Takziah kepada mangsa-mangsa banjir di Pakistan dan China.
Takziah kepada mangsa-mangsa ribut di Jasin dan Kuantan.
Takziah kepada mangsa-mangsa mercun di Kuala Terengganu dan Alor Setar.
Alhamdulillah, sudah hampir separuh Ramadhan aku berpuasa di sini. Nikmat berpuasa dan bertarawih di sini. Syukur dapat kembali menjejakkan kaki ke Surau Bagan Jermal yang telah enam tahun aku tinggalkan. Syukur dapat bersahur, berbazar, memasak, berbuka dan bermoreh dengan mak dan ayah. Aku semakin yakin dengan keputusanku untuk mengutamakan Ramadhan dan Aidilfitri berbanding urusan lain. Melihatkan wajah kedut mak dan ayah yang semakin dimamah usia, membuatkan aku semakin insaf. Banyaknya jasa dan pengorbanan mereka, dan sedikit pula balasanku terhadap mereka. Maka aku memilih untuk setia di samping mereka, sekurang-kurangnya untuk waktu sensitif ini. Mereka sumber kekuatanku, aku juga sumber kekuatan mereka. Hairan bagaimana sesetengah anak begitu mudah melupai jasa dan kasih sayang ibu bapa, lebih-lebih lagi setelah memiliki rumah tangga sendiri.
Pada minggu pertama Ramadhan, ruang rumahku dihingari oleh pelbagai hiruk-pikuk. Konsert kuali terus-berterusan hingga ke sahur - sejak beberapa anak muda dari Pattani itu menyewa gerai aunty Norain berhampiran rumahku, pelbagai cakap-cakap mula timbul. Bisinglah, tak boleh tidurlah, longkang tersumbatlah...ada tu siap nak lapor pada MPPP supaya menyita gerai mereka. Bagiku, usahlah mengganggu periuk nasi orang, tetapi anak-anak muda itu haruslah pandai membawa diri. Gerai itu sangat hampir dengan rumah-rumah orang, yang kesemuanya mempunyai warga emas, maka tak perlulah bermain gitar pada pukul 2 pagi atau lepak sembang-sembang sampai subuh.
Hiruk-pikuk kedua ialah konsert Tionghua yang berlangsung selama seminggu. Timing baik punya, saat bermula Ramadhan, konsert pun bermula. Konsert berlangsung di dataran Gurney,kurang lima minit dari rumahku. Setiap malam nyanyi lagu yang sama, sampai aku pun dah boleh hafaz dah melodi dia. Konsert ini dianjurkan 2-3 kali setahun, biasanya apabila aku menelefon dari Ireland, aku boleh dengar!
Hiruk-pikuk ketiga ialah dentuman mercun yang dimain oleh budak-budak kampung. Kadang-kadang tu macam nak kena heart attack, tiba-tiba saja meletup. Mercun ke bom? Saat tengah bertarawih, mercun meletup, kedengarannya betul-betul di atas bumbung surau. Selepas dentuman ketiga, apalagi, bertempiklah Uncle Zamani..tapi meletup lagi, lepas tempikan yang kedua, barulah budak-budak beredar jauh sikit, tapi masih bermain,haiah, anak siapalah tu. Nak tunggu putus tangan baru nak tegur?
Jemaah tarawih masih kekal satu saf suku untuk muslimat. Dahulu masa 1-3 Ramadhan, hampir 3 saf penuh. Aku ingat lagi, masa sekolah rendah dan menengah rendah dahulu, saf muslimat penuh hingga ke belakang. Aku yang masih budak-budak perlu solat di saf paling belakang. Yang lebih menyedihkan lagi, semua jemaah muslimat adalah mereka yang perlu kupanggil makcik...kadang-kadang ada seorang kakak, selebihnya dua tiga orang adik-adik kecil...waktu hujung minggu adalah seorang dua remaja..maka berkawanlah aku dengan makcik-makcik ni. Pergi ke surau dengan ayah, balik dengan makcik-makcik.
Semalam hampir saja aku ponteng tarawih di surau, suhu badan naik mendadak selepas Asar, iftar pun tak lalu makan. Namun alhamdulillah, Allah beri aku kekuatan untuk pergi juga, lagipun dah makan paracetamol pukul 8 malam, by the time tarawih habis pukul 11, demam pun dah kebah, besarnya kuasa Allah dan nikmatnya kesihatan...
Setakat ini ustaz yang menjadi imam tarawih telah mengupas beberapa topik seperti sedekah, munafik, hasad dengki dan arak..
No comments:
Post a Comment