Take chances, make mistakes. That's how you grow. Pain nourishes your courage. You have to fail in order to practice being brave !
Saturday, July 09, 2011
Hanya Insan Biasa
Sepantas kilat ia berlalu. Rasa bagai hanya semalam aku melalui detik-detik perit tagging di jabatan itu. Kini telah pun berada di jabatan berikutnya.Lain mangkuk, lain kuahnya, namun rasa masin itu tetap ada. Kadang-kala ketidakadilan yang berlaku membuatkanku berasa lemah, kadang-kala pula menguatkanku. Inilah peri pentingnya untuk orang yang faham agama berkuasa. Faham agama Islam lebih tepatnya. Hidup tidak semudah yang diangan-angankan. Untuk menjadikan suatu angan-angan sebuah realiti, perlu melalui kepayahan yang berat, membuatkanku terfikir, benarkah ini jalan yang perlu dipilih? Atau ada jalan lain yang lebih berbahagia?
Kesulitan menjaga seorang warga emas adalah suatu cabaran, lebih-lebih lagi jika yang dijaga itu seorang yang keras kepala dan outspoken. Suhu di dalam rumah telah menjadi tinggi. Untuk menyejukkannya kami sengaja melucukan sesuatu perkara yang berlaku itu. Perlu lebih banyak bersabar, seperti mak selalu berkata, masa kita nanti, tak tahu bagaimana keadaannya pula. Bila aku sudah tidak tahan, kebisuan menjadi muka hadapan hidupku. Biar hati sendiri yang sakit, usah menyakiti yang lain.
Kematian bisa menyedarkan insan yang masih hidup. Menginsafkan. Mengingatkan kita bahawa hidup hanya sementara, sama ada kita yang pergi dahulu, atau orang yang disayangi yang pergi dahulu. Pemergian secara mengejut seorang yang diingati akibat ischaemic bowel amat menyedihkan. Tatkala aku ketika itu bertarung dengan oncall yang tiada kesudahan, dia pergi meninggalkan dunia. Sudah sampai ajalnya. Baru sahaja pulang dari berkenduri-kendara di Perak, mengalami cirit-birit satu malam, keesokannya pergi terus setelah pembedahan menunjukkan ususnya sudah menjadi gangrenous. Kepada Allah jua tempat kita kembali.
Perhubungan sesama manusia adalah didasarkan pada redha Allah. Jika bukan redhaNya yang dicari, tidak perlulah berhubungan sekadar suka-suka atau mahu mencuba-cuba. Ikhlas dalam perhubungan amat penting, jujur dan amanah sama pentingnya. Perhubungan tanpa sifat-sifat ini tidak harus diteruskan, khuatir jika murkaNya yang datang. Mungkin pertemuan dan perpisahan itu ada hikmah di sebaliknya. Bagai orang selalu berkata, Allah turunkan hujan di tengah hari untuk memberi pelangi yang lebih indah.
Tanggungjawab seorang anak adalah membahagiakan kedua orang tuanya. Sama ada melalui doa, harta, kasih sayang, masa....asalkan mereka bahagia, pilihlah cara yang mana pun. Amat kecewa dengan sikap segelintir anak-anak, terutamanya yang lelaki, apabila telah berkahwin, seluruh perhatian dan tanggungjawabnya ditumpukan pada keluarga baru yang dibinanya, kononnya dialah ketua keluarga dan harus bertanggungjawab. Tidak sedar bahawa tanggunggjawabnya sebagai anak lelaki kepada ibu bapanya tidak pernah terlucut walaupun dia menjadi suami kepada empat orang isteri sekalipun. Hargailah masa yang ada, sementara orang tua masih hidup, sementara mereka masih boleh melihat untuk menikmati wajah seorang anak yang tersenyum penuh kasih sayang, sementara mereka masih boleh merasai belaian tangan seorang anak, mengusap dan membelai tubuh badan mereka, sementara mereka masih boleh mendengar tutur kata seorang anak yang mengucapkan sayang dan cinta kepada mereka, sementara mereka masih boleh menelan makanan yang dibeli atau dimasak dengan ikhlas oleh anak-anak, sementara mereka masih boleh berjalan ke tempat-tempat indah yang dibawa oleh anak-anak dan sementara mereka masih berakal untuk mendoakan kesejahteraan anak-anak mereka pada setiap hari...
Usahlah menanti sehingga mereka terlalu rabun untuk mengecam wajah anak sendiri, sehingga mereka terlalu lemah untuk merasai belaian tangan anak-anak, sehingga mereka sudah tidak boleh mendengar suara anak sendiri, sehingga mereka tidak mampu lagi mengenal manis dan masamnya makanan, sehingga mereka lumpuh dan hanya terperap di dalam rumah ataupun sehingga mereka nyanyuk dan tidak mampu untuk mendoakan anak-anak...
Aku hanya insan biasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment