Monday, January 04, 2010

Fenomena Perigi Mencari Timba

Beberapa tahun yang lalu, bancian penduduk di Malaysia menunjukkan bahawa bilangan kaum Hawa jauh melebihi kaum Adam. Ini adalah bancian secara umum, melibatkan seluruh rakyat yang berbilang bangsa dan agama.

Statistik di institusi-institusi pengajian tinggi pula melaporkan bahawa bilangan mahasiswa wanita lebih ramai daripada mahasiswa lelaki.

Ada yang kata, inilah hikmahnya Islam menghalalkan poligami. Habis, bagaimana pula dengan agama-agama lain? Bolehkah menghalalkan perempuan simpanan? Teman wanita gelap?

Wanita semakin ramai yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya. Makin tinggi taraf hidup wanita secara sosialnya. Makin tinggi harga seorang wanita, makin rendah pula permintaan daripada lelaki. Nak berkahwin perlu sekufu, penting untuk menjamin kebahagiaan yang berkekalan. Lelaki lulusan SPM, sanggupkah melamari wanita lulusan PhD? Wanita yang bekerja sebagai seorang arkitek, sanggupkah menerima lamaran seorang lelaki yang hanya berniaga ikan di pasar?

Ini bukan soal hina atau mulianya tahap pendidikan dan jenis pekerjaan seseorang.Ini soal sekufu, soal berpijak di bumi nyata.Soal keserasian dan kesamaan fikrah.

Wanita, jika sukakan lelaki, apa tunggu lagi, masuklah melamar.
Senang betul cakap begitu. Mencontohi Saidatina Khadijah? Tidak semudah itu. Lelaki sekarang tidak semudah itu untuk difahami. Keinginannya banyak, harapannya tinggi.Jika tidak, takkanlah mereka sanggup menduakan isteri secara senyap-senyap?

Beberapa tahun lepas, dalam satu rancangan malam di Radio 4, satu survey telah dibuat berkenaan orang yang ingin dikahwini. Adakah anda akan mengahwini orang yang mencintai anda, atau orang yang anda cintai?

Majoriti wanita yang menjawab survey tersebut memilih untuk mengahwini lelaki yang mencintai mereka, atas dua faktor utama:

Pertama, faktor sekuriti. Wanita rasa lebih secure jika mereka tahu bahawa lelaki itu mencintai mereka.Jika mereka melakukan kesalahan, lelaki itu akan mudah untuk memaafkan mereka dan sentiasa kasihkan mereka, kerana lelaki itu cintakan mereka.Namun, jika wanita itu mengahwini lelaki yang dia cintai, sedangkan lelaki itu tidak mencintainya, lelaki itu akan mudah meninggalkannya jika terlihat sebarang kekurangan atau kelemahan pada wanita itu.

Kedua, faktor kelembutan hati. Wanita memiliki hati nurani yang lembut dan mudah dibentuk. Jika wanita dicintai dan dibelai oleh lelaki, lambat laun akan terpupuklah cinta di hati wanita tersebut.Maka, cinta antara sepasang suami isteri ini akan sentiasa berbalas.

Oleh sebab itulah, fenomena perigi mencari timba ini tidak meluas, kerana ia seolah-olah menyanggahi norma sosial seorang wanita yang tinggi sifat malunya.
_________________________________________________________________



Jika Aku Jatuh Hati

Ya Allah jika aku jatuh cinta,
cintakanlah aku pada seseorang
yang melabuhkan cintanya padaMu,
agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu.

Ya Muhaimin jika aku jatuh hati,
izinkanlah aku menyentuh hati
seseorang yang hatinya tertaut
padaMu agar tidak terjatuh aku
dalam jurang cinta nafsu…

Ya Rabbana jika aku jatuh hati,
jagalah hatiku padanya
agar tidak berpaling daripada hatiMu…

Ya Rabbul Izzati jika aku rindu,
rindukanlah aku pada seseorang
yang merindui syahid di jalanMu…

Ya Allah jika aku menikmati cinta kekasihMu,
janganlah kenikmatan itu melebihi
kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu..

Ya Allah jika aku jatuh hati pada kekasihMu,
jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh
dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu..

Ya Allah jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu,
jangan biarkan aku melampaui batas sehingga
melupakan aku pada cinta hakiki
dan rindu abadi hanya kepadaMu.

Amin..


Kredit kepada bekas YDP PMI USM

No comments:

Post a Comment