Sunday, September 13, 2015

Kerian Dalam Ingatan

Pada 4,5 dan 6 September yang lepas, aku berpeluang mengikuti Kem Nadwah Kepimpinan Sahsiah di Kolej Vokasional Kerian, Perak. Aku pergi bersama sekumpulan anak muda yang bersemangat, sebagai fasilitator.

Kami bertolak dalam pukul 8 pagi lebih, konvoi 3 kereta muslimat. Kami singgah di RNR Juru, masing-masing tak sempat sarapan walaupun malam sebelumnya dah berazam nak sarapan siap-siap untuk menjimatkan masa.

Pertama kali aku menjejakkan kaki ke Kerian, sebuah kawasan di bandar Bagan Serai. Kami bertemu dengan ketua fasilitator kami di Petronas dan sama-sama memandu ke kolej. Kolej terletak tidak jauh daripada pekan Bagan Serai tu. Kedatangan kami disambut oleh Penyelaras Kem, Ustaz Asri serta Pengarah kolej. Sejak sekolah menengah teknik/vokasional dinaik taraf kepada kolej vokasional, tiada lagi istilah pengetua sekolah, tetapi digantikan dengan pengarah.

Kami dihidangkan dengan makanan tengah hari awal - belum pukul 12 pun lagi di dewan makan yang agak persis dewan selera di MRSM dahulu. Susunan meja dan kerusinya yang memanjang mengingatkan aku pada filem Harry Potter pula. Kami kemudian berehat di dorm asrama Z1, berkongs bangunan dengan pelajar-pelajar yang menjadi MPP di situ. Tidak ramai pelajar di situ, memudahkan urusan kami untuk menggunakan kemudahan tandas dan seterika. Cuma kami perlu berdoa dan bertawakal agar Allah lindungi kami daripada Charlie yang bersarang di bilik air. Alhamdulillah, tiada seorang pun daripada kami yang dihinggapinya.

Acara perasmian bermula jam 3.30pm, kami dijemput duduk di barisan kerusi belakang para pelajar. Rasa bagai seorang guru pula. Segan dan berdebar-debar. Ucapan diberikan oleh wakil fasilitator dan Ustaz Asri sendiri. Makin tambah debaran.

Waktu Asar, hanya kami muslimat yang bersolat di surau kolej. Rupa-rupanya pelajar muslimat di sini hanya wajid solat di surau waktu Maghrib dan Isyak sahaja. Usai solat, kami berkumpul semula di dewan makan. Waktu ni, aku rasa hatiku bagai dihiris-hiris apabila menyaksikan sendiri bagaimana tiga orang pelajar yang lewat turun didenda oleh ustaz. Rasa bagai mahu menitis air mata. Alahai adik-adik, jika ikut peraturan kan tak kena denda...

Kami menjadi perhatian waktu solat Maghrib berjemaah di surau. Mata-mata adik-adik yang ingin tahu memerhatikan kami. Kesemua kami bersolat dengan pakaian sedia ada, tanpa mengenakan telekung. Itu juga satu kejutan buat mereka. Solat cukup dengan menutup aurat sempurna, tidak semestinya perlu bertelekung.

Kuliah Maghrib disampaikan oleh Ustaz Shafie Yusof Ghani, sungguhpun ustaz lewat tiba, ustaz berjaya tackle perhatian mereka. Program kami bermula selepas solat Isyak, bermula dengan ice breaking. Ambil masa juga nak bahagikan mereka kepada tujuh kumpulan muslimat dan enam kumpulan muslimin. Jumlah pelajar 360 orang! Kami berikan barang amanah kepada mereka, yakni seutas tasbih cantik berwarna pink/biru/ungu.

Disebabkan pengurusan masa yang kurang tepat, penceramah sudah sampai. Encik Fauzi Mohamed, seorang motivator , memulakan slot malam pada hampir pukul 11 malam. Aku tidak lama berada di situ, kerana kami berkumpul di tempat lain untuk sedikit perbincangan. Selesai slot Encik Fauzi, barulah kami semua sempat memperkenalkan diri dan mengalunkan lagu tema kem, Seiring Sehaluan.

Para pelajar masuk tidur pukul 1 lebih, kami masuk tidur pukul 2 lebih, selepas post mortem meeting. Bersihkan diri dan iron baju, dah dekat 3 pagi. Aku begitu sukar nak lelapkan mata, inilah masalahku apabila berada di tempat baru. Alhamdulillah tiada gangguan yang tidak diingini walaupun ada ura-ura mengatakan blok itu keras. Dekat pukul 4 baru nak terlelap, dah dikejutkan bangun. Kena siap awal untuk start qiyamullail pukul 4.30am.

Qiyamullail dipimpin oleh Ustaz Sharkawi, alhamdulillah, ustaz sangat berjaya! Sungguhpun ada yang terlelap, tidak padaku. Aku tunduk kaku di tempat dudukku saat ustaz melafazkan doa yang sangat merobek hati. Air mata tidak henti-henti mengalir...ya Allah...banyaknya dosaku! Bukan mudah nak bangun qiyam, bukan mudah nak menangis sungguh-sungguh tatkala berdoa...

Waktu kuliah subuh, aku juga hilang fokus...mungkin cara penyampaian Ustaz Uzair agak meleret. Ramai yang syahid. Aku terus ke belakang dan membantu Hajar membaiki modul exploracenya. Selesai sarapan, kami buat slot khas untuk muslimat. Ain berkongsi pengalaman peribadinya untuk pengajaran buat semua. Bukan mudah untuk buka cerita sendiri, lebih-lebih lagi aku sendiri yang amat berahsia.

Slot pagi tu brain storming oleh Ustaz Zaki. Pada mulanya ustaz bawakan tajuk tentang solat, kemudian menjadi kiamat dan balasan di akhirat. Masa di awal ceramah aku jenuh melawan rasa mengantuk, maklmumlah, entah berapa minit saja tidur semalam. Para pelajar pun mengantuk kerana tak cukup tidur. Namun setelah menukar posisi daripada duduk bersila kepada duduk di atas kerusi, terus hilang mengantuk. Sebelum lunch kami ada slot bersama fasilitator dan kemudian pulang untuk lunch dan solat zuhur.

Waktu habis solat zuhur terdengar namaku diseru, ada pelajar mencariku untuk bertanyakan soal makmum masbuk. Dalam masa yang singkat, aku harap dia dapat memahami peneranganku. Rupa-rupanya ramai lagi yang masih dalam proses belajar perkara asas dalam ibadat. Aku harap kami dapat luangkan masa hanya untuk ajar topik ini.

Slot bersama fasilitator selepas Zuhur adalah slot yang aku kendalikan. Masa tu suara besarku tak nak keluar, hanya suara halus bergema di corong microfon. Mujur ada ketua fasilitator yang membantu. Permainan belon yang kami buat, objektifnya adalah supaya pelajar belajar mendengar arahan dengan betul. Tidak perlu tergesa-gesa atau melanggar peraturan , tetapi ikutlah arahan. Masa tu aku sempat memanggil tiga pelajar naik ke pentas untuk memberikan komentar, salah seorangnya menjawab,"Kita hendaklah mendengar arahan fasi." Comel sungguh, bukan arahan fasi yang hendak dihighlightkan, tetapi arahan orang yang memimpin pada waktu dan situasi itu.

Slot diakhiri dengan sesi teka-teki Imam Ghazali dalam kumpulan masing-masing. Alhamdulillah, nampak feedback yang baik. Selesailah slot kendalianku...

Petang itu sesi riadah kami anjurkan permainan bom. Kedah bom, Kedah bom, Kedah bom to Penang bom! Kelakar tapi sangat menarik melihat kesungguhan setiap kumpulan. Yang pasti, kumpulan muslimat terakhir yang tinggal, adalah kumpulanku, Sumayyah, yang berentap dengan tiga lagi kumpulan muslimin. Disebabkan dah nak Maghrib, kami tak sempat nak menghabiskannya...

Aku pulang ke dorm sebentar untuk membersihkan diri selepas solat Maghrib. Penceramah masa tu ialah Ustaz Hafiz Hashim. Aku kembali masa nak solat Isyak. Aktiviti malam, kami mulakan dengan Si Buta, Syaitan dan Malaikat. Lawak sungguh tengok hasil lukisan binatang setiap kumpulan. Cuma pengajaran daripada aktiviti ni tak sempat dihuraikan dengan jelas. Lepas tu kami adakan sesi luahan perasan. Aku hanya sempat dengar luahan dua pelajar sahaja, lepas tu dah kena masuk dewan balik untuk slot muhasabah bersama Ustaz Nazri Hanafi.

Waktu ni, aku collapsed di belakang pentas. Mana taknya, malam sebelumnya kan tak tidur. Memang rasa pening, gelong habislah. Maaf ustaz, tak terdaya nak ikuti kata-kata nasihat dan motivasi ustaz. Pukul 1 pagi habis, lepas habis short post mortem meeting, kami balik ke dorm. Letak saja kepala, terus ghaib. Sedar-sedar dah azan subuh, 5.55am! Terus kejut sahabat-sahabat yang lain, tengok adik-adik pun ramai yang baru bangun, semua keletihan. Tak seorang pun fasilitator muslimat mahupun muslimin solat subuh di surau pagi tu. Astaghfirullah...

Usai sarapan, kami mulakan Explorace, aku dapar check point ke 12, lokasi di belakang dewan. Aktivitiku ialah Selamatkan Belon itu! Belon lagi kan. Terhibur lihat setiap kumpulan beraksi.
 Check pointku yang kedua tamat awal. Kumpulan paling pantas menghabiskan cabaran ialah kumpulan muslimat,Ummu Aiman. Habis explorace, kami beri sedikit amanat fasi, kemudian pulang ke dorm untuk membersihkan diri. Kami spent time sediakan hamper untuk pemenang, dan hanya kembali ke dewan pukul 3.30pm!

Lepas tu ada sesi peluk-memeluk....sedih lagi! Dah banyak kali pulak menangis...sayang nak tinggalkan adik-adik ni walaupun ada yang tak ingat nama pun lagi. Akhirnya sesi penyampaian hadiah dan penutup. Kami tayangkan video rumusan sepanjang kem 3 hari...ramai yang teruja menontonnya termasuk ustaz dan penolong pengarah sendiri. Mereka siap offer untuk kami handle the next camp, insya Allah.

Sebelum berpisah, kami bergambar ramai-ramai. Letih senyum, baru faham kenapa kadang-kadang selebiriti refused untuk bergambar waktu peribadi, memang penat! Kami pulang ke dorm, kemas-kemas dan dihantar ramai-ramai ke kereta oleh adik-adik yang dikasihi...semoga kita berjumpa lagi. Sayang kamu semua kerana Allah. Bertemu berpisah kerana Allah, kita bagaikan satu keluarga!

**kalau ada masa, nanti baru masukkan gambar

No comments:

Post a Comment