Monday, September 16, 2013

Berhenti Merungut!

Aku perlu berhenti merungut tentang kepenatan...
Apalah sangat yang aku buat dan berapa banyaklah sangat sumbanganku terhadap Islam jika dibandingkan dengan orang lain.
Oncall yang tiada kesudahan...kurasakan terlalu kerap hingga mengundang tekanan. Moga berita baik yang kuperolehi ini bakal mengubah dan menambahbaikkan kualiti kerja ku nanti.
Sungguh, aku terasa sayang untuk meninggalkan jabatan ini, setelah 9 bulan menjadi sebahagian daripada keluarga besarnya. 
Mana mungkin dapat kutemui staff yang baik-baik seperti mereka...telatah mereka pasti aku rindui nanti. 
Segala ilmu dan pengalaman yang kuperolehi akan kuamalkan sebaik mungkin.

Penat...
Tubuhku dah tak fit seperti dulu. Pagi tadi walkathon dengan ayah di Taman Botani, puas dapat mengejutkan otot-otot kakiku dan memercikkan keluar peluh. Aku berazam untuk kembali aktif beriadah selepas ini.

Penat...
Minda dan emosi. Kesihatan mak yang tidak memuaskan. Maklumat yang perlu kukorek dari consultant mak nanti. Ketidakcukupan sokongan emosi dan moral untuk mak dan ayah. Mereka ada tiga anak, jadi mana yang dua lagi? Perlukah mengabaikan ibubapa setelah memiliki keluarga sendiri? Itukah yang diajar oleh Rasulullah? Tidak kira apa pun yang kulakukan, tetap tidak mencukupi. Mereka masih perlukan perhatian daripada anak-anak yang lain. Hujung minggu pasti kupulang ke rumah mak ayah, walau di hati teringin untuk berbujang bersama kawan-kawan. Postcall pun acap kali aku pulang ke rumah, menjenguk dan membantu apa yang patut. Mampukah aku buat begini lagi setelah berkahwin kelak, sedangkan aku perempuan, isteri yang wajib berada di sisi suami?

Multaqa Ulama yang berakhir semalam mengundang pelbagai reaksi. Secara tiba-tiba semua orang mahu memberi pendapat sebaris ulama. Yang tidak pernah nampak muka di usrah pun lantang menyuarakan pendapat. Selamba mereka mengutuk ulama sedangkan ilmu di dada sendiri tidak setinggi mana. Ulama bukan maksum, mereka juga ada kelemahan, tapi mereka juga berilmu tinggi, amalan mereka banyak...sekurang-kurangnya kita hormati mereka dengan menjaga lidah kita. Mereka pewaris nabi. 

Aku harus selalu bertanya, apa sumbanganku terhadap Islam? Berapa jam sehari aku ingat Allah? Bagaimana pergantunganku terhadap Allah?
Usah tunggu diri menjadi baik dahulu baru nak menyumbang, kerana hidup hanya sekali.
Semoga aku berjaya menjadi sebahagian daripada mata rantai dakwah ini, sahamnya nanti ingin kubawa ke akhirat kelak. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment