Wednesday, April 11, 2012

GEMPA BUMI

Allah Maha Besar...
Tak sangka gegaran yang kurasai sebentar tadi benar-benar adalah gempa bumi magnitud 8.9 yang berlaku di Acheh. Amaran tsunami juga telah dikeluarkan. Semoga selamat saudara-saudara di sana.

Aku sedang berbaring di atas katil sambil menghadap laptop apabila gegaran itu kurasai. Aku ingatkan ada lori besar tengah lalu di jalan, tapi tak dengar bunyi bising pulak. Aku tengok rak kain bajuku juga bergegar semacam. Lama pula tu. Ada makhluk apa pula bawah katilku? Takkanlah jiranku buat sesuatu sampai bergegar bilikku? Aku tengok katilku tiada contact pun dengan dinding. Kenapa bergegar?

Rupa-rupanya memang ada earthquake...rasanya ini pertama kali aku merasai gegarannya. Aku tengok kipas berdiri tu pun bergoyang. Segera aku bangun tutup kipas, ambil handphone dan bergegas keluar dari bilik.Telefon rumah berdering. Abang long called untuk inform pasal gempa ni. Dia pun rasa. Katanya orang ramai di Jusco bertempiaran lari.

Dahulu masa tsunami 2004, abanglah yang paling trauma, sebab dia lihat sendiri ombak tsunami tu datang melalui parit besar di belakang rumahku yang bersambung dengan laut. Abang long juga lihat seekor kucing tergelincir ke dalam parit tu lalu hanyut dibawa arus deras. Seluruh halaman rumah kami, termasuk kawasan jalan yang lebih tinggi ditenggelami lumpur yang dibawa oleh arus tsunami. Abang long lah yang memekik memanggil mak untuk keluar dari rumah. Semua mereka berkumpul di atas kaki lima. Tiga hari pihak bomba mencuci jalanraya yang penuh dengan lumpur pekat tu.Tiga hari juga abang long tidur di ruang tamu kerana mahu bersiap sedia andai tsunami berulang.

Ketika itu aku berada di perantauan...secara fizikalnya tidak terjejas langsung oleh bencana itu. Aku lihat di siaran Sky news ada berita pasal Sri Langka, namun aku tak sangka ia juga melibatkan Malaysia, sampailah rakanku di Penang menghantar SMS berkenaan beberapa kematian di pantai Batu Ferringhi..barulah aku menelefon ke rumah. Saat itu keadaan sudah reda, semua orang sudah kembali ke rumah masing-masing. Mak tak putus-putus menjawab panggilan telefon daripada sanak -saudara dan kenalan yang bimbang akan keselamatan kami...kerana rumah kami berhampiran dengan pantai.

Alhamdulillah keluargaku selamat...
Saat ini ketika aku menulis, terdengar siren daripada pihak berkuasa yang memberi amaran untuk menjauhi kawasan pantai. Aku menjengah juga ke parit di belakang rumahku itu, mana tahu jika ada tanda-tanda tsunami...

Jalan raya begitu sesak..harap-harap semua orang tahu perkembangan ini..pulanglah ke pangkuan keluarga masing-masing dan jauhi kawasan yang berisiko.Semoga selamat semuanya.

Hari ini hari lahir YB.
Hari ini hari pertabalan Yang Di Pertuan Agong.
Hari ini ada gempa bumi.

p/s aku lihat di Twitter, BBC News (Europe) dah dua kali update pasal Tsunami di Acheh, Utusan (Asia/Malaysia) membisu saja?

No comments:

Post a Comment