Sunday, January 10, 2010

Sabar, hasilnya lumayan

Mata pedih dan penat.Lalu kugosok-gosok perlahan-lahan.Hidung mula berair serta menghasilkan refleks bersin. Sejuk sangatkah atau dah mula demam? Terasa sakit-sakit badan, kepala juga memalu gendang minta diurut. Flu-like symptoms pula. Jam dah pukul 11.40 malam.Cepat benar masa berlalu, dah berjam-jam menghadap laptop, patutlah mata dah pedih, belakang pula sakit. Mengalah.


Ingatkan dapat berehat lebih sedikit pada hari ini setelah seminggu perlu keluar awal dalam kesejukan untuk mengejar bas terawal.Tidak, hari ini juga perlu bersiap awal, ada temujanji di pusat bandar.Berpusing-pusing sebentar menunggu tepat jam 10.Kebanyakan kedai belum buka lagi pun. Malangnya hajat tak kesampaian. Barang yang sepatutnya kuambil bagi pihak seorang kakak tidak dapat kuperoleh. Mereka menyatakan hanya pemilik sebenar yang boleh ambil, dialog yang berbeza dengan percakapan dalam talian dua hari lepas.Tiada rezeki. Menguji kesabaran. Tidak dapat menjawab panggilan, hanya mampu berbalas mesej.Perlu bertenang dan bersabar.


Melihat wajah sahabat-sahabat yang dikasihi membuatkanku lupa terus pada kepahitan di awal pagi itu.Lebih-lebih lagi dengan kehadiran seorang sahabat yang telah lama tidak bersua.Semoga Allah memberi kekuatan kepadanya untuk terus tsabat dan semoga musibahnya akan dapat dilalui dengan tabah. Ini yang terakhir. Aku agak yakin.Mereka sangat bagus, maka perlukan seseorang yang jauh lebih bagus.Bukan diriku.


Sabar itu ialah menahan atau mencegah.Ia bermula dari awal sesuatu itu berlaku, bukan pada penghujung klimaks. Ada empat bahagian sabar:
1. Sabar dalam menjalani ketaatan kepada Allah.
2. Sabar dalam meninggalkan maksiat.
3. Sabar dalam menghadapi musibah.
4. Sabar dalam menikmati nikmat.


Sabar, sabar, sabarlah wahai diri. Sedikit sahaja lagi.


Tawakkal ialah penyerahan diri kepada Allah. Usaha, doa, tawakkal, redha.
Jika aku benar bertawakkal kepadaNya, tentu tiada lagi resah gelisah atas apa yang telah diusahakan.


Tazkiyatun nafs ialah penyucian jiwa. Kita cuci gigi dua tiga kali setiap hari kerana gigi kita menguruskan makanan yang bermacam-macam.Inikan pula hati. Hati kita mengurus diri untuk menghadapi bermacam-macam perkara pada setiap hari. Berapa kali kita cuci hati kita setiap hari?


Enam tahap tazkiyatun nafs.
1. Muahadah ; perjanjian dengan Allah.
2. Muraqabah ; merasai kebesaran Allah.
3. Muhasabah ; menilai diri.
4. Mujahadah ; bersungguh-sungguh.
5. Muaqabah ; menghukum diri.
6. Muatabah ; mencela diri.


Ya Allah, bersihkan dosa-dosaku dengan kesakitan ini...

No comments:

Post a Comment