Saturday, November 23, 2013

Sumber Inspirasi

Kisah pemergian "Syahid yang Tertangguh" Almarhum Ahmad Ammar hanya kuhidu kira-kira seminggu selepas kematiannya. Kesibukan mengejar urusan duniawi membuatkanku terkebelakang sedikit dalam soal ini.

Seorang anak muda berusia dua puluh tahun yang disayangi ketika hayatnya dan ketika kematiannya. Kagum melihat sumbangannya terhadap Islam. Jauh perjalanannya, luas pengalamannya walau usia masih muda. Almarhum mendapat didikan yang baik daripada kedua ibubapanya. Sedari awal lagi mereka sudah mencorakkan warna ke atas kain putihnya. Almarhum di hantar belajar jauh untuk menimba ilmu dan pengalaman berguna, sedangkan kebanyakan ibu bapa amat berat mahu melepaskan anak-anak mereka pergi jauh. Kebanyakannya mahukan anak-anak menjadi golongan profesional seperti doktor, jurutera dan peguam, kurang sekali yang mendorong anak-anak mempelajari ilmu sejarah.

Terpegun melihat wajah tenang kedua orang tuanya tatkala tiba untuk melihat jenazah Almarhum. Anak yang ditarbiyah seikhlas hati , ditatang dan disayangi hanya tinggal sekujur tubuh kaku, namun amat tenang pada pandangan mata yang melihatnya. Insan yang terpilih.

Sungguhpun Almarhum bukan warga Turki, namun jenazahnya diziarahi dan disembahyangi oleh majoritinya orang Turki. Malah, Almarhum dimakamkan di perkuburan yang menempatkan para sahabat Nabi, termasuk Abu Ayub al-Ansari, suatu kemuliaan pada pengakhiran usianya.

Aku jua pernah menanam cita-cita persis Almarhum Ahmad Ammar, mahu syahid di jalanNya...sungguhpun jalanku masih terlalu kabur, namun itu bukan penghalang untuk terus berusaha, selagi nyawa di kandung badan, usah putus asa mencari cintaNya.

Aku berdoa agar dapatku mendidik anak-anakku kelak menjadi pencintaNya dan dicintai oleh orang-orang yang mencintaiNya, dan aku juga berdoa agar dapatku menjadi seorang ibu yang mentarbiyah anak-anak ke jalan yang benar, dan jika ditakdirkan aku kehilangan mereka, aku redha dengan ketentuanNya.

Pemergian adik ini menjadi pencetus kebangkitan ummah dan inspirasi buat mereka yang cintakan jalanNya.

Tarbiyatul aulad harus bermula dari zaman bujang lagi, kelak nanti lebih mudah mahu mendidik anak-anak. Jangan nanti anak sudah laju berlari baru terkial-kial mencari ilmu... sedih melihat ibu bapa yang sogokkan anak-anak dengan tablet bagai dan kurang mendidik dengan kata-kata dan perbuatannya sendiri...

Kisah berinspirasi ini membuatkan kami bekas pelajar UK-Ireland teringatkan wira kami, Allahyarham Mas Afzal, yang meninggal dunia juga pada usia muda akibat Lymphoma. Aku juga pernah berada dekat dengannya apabila perlu berkongsi kereta bersama peserta-peserta lain untuk ke tempat program pada satu musim sejuk. Jasa dan sumbangannya tidak akan kami lupakan.

Al Fatihah untuk Ahmad Ammar dan Mas Afzal.

No comments:

Post a Comment