Salam Hijrah 1431.
Di antara ibadat puasa yang disunatkan kepada umat Islam ialah berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri di dalam sejarah manusia khususnya umat Islam. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah(membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.
Di antara perkara penting yang berlaku pada 10 Muharram ialah Allah menyelamatkan Bani Israel dari kekejaman Firaun dan tentera-tenteranya. Oleh yang demikian tarikh 10 Muharram ialah merupakan tarikh di mana bermulanya episod baru dalam kehidupan Bani Israel setelah berabad lamanya ditindas oleh rejim Firaun di bumi Mesir.
Manakala hujah yang menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku pada tarikh 10 Muharram ialah hadis yang bermaksud :
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu dan Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi.
Manakala peristiwa lain yang berlaku pada 10 Muharram juga ialah pembunuhan Hussein RA di Karbala semasa perselisihan faham dengan tentera Yazid bin Muawiyah. Persitiwa ini membawa kesan besar di dalam sejarah yang seterusnya menjadi amalan penganut-penganut mazhab Syiah untuk merayakannya setiap tahun. Perayaan ini dapat dilihat dengan jelas di Iran dan sebahagian besar kawasan di Iraq .
Peristiwa lain yang dikatakan berlaku pada 10 Muharram ialah mendaratnya kapal Nabi Nuh as di atas bukit Judi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Nabi Nuh kemudiannya berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
Mengenai ibadat puasa pada hari ‘asyura ini, Syeikh Sayyid Sabiq di dalam kitabnya Fiqhus-Sunnah menyenaraikan beberapa hadis yang menyatakan kelebihan berpuasa pada hari tersebut. Antaranya :
Daripada Abu Hurairah RA : Rasulullah SAW ditanya, apakah solat yang paling afdhal selepas solat fardhu? Baginda menjawab, “Solat pada pertengahan malam.” Kemudian ditanya lagi, apakah puasa yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan? Baginda menjawab, “(Puasa pada) bulan Allah yang kamu gelarkan sebagai Muharram” – Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan Abu Daud.
Daripada Ibnu Abbas RA berkata : Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah SAW berkata, “Pada tahun hadapan – Insya Allah- kita berpuasa pada hari kesembilan.” Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah SAW. – Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud. Di dalam lafaz yang lain disebut sabda Rasulullah SAW : “Seandainya aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan (iaitu bersama hari ‘asyura) – riwayat Ahmad dan Muslim.
Daripada Aisyah RA berkata, “Sesungguhnya hari ‘asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah. Adapun Rasulullah SAW juga berpuasa padanya. Apabila baginda memasuki Madinah, baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, baginda bersabda, “Barangsiapa yang ingin berpuasa, teruskan. Barangsiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan). – Muttafaq ‘Alaih
Berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, para ulama mengambil kesimpulan bahawa disunatkan berpuasa pada hari ‘asyura di dalam tiga kaedah :
Puasa pada tiga hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram.
Puasa pada hari ke 9 dan 10 Muharram
Puasa pada hari ke 10 sahaja.
Seandainya timbul persoalan, bagaimanakah Nabi SAW menyontohi kaum Yahudi berpuasa pada 10 Muharram padahal baginda sendiri melarangnya di dalam sabdanya, “Berbezalah kamu dengan Yahudi serta Nasrani… berbezalah dengan Musyrikin..”. Maka kita menjawab bahawa puasa Nabi SAW pada 10 Muharram bukanlah semata-mata menyontohi kaum Yahudi bahkan kaum Quraisy telah terlebih dahulu berpuasa pada hari tersebut sebagaimana yang disebut di dalam hadis di atas yang diriwayatkan oleh Aisyah RA. Oleh yang demikian, dapat diambil kesimpulan bahawa sunnah berpuasa 10 Muharram dimulakan oleh syariat Nabi Ibrahim sebelum diamalkan oleh kaum Yahudi.
Sama-samalah kita berpuasa.
9 Muharram = Sabtu
10 Muharram = Ahad
No comments:
Post a Comment