Sunday, December 07, 2014

Zuriat Tanggang

Apa khabar agaknya dia? Sihatkah? Bahagiakah? Tidak rindukah pada ibubapa yang membesarkannya selama tiga puluh tahun? Tidak dicengkam rasa berdosakah kerana mengabaikan mereka? Tidak teringatkah pada adik-beradik yang sama-sama membesar suatu ketika dahulu? Tidak risaukah anak-anak yang sedang membesar ini bakal melakukan perkara yang sama kepadanya? Tidak terfikirkah yang ajal bakal menjelma tanpa sempat memohon kemaafan?

Dunia...dunia...
Walaupun bersifat fana, manusia tetap lebih mengagungkannya berbanding akhirat yang kekal. Jika semua manusia hidup bermisikan jannah, tak akan wujudlah jenayah dan kemungkaran di muka bumi ini. Takkan lahirlah zuriat-zuriat Tanggang, seperti yang dikupas dalam surat khabar hari ini. Mungkin apa yang berlaku berpunca daripada kekurangan ibu bapa juga, tetapi sebagai seorang anak yang beriman dan berilmu, tidak patut sama sekali melayani buruk ibu bapa. Gusar nanti perkara yang sama akan berlaku kepada mereka ini saat mereka tua nanti.

Walau hebat mana pun kita, jangan sesekali memisahkan ibu bapa dan anak-anak. Kita boleh mendabik dada, mengatakan bahawa kitalah isteri terbaik untuk suami, ataupun suami terbaik untuk isteri, tetapi jangan sekali-kali memisahkan pasangan kita dengan ibu bapa kandung mereka. Nerakalah jawabnya. Takut nanti suatu hari, kita yang terpisah dengan anak-anak sendiri.

Orang yang hidupnya menyakiti dan mengabaikan ibubapa, jujurlah mengakui yang dirimu tidak betul-betul bahagia. Masalah datang satu persatu. Kegembiraanmu hanya sebentar. Selebihnya kau menanggung perasaan hitam yang kau sendiri tidak dapat gambarkan. Insaflah...keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa. Jangan kau mimpi masuk syurga jika kau abaikan syurgamu di dunia ini. Seburuk-buruk ibu bapa, buruk lagi anak-anak derhaka!

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 23-24 yang bermaksud;

Dan Tuhanmu telah memerintahkan, hendaklah kamu jangan menyembah selain dari Dia (Allah), dan hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapa dengan sempurna. Jikalau salah seorang dari ibu bapamu atau keduanya sudah sampai kepada umur tua, jangan sekali-kali kamu berkata "Ah" kepada mereka. Dan jangan pula kamu menengking mereka. Dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang sopan.

Dan berbaktilah kepada keduanya dengan perasaan kasih sayang (yang mendalam) dan ucapkanlah, "Wahai Tuhanku! Kasihanilah keduanya (ibubapaku) sebagaimana mereka telah mendidikku sewaktu kecil."

No comments:

Post a Comment