dimainnya di luar. Jagalah adab anak-anak, jangan dibiarkan mereka bermain sesuka hati. Habis bunga-bunga di laman dicabutnya. Bunga tiruan yang diletak di atas pokok juga ditariknya. Buah muda di pokok dibalingnya dengan batu. Tak pernah terdidikkah anak-anak ini? Tidakkah pernah dipesan, jangan rosakkan harta benda di rumah yang bakal dikunjungi? Lebih teruk lagi, diambilnya batu dan diukirnya garisan pada kereta! Nak marah,budak lagi. Nak marah pada ibubapanya, nanti dikatakan sombong lalu bermasam muka pula. Diam saja. Doa saja, supaya tetamu seperti ini tidak datang lagi.

Ada pula yang membiarkan anak-anak masuk ke dapur tuan rumah lalu sesuka hati membuka peti ais dan mengambil minuman. Bagaikan di rumah sendiri! Tapi baru pertama kali datang. Fridge magnet ditolak dan ditarik lalu akhirnya jatuh menyembah bumi. Pecah dua. Ibu bapa leka di ruang tamu, hanya tuan rumah yang tahu, hartanya telah dirosakkan oleh si kecil. Sabar.

Sungguhpun tetamu datang membawa rezeki, kadangkala rezeki itu ditarik balik pula, menjadi satu dugaan. Sabar atau melenting.

Inilah pahit manis sebagai tuan rumah, jadikan pengajaran supaya tidak diulangi. Akan ku didik anak-anakku nanti agar menjaga adab sebagai tetamu. Main-main juga, jangan sampai merosakkan barang-barang tuan rumah.

Rezeki

Near

The date is getting nearer...and I'm getting lazier....

Menternak Generasi Derhaka?


Cuba periksa diri...adakah diri sendiri tergolong dalam penderhaka, atau adakah diri sedang mendidik generasi derhaka?
Jika diri sendiri pun tidak terdidik dengan baik, bagaimana mahu mendidik anak-anak?
Nauzubillahi minzalik!
Semoga aku tidak tergolong dalam generasi ini, dan semoga generasiku nanti juga tidak termasuk dalam generasi derhaka.
Buat mereka yang sudah terjerumus sebagai penderhaka, pintu taubat sentiasa terbuka, masih belum terlambat untuk berubah.
Allah sentiasa mengampuni hambaNya, Allah sentiasa ada selama-lamanya, tetapi jika menderhaka kepada manusia, manusia akan mati, sempatkah memohon kemaafan?

Monday, August 22, 2016

Ingat Mati

Waktu ajal yang telah Allah tuliskan sejak azali...siapa pun tidak boleh mengubahnya.
Mana sangka, seorang pesakit berumur 63 tahun yang dimasukkan ke wad secara elektif untuk prosedur angiogram, meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di katil hospital, beberapa jam sebelum angiogram.

Innalillahi wainna ilaihirajiun
Allahummaghfirlahu warhamhu

Semoga ruh Pak Nan tenang di sana dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman.
Hanya sempat mengenalinya selama hampir dua tahun.
Menjadi jiran selama 15 bulan.
Sempat arwah berkenduri anak kembarnya tiga bulan lalu.
Rumah banglo dua tingkat yang dibinanya kini ditinggalkan.
Hanya amalan dan pahala dibawa bersama.

Tak sempat melihat kelibatnya minggu ini.
Saat mahu bergerak ke tempat kerja pagi tadi, ayah pun pulang usai solat subuh dan mengkhabarkan berita sedih itu. Terkejut...sepanjang hari digelumang perasaan sedih.
Hanya mewakilkan mak dan ayah untuk menziarahi jenazah.

Berbuat baiklah dalam kehidupan...baik kepada TUHAN, mahupun kepada manusia, agar apabila ajal menjemput, kita pergi dalam keadaan baik. Orang yang ditinggalkan pun tidak rasa ralat sangat...

Ada orang, lupa terus pada ibubapa yang melahir dan membesarkannya. Mahu ditunggu saat menemui ajal baru mahu bertaubat? Atau pemergian kekal itu juga tidak mampu melembutkan hati yang keras...

Kematian memberi seribu keinsafan. Jangan bergaduh dengan orang. Cakap baik-baik dengan orang. Selesaikan hutang piutang. Jangan marah-marah. Jangan engkar perintah Allah. Taatlah suruhanNya. Buat amal ibadat banyak-banyak. Hindari dosa. Ingat mati selalu.

Semoga diriku dan ahli-ahli keluargaku menemui ajal nanti dalam keadaan yang baik.