Take chances, make mistakes. That's how you grow. Pain nourishes your courage. You have to fail in order to practice being brave !
Sunday, October 31, 2010
Hidup Pasti Mati
Lima tahun lalu, guru kesayanganku, Almarhumah Cikgu Norleha telah kembali ke rahmatullah setelah hampir dua tahun berperang dengan lymphoma. Arwah merupakan guru rasmi pertama dalam hidupku, i.e. guru tadika. Hubunganku dengan arwah sangat rapat, dahulu aku merupakan anak murid kesayangan arwah. Bukti dan sebabnya hanya kami dan beberapa orang terdekat sahaja yang tahu.Memang arwahlah guru yang sentiasa bertakhta di hatiku, walaupun sudah melangkau ke alam sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti. Kami tidak pernah putus hubungan kerana arwah tinggal dalam kawasan perumahan yang sama denganku.
Berita kegeringan arwah kuperolehi ketika sedang menuntut di kolej matrikulasi. Ketika itu aku tidak tahu apa penyakitnya. Seminggu sebelum berangkat ke Ireland, ayah mengadakan kenduri kecil-kecilan di surau pada malam Jumaat. Aku dan mak singgah di rumah arwah untuk menziarahinya selepas kenduri itu. Ketika itu arwah hampir kehilangan suaranya kesan daripada chemotherapy. Syukur kerana dapat membuat arwah berasa bangga melalui pemergianku ke luar negara sebagai pelajar perubatan.
Tahun berikutnya ketika cuti musim panas, aku pergi menziarahinya lagi seminggu selepas berada di tanah air. Arwah nampak sungguh bertenaga, wajahnya berona merah segar dan suaranya juga kembali normal. Alhamdulillah, hatiku berdetik riang menyangkakan bahawa arwah akan kembali pulih. Tanggal 2 Ogos 2005, aku mendapat perkhabaran buruk. Rawatan demi rawatan di HUKM tidak dapat melawan takdirNya, bahawa Cikgu Norleha akan pergi pada usia 40 tahun. Pagi itu suasana subuh diselubungi oleh kesuraman. Kejernihan wajahnya adalah sebenarnya suatu petanda bahawa arwah akan pergi selama-lamanya.
Aku pergi menziarahi jenazahnya bersendirian kerana mak kerja pagi. Sayu rasanya hati apabila anak murid pergi melawat tubuh kaku gurunya sendiri. Aku turut memaklumkan kematian arwah kepada rakan-rakan baikku yang satu tadika denganku. Mereka turut bersedih, tapi tentunya perasaan itu lebih berat bagiku. Cikgu pergi tanpa sempat melihat aku menggenggam segulung ijazah dan tanpa sempat mendengar aku dipanggil doktor. Arwah tidak sempat melihat kejayaanku dan aku kempunan untuk meraikan kejayaanku dengannya. Al-Fatihah untuk arwah Cikgu Norleha.
Malam ini aku dan mak pergi menziarahi jenazah di rumah yang sama. Kali ini, ibu kepada arwah Cikgu Norleha pula yang dijemput Allah pada usia 74 tahun. Daripada Allah kita datang, kepadaNya jualah kita kembali. Saat mak membuka kain putih yang menutupi wajahnya, aku terasa sebak. Rasa kehilangan. Rasa takut pada kematian. Rasa besarnya kuasa Allah mematikan makhlukNya. Rasa teringat pada Cikgu Norleha. Wajah arwah kelihatan cukup tenang, bagai sedang tidur.
Arwah Mak Che Caq seorang yang berjasa pada hayatnya. Ketika perkampungan Melayu di Tanjung Tokong terbakar beberapa tahun lalu, arwahlah yang memulakan usaha mengumpul pakaian terpakai untuk didermakan kepada mangsa-mangsa. Arwah juga aktif dalam aktiviti sosial yang melibatkan kaum hawa.Semoga ruh mereka berdua ditempatkan di kalangan orang-orang solehah. Sememangnya kematian itu satu pengajaran yang baik, bisa mengetuk hati, menghadirkan rasa insaf dalam diri.
_________________________________________________________________
* Kalau sekali-sekala orang kata muka aku macam budak sekolah menengah, aku suka, tapi kalau dah kerap sangat, tension jugak!!! Macam mana nak buat supaya muka nampak "dewasa" sikit ni? Dah naturally COMEL, nak buat macam mana? Haih, syukur dengan pemberian Allah...
* Tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan kerana menjuarai Piala Malaysia, anda memang layak! Kagum melihat para pemain membaca doa dan sujud ke bumi sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan. Bola-bola juga, akhirat ingat selalu. Bagus betul Kerajaan Negeri Kelantan kerana mahu keluarga pemain turut diberi peluang ke tanah suci sebagai ganjaran. Tabik x3.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment