Friday, December 27, 2013

26 Disember

Tarikh bersejarah. Berlakunya tsunami besar pada tahun 2004. Baru beberapa bulan aku di Cork. Pagi itu aku dah nampak di Sky News, ada tsunami di Sri Lanka. Tak sangka pula melarat hingga ke Malaysia. Apabila sahabatku mesej, bahawa ada kematian di Batu Feringhi, barulah aku alert. Terus telefon mak. Rupa-rupanya rumah mak bertali arus menerima panggilan daripada sahabat handai dan saudara mara, bertanyakan khabar.

Rumah kami juga dilanda lumpur, dibawa arus tsunami. Penuh di jalanan, sehingga dibersihkan oleh pihak bomba. Seekor kucing mati dibawa arus. Dapur dan bilik air dimasuki lumpur dari lubang parit.

Tsunami - bencana alam - musibah - ujian - balasan

Apabila Allah turunkan bala, semua manusia kena, tak kira yang beriman mahupun yang tidak beriman. Manusia insaf buat sementara. Kemudian alpa dan leka.

Pelbagai teori muncul. Pesta seks dan maksiat dikaitkan dengan bala itu. Namun ramai yang masih tidak ambil pengajaran.

Tarikh ini juga seorang temanku menyambut hari lahirnya. Dalam keadaan koma. Terlantar. Sudah beberapa bulan begitu, sejak melahirkan anak keduanya. Peritnya dugaan yang ditanggung keluarganya, suaminya dan dua heronya yang masih kecil. Nak melepaskan, jasad masih di sisi. Nak menghargai, hanya sekujur tubuh yang kaku. Bila-bila masa saja boleh pergi. Bila-bila masa saja boleh sedar. 

Allah yang menentukan ajal maut. Jangan berputus asa. Betapa perit diri diuji, perit lagi ujian orang lain. Apabila rasa diri malang, lihatlah pada lebih malangnya orang lain. Redha, pasrah dan tidak berputus asa.

No comments:

Post a Comment