Saturday, January 24, 2015

Memandu atau Membunuh?

Jatuh itu biasa. Bangkit dari kejatuhan itu luar biasa.
Biar berapa kali jatuh, usaha untuk bangkit semula.
Itu formula menghadapi cabaran hidup.

Seorang sepupu berusia 69 tahun baru kembali menghadap Ilahi. Barah payudara. Hidupnya sudah diberi petanda bahawa ia akan berakhir, disabitkan dengan penyakitnya. Tidak begitu rapat dengannya, masih bersyukur kerana diberi kesempatan hadir ke rumahnya pada tahun lepas sempena kenduri kesyukuran.

Ada orang yang tidak diberi tanda kematian. Mengejut. Semalam ketawa, hari ini maut dalam nahas kemalangan. Ajalnya sudah sampai. Disabitkan pada kemalangan jalan raya. Namun yang perlu di ketengahkan ialah etika dan kemahiran memandu. Ramai yang ambil ujian memandu sekadar mahu mendapatkan lesen. Segala silibus yang dikhatam sekadar untuk lulus ujian. Usai dapat lesen, jalan raya dibaham sesuka hati. Tidak menghormati pengguna jalan raya yang lain, apatah lagi mengambil berat akan keselamatan orang lain.

Membelok sesuka hati, signal tidak diberi. Berat sungguh tangan mahu menyalakan signal.
Memandu laju, tergesa-gesa menuju destinasi, sanggup menghimpit kenderaan lain dan membunyikan hon bertalu-talu.
Memotong di garisan berkembar, diri sendiri mungkin terlepas, tetapi pemandu lain yang kaget mungkin hilang kawalan.
Memandu perlahan di lorong kanan, ini memang sah tak belajar undang-undang jalan raya.
Tidak memberi laluan kepada kenderaan dari arah kanan di bulatan, tidak tahu giliran atau pura-pura tidak tahu?
Tidak sabar memandu di belakang kenderaan besar seperti lori dan bas, cuba memotong namun gagal, masuk semula ke laluan dan hilang kawalan.

Sedih membaca berita kemalangan di Sungai Petani itu. Sekeluarga terlibat. Seorang rakan kepada anak lelaki yang menumpang kereta maut di tempat kejadian. Gara-gara gagal memotong treler lalu merempuh pula belakang treler. Innalillahi wainna ilahi raajiun. Ambillah pengajaran daripada setiap kemalangan yang berlaku, ada yang boleh dielakkan! Apa salahnya bersabar sebentar dan tunggu sehingga keadaan benar-benar selamat baru memotong.

Ini belum kira pemandu lori, treler dan bas yang memandu dengan sangat laju. Kenderaan besar, susah untuk brek mengejut, boleh hilang kawalan dengan mudah. Sudah acap kali kemalangan membabitkan bas berlaku. Kematian yang melibatkan ramai orang pula. Masih belum mengambil pengajaran.

Kagum dengan etika pemanduan rakyat Ireland. Berebut mahu memberi laluan kepada orang lain. Acap kali pelintas jalan teragak-agak mahu melintas, kerana menunggu sebuah kereta sahaja, namun kereta yang sebuah itulah yang berhenti memberi laluan. Tidak kira yang mahu melintas itu orang Irish, orang Malaysia, orang India atau orang gelandangan sekalipun, mereka pasti berhenti memberi laluan. Begitu juga jika memberi signal untuk membelok, pasti diberikan peluang. Di Malaysia, nampak signal, buat tak tahu, lagi laju dia jalan. Siap bunyi hon lagi. Di Kuala Lumpur, pemandu-pemandu masih baik hati. Ramai yang masih mudah memberi laluan. Namun di Pulau Pinang, usah cakaplah, The Star newspaper sendiri melaporkan pemandu di sini mempunyai etika pemanduan paling buruk di Malaysia! Hon sana-sini, motorsikal keluar masuk sesuka hati, bergaduh atas jalan raya yang sibuk pun ada.

Jika boleh, janganlah mensabitkan kecederaan atau kematian kita dengan kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian. Lebih menyayat hati lagi jika kecuaian kita menjadi punca seorang ibu kehilangan anaknya ataupun seorang isteri kehilangan suaminya. Siapa nak tanggung kesedihan mereka?

Al-Fatihah

No comments:

Post a Comment