Sekejap saja dah jumaat malam. Rasa bagai semalam melalui jumaat minggu lepas yang agak bermakna.Masa memang pantas berlalu. Tak panggil pun ia datang, tak suruh pergi pun ia pergi.
"Jangan menangis bila diuji. Bersyukurlah kerana Allah sedang memberi rahmat dan kasihNya"
Terngiang-ngiang dan ternampak-nampak nasihat dan penasihat ini.Sangat terkesan di hati.Dewasa ini sudah ramai Muslim yang faham, bahawa ujian itu umpama saringan Allah untuk meletakkan taraf keimanan hamba-hambaNya. Bagaimana kamu katakan bahawa kamu beriman, jika kamu belum diuji? Namun, masih ramai lagi yang mempersoalkan, kenapa orang lain tidak diuji pun? Seringkali kita melihat orang kaya semakin kaya, orang kaya sihat tubuh badan, orang kaya jarang ditimpa musibah, orang kaya cantik-cantik, dan orang cantik sentiasa dapat apa yang dimahukannya. Namun apa yang kita fikirkan itu hanyalah apa yang kita nampak dengan pandangan mata kasar. Kita belum melihat dengan pandangan mata hati.
Orang kaya juga mendapat ujian, malah kadang-kala lebih berat lagi daripada kita. Mereka banyak duit, tapi belum terbuka hati untuk menginfakkan harta ke jalan Allah, mereka sihat tubuh badan, tetapi mereka tidak tahu pun apa itu perjuangan dalam Islam, dan mereka cantik tetapi mereka tidak sedar azab yang bakal diterima akibat tidak menutup aurat dengan sempurna. Bukankah ujian mereka lebih berat?
Orang bukan kaya bukannya tak boleh kaya, tetapi mereka ada limitasi. Sama ada mereka disibukkan oleh urusan lain seperti berjuang, ataupun menjaga ahli keluarga yang sakit, sehingga tidak ada masa untuk mencari rezeki lebih, ataupun mereka kurang berpengetahuan. Tahukah anda bahawa sepatutnya orang Melayu/Islam boleh menjadi jutawan pada saat usia mencecah 55 tahun? Atau mungkin lebih awal lagi. Buku "Ke Mana Wang Anda" adalah sebuah buku yang harus dibaca oleh setiap Muslim. Pengarangnya, Hajah Rohani telah mengupas tajuk-tajuk penting berkenaan pengurusan wang dengan baik sekali. Dahulu aku menjadi penonton setia rancangan Bijak Wang di Tv3, di situlah aku mengenali pengarang tersebut dan tidak ragu-ragu lagi untuk membeli buku tulisan beliau. Orang Melayu/ Islam adalah golongan yang paling kurang membuat pelaburan dalam saham amanah mahupun membeli takaful/insurans.
Untuk melabur, carilah saham amanah yang dijamin halalnya, mempunyai rekod yang baik dan diuruskan oleh pengurus dana yang dipercayai. Keuntungan setahun sekitar 10-15%. Apabila mencecah usia persaraan, duit yang dilaburkan boleh mencapai jutaan ringgit, cukup untuk mendapat pencen RM2000 sebulan sehingga usia 78 tahun, jika panjang umur.Jadilah warga emas yang benar-benar emas, tidak susah dan tidak perlu mengharapkan bantuan anak-anak. Namun, wang ihsan pemberian anak-anak amatlah digalakkan, kerana orang tua memang gembira menerima pemberian anak-anak, walaupun jumlah cuma seratus ringgit sebulan. Berkat tu.
Untuk pembelian insurans pula, belilah insurans islamik seperti takaful, dan bacalah polisinya betul-betul. Lagi besar coverage, lagi tinggi harga yang perlu dibayar pada setiap bulan. Apabila cukup tempoh matang,kita bakal mendapat pulangan berjumlah puluhan ribu walaupun ia tidak pernah digunakan untuk tujuan perubatan!Jadi kita sebenarnya tidak rugi pun. Malah jika masuk hospital, pihak insurans akan membayar kepada kita, walaupun kita adalah staff hospital tersebut ataupun kos telah ditanggung oleh majikan. Sebab itulah ramai kaum Cina tidak teragak-agak untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta dan selalu dimasukkan ke wad walaupun penyakitnya tidak serius, kerana kaum inilah yang paling banyak melanggan insurans dan mereka tahu faedahnya. Jika berkeupayaan, jadilah ejen insurans yang berjaya, untungnya pasti lumayan.Abang kepada kakak iparku adalah seorang pengusaha restoran makanan barat yang berjaya dengan dua cawangan di JB. Beliau juga seorang ejen insurans yang berjaya, hasilnya, pihak insurans telah menaja percutiannya ke eropah dan beberapa bulan lalu, beliau berkesempatan pula menunaikan umrah. MasyaAllah.
Bercakap soal kekayaan, Islam tidak menghalang umatnya untuk mencari kekayaan, asalkan dengan cara yang halal dan tidak mengabaikan urusan ukhrawi. Umat Islam perlu juga untuk menjadi kaya, seperti mana perlunya umat Islam untuk memegang tampuk pemerintahan. Ia sebahagian daripada perjuangan. Bolehkah seorang doktor menjadi kaya? Tentulah boleh, dengan izin Allah. Syaratnya, pandai-pandailah menguruskan wang. Usahlah beli kereta yang terlalu mewah sampai ratus-ratus ribu, habis duit gaji bayar ansuran kereta saja. Usahlah sentiasa nak makan di restoran mewah, kedai makan biasa pun sedap juga, asalkan bersih dan halal. Masak sendiri lagi baik. Barang-barang mewah usah dibeli jika tidak perlu, ramai orang menghabiskan gaji bulanannya untuk membeli iPhone4, iPad ataupun Blackberry. Jika betul perlukannya, bukankah lebih bijak jika dibuat simpanan khas untuk dua tiga bulan? Nak beli rumah pun kena merancang juga, harga rumah memang semakin naik, tapi janganlah terburu-buru. Mengikut buku tersebut, timeline yang dicadangkan ialah bekerja pada usia 25 tahun(dan membeli kereta), berkahwin pada usia 27 tahun, membeli rumah pada usia 35 tahun dan pergi haji pada usia 40 tahun. Timeline ini sesuai untuk orang-orang biasa, orang kaya yang dah banyak duit, semua benda pun boleh buat sekaligus. Beruntungnya.
Jangan pula lupakan wang ihsan untuk ibubapa, harus ketepikan siap-siap bila dapat gaji. Ramai antara kita pernah mengimpikan dan membuat senarai peribadi, barang-barang yang ingin dibeli atau perkara-perkara yang ingin dibuat setelah mula bekerja nanti i.e. dapat gaji.Mungkin separuh daripada senarai tersebut adalah untuk ibubapa, untuk membalas jasa mereka membesarkan kita, Malangnya saat tangan memegang wang ringgit, kita lupakan senarai kita yang separuh itu dan asyik tumpukan pada senarai untuk diri sendiri. Rumah mahu yang besar-besar, perabot yang mewah-mewah, lantai marmar, plaster ceiling, televisyen besar gajah, penghawa dingin di setiap bilik...mewah serba-serbi. Tapi rumah ibubapa dibiarkan usang, ibubapa masih gunakan kipas, masih menonton televisyen kecil, lantai dan dinding rumah retak menanti belah...serba kekurangan. Janganlah sibuk menghias rumah sendiri sehingga lupakan rumah ibubapa, tempat kita membesar. Jika mahu memberi keselesaan pada ibubapa, buatlah ketika mereka masih muda, dan masih sihat untuk menikmati keselesaan itu. Jangan tunggu hingga mereka sudah tua,uzur dan berpenyakit, barulah sibuk mahu memberi itu ini.Pada masa itu, mereka tidak lagi dapat menikmatinya, biar televisyen sebesar pawagam sekalipun, mata mereka sudah rabun, telinga sudah tidak berapa dengar dan ditambah pula dengan kesakitan akibat penyakit yang ditanggung. MOga kita dijauhkan daripada menjadi anak yang lupakan ibubapa. Nauzubillah.
Yang paling penting sekali, sentiasa tanamkan azam untuk membawa ibubapa menunaikan umrah/haji sebagai destinasi percutian utama. Bagi yang tidak mampu,sekurang-kurangnya berdoalah agar mereka mendapat peluang itu dan sentiasa sihat dan panjang umur. Amin.
Mari berusaha untuk menjadi kaya dunia dan kaya akhirat.
Cantik itu bukan terletak pada paras rupa semata-mata, tetapi pada hati, pada budi bahasa dan pada agama yang dijunjung.
Nak berjaya kena banyak bersabar dan berusaha.
*Confuse dengar tv dalam rumah sendiri dan tv di gerai kat luar tu*
No comments:
Post a Comment