Take chances, make mistakes. That's how you grow. Pain nourishes your courage. You have to fail in order to practice being brave !
Wednesday, April 06, 2016
Perasaan Berbolak-Balik
Tanggal 20 Februari 2016 yang lalu kami dijemput untuk menjadi tetamu Allah ke Baitullah. Alhamdulillah. Tidak semua manusia berpeluang ke sana. Kaya macam mana sekalipun, jika Allah tak izin, tak dapat juga nak jejakkan kaki ke bumi Haram. Syukur ya Allah kerana izinkan aku untuk sampai ke sana, membawa kedua orang tuaku sekali. Inilah harapanku yang paling besar yang telah Kau tunaikan.
Sekarang kerja-kerja menanggalkan mataf bertingkat/sementara sedang dijalankan. Jemaah umrah dan haji tahun 2013-2016 pasti pernah merasainya. Kami merasa tawaf di tingkat dua ketika tawaf wada'. Kerja-kerja berjalan pada 2 April, asalnya 1 April tapi ditangguhkan kerana jemaah terlalu ramai pada Jumaat 1 April itu. Mereka bekerja 24jam untuk memastikan ia siap ditanggalkan mengikut masa. Waktu ini, jemaah semua melakukan tawaf di tempat asal (ground floor). Ramainya lautan manusia...pasti lebih mencabar buat orang tua dan yang berkerusi roda. Semoga Allah permudahkan urusan semua. Syukur kerana kami sempat sempurnakan umrah sebelum kerja-kerja ini berjalan.
Kurang dari 6 bulan dari sekarang. Perasaan berbolak-balik. Bunga hati kembang kuncup. Persediaan belum bermula. Tak boleh fokus. Nak fokus untuk persediaan seminar pun tak boleh. Nak study pun tak boleh. Agaknya inilah yang kawan-kawanku rasa sebelum ini. Kejap rasa manis...kejap rasa tawar. Kejap rasa bahagia...kejap rasa derita. Aduhai hati. Macam tak percaya pun ada. Dah masuk 19 hari...masih tak percaya...biar betul...?
Sesekali perasaan rindu itu hadir. RIndu pada darah daging sendiri yang sepi tanpa berita. TIdak pernah terlintas untuk membuangnya dari kehidupan, tetapi dia yang tidak sudi untuk berada dalam kehidupan kami. Kami serba kekurangan, tidak pandai melayani dia anak beranak. Kami hina di mata dia. Kami tidak sesekali melupakan dia. Air dicincang manakan putus. Cuma kami juga punya hati dan perasaan. Hati yang berkecamuk dan terluka, ditinggalkan oleh insan yang dikasihi begitu sahaja. Hati yang remuk rendam melihat darah daging sendiri memilih orang yang baru dikenali sebagai pendamping hidup, berbanding dengan orang yang hidup susah dan senang bersama selama 30 tahun.
Zaman sekarang, bukan hanya teknologi yang maju, perbuatan jahat dan hitam manusia juga maju. Jika benar dia dan kami menerima angkara jahat manusia lain, biar Allah saja yang menghukum. Dunia ini hanya permulaan, akhirat nanti pengakhirannya.
Kadang-kadang rasa tak sempurna apabila nak rasa bahagia, tapi tak cukup korum dalam susur galur darah daging sendiri. Keluarga dah tak ramai, apabila ada yang menjauh, lagi kecil jadi keluarga ni. Kami tak kuat nak pergi menghadap orang yang tak sudi menerima kami. Kami hanya mampu berdoa dan terus berdoa. Kami doakan dia terbuka hati untuk menerima kami kembali. Kami doakan dia insaf dan sedar, yang dia masih punyai orang tua dan adik-beradik yang mengasihinya. Kami doakan dia sembuh jika benar dia sakit akibat perbuatan nista manusia lain. Kami doakan dia dilindungi Allah, dan dijauhkan daripada manusia-manusia yang berhati busuk. Kami doakan kami sendiri selamat, dan dilembutkan hati untuk menerima, saat dia kembali nanti. Kami doakan agar Allah beri balasan setimpal ke atas mereka yang memisahkan kami dan dia.
Apabila rasa tidak tenang...ingatlah Allah banyak-banyak. Ingat Allah pada waktu suka dan duka. Doa banyak-banyak.Istighfar tanpa henti. Minta Allah beri kekuatan. Minta Allah beri yang soleh solehah.
LIhatlah wajah tua mereka...entah lama mana mereka akan hidup...entah bila kita akan dijemputNYa...kembalilah sebelum terlambat...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment