Sunday, December 29, 2013

Bedah Buku

Alhamdulillah diberi kesempatan menghabiskan dua buah buku yang amat bermanfaat, tulisan Tuan Guru Dato Dr Haron Din, ulama tersohor tanah air. Dahulu masa kecil, aku dah mengenali tokoh ini, bersama seorang lagi saudaranya, Dato Hassan Din al-Hafiz. Lama-kelamaan hanya Ustaz Hassan yang selalu muncul di televisyen, malahan menjadi penasihat agama istana negara. Lambat baru aku tahu bahawa Ustaz Haron Din sudah terlibat dalam perjuangan Islam melalui medan politik. Menyertai pakatan pembangkang menyebabkan tiada lagi jemputan untuk memberi pengisian di kaca televisyen. Namun umum mengetahui akan ketinggian ilmu beliau, beliau tetap dijemput berceramah ke serata negara, di samping menjalankan perawatan Islam melalui Darussyifa'. Semoga Allah merahmati ulama kesayangan ummah ini.

Buku 1 : Menjawab Persoalan Makhluk Halus, Kaitannya Dengan Penyakit dan Pengubatan

Tulisan berbentuk himpunan soalan daripada masyarakat. Jawapan yang padat dan jelas. Tuan Guru cuba sedaya upaya mengembalikan pemikiran manusia kepada al-Quran dan hadith. Menjawab berdasarkan nas.

Beberapa isi penting yang dapat dipetik:

Makhluk halus itu wujud secara ghaib, dan gangguan makhluk halus itu wujud, berupa gangguan syaitan/iblis/jin.
Manusia yang telah mati, rohnya akan berada di alam kubur, sama ada diseksa atau mendapat kesejahteraan, bergantung pada amalan hidupnya, dia kekal di alam barzakh sehinggalah tiba hari kebangkitan semula nanti. Jadi, mustahil jika dikatakan ruh orang mati kembali menziarahi keluarganya, ataupun seseorang yang menyerupai pasangan yang telah mati kembali dan tidur bersama pasangannya pada malam hari.

Antara ayat-ayat pendinding diri yang perlu diamalkan ialah al-Muawwidhat ( tiga Qul), ayat Qursi, ayat 1-5,256-257, 284-286 surah al-Baqarah, surah Yasin, ayat penggerak (Bismillahillazi…) dan banyak lagi.

Memakai dan mempercayai tangkal dapat melindungi diri  adalah syirik. Hadith riwayat an-Nasai daripada Abi Hurairah, maksudnya :
"Sesiapa yang menyimpulkan ikatan (benang) dan meniupnya (menjampi manterakan untuk sesuatu tujuan jahat) maka sesungguhnya dia telah melakukan sihir . Sesiapa yang melakukan sihir, maka dia telah mensyirikkan Allah ."


Sihir itu wujud, namun ia dijalankan secara rahsia, sukar untuk mengetahui sama ada seseorang itu terkena sihir, atau ia sakit kerana faktor fizikal atau lain-lain. Rasulullah saw sendiri pernah disihir, baginda merasakan perbuatannya serba tidak kena, tetapi baginda sendiri tidak tahu yang ia terkena sihir, sehinggalah diberitahu oleh malaikat Jibril, yang kemudian merawatnya. Sedangkan Rasulullah sendiri tidak mengetahui, bagaimana ramai manusia mendakwa orang itu orang ini disihir? Wallahualam.

Perbuatan sihir tidak boleh dibalas dengan sihir. Hanya boleh dirawat menggunakan ayat-ayat al-Quran, kerana setiap penyakit itu ada penawarnya, kecuali mati. Allah berfirman dalam surah al-Isra' ayat 82, maksudnya:
"Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman. Dan al-Quran itu tidak menambahkan orang-orang zalim melainkan kerugian jua."

Terdapat tiga jenis mimpi yang dijelaskan oleh Rasulullah saw melalui hadith daripada Abu Hurairah :
Pertama, mimpi yang baik dan benar  daripada Allah (al-Ru'ya al-Sadiqah).
Kedua, mimpi daripada gangguan syaitan.
Ketiga, mimpi akibat perkara seharian yang berlaku kepada seseorang lalu dia bermimpi mengenainya.


Buku 2 : Kaedah Merawat Santau

Buku yang lebih nipis, ringkas dan padat penerangan tentang santau dan rawatannya. Setiap perawat wajib berguru dahulu sebelum merawat santau. Terdapat empat jenis santau:

1. Santau makan dan minum
2. Santau angin
3. Santau tuju
4. Santau langkah

Seksa membayangkan kehidupan mangsa-mangsa santau. Namun akan lebih terseksa balasan kepada orang-orang yang mengamalkan santau ini.

Untuk mengetahui Kaedah Tepuk Daun Nangka seperti yang diamalkan di Darussyifa', bolehlah membaca buku ini.

Semoga Allah melindungi orang-orang beriman daripada kezaliman manusia lain.

No comments:

Post a Comment