Lagu-lagu hits dalam album tersebut sering berkumandang melalui corong radio jiran sebelah. Kakak yang dipanggil Bobo, setiap hari memasang lagu-lagu itu dengan kuat. Apabila hari-hari dengar, lama-lama terpikat suara siapakah gerangannya?
Kumpulan Slam bersama vokalisnya Zamani begitu popular pada zaman 90-an. Populariti lagu Gerimis Mengundang adalah kemuncak kejayaan mereka. Nama mereka tersohor hingga ke Indonesia, Brunei dan Singapura.
Masuk tahun 2000-an, Slam mula slow down dan akhirnya Zamani menjadi penyanyi solo. Suara lunaknya tiada tandingan. Zamani yang sememangnya kurus kelihatan lebih kurus. Beliau masih memenuhi undangan nyanyian di sana sini.
Pernah dihambat kontroversi mengambil dadah ketika hayat ibunya masih ada. Namun, beliau berjaya membuktikan bahawa najis dadah bukan permainannya. Isu itu terhenti dan senyap. Mana disangka, sejak sepuluh tahun yang lepas, beliau dihantui semula oleh isu ini.
Ketiadaan ibu kesayangannya serta status beliau sebagai artis menjadi platform terbaik untuk beliau dikejar pengedar dadah. Entah apa dan di mana silapnya, beliau akhirnya tumbang, lalu menjadi hamba penagihan dadah. Beliau cuba mengatasi ketagihannya dan mendapatkan rawatan pemulihan di AADK, namun ketagihannya berulang semula. Zamani mungkin hidup sendiri dan tidak mempunyai kekuatan penjagaan yang kuat. Semua adik-beradiknya sudah memiliki keluarga masing-masing, dan beliau sendiri masih membujang. Faktor persekitaran juga mungkin mempengaruhi keputusan beliau untuk menagih semula.
Akhirnya ketagihan beliau diketahui umum. Satu Malaysia kecoh dan kecewa pada mulanya, namun bertukar pada simpati setelah video beliau menyanyi dengan tangan bergari disebarkan oleh anggota polis yang tidak bertanggungjawab. Tambahan pula ramai yang tampil memuji sikap sebenar Zamani sebagai seorang yang sangat menjaga tutur kata, berbudi bahasa dan tidak bergaduh dengan orang lain. Namun beliau hanya melakukan satu kesalahan, beliau tumpas kepada najis dadah!
Ramai juga yang tampil untuk memberi bantuan memulihkan Zamani. Walau apa pun rawatan yang dipilih, wajib untuk beliau kembali kepada ajaran agama. Jangan tinggalkan solat, banyakkan zikir dan membaca al-Quran, serta beramal dengan amalan-amalan yang mampu menguatkan rohani.
Masyarakat perlu memainkan peranan untuk memberi sokongan penuh kepada beliau, jangan sesekali memandang hina beliau. Kesalahan beliau perlu dihukum dengan hukuman yang akan membantu beliau bangkit semula. Tumbang, bangkit dan berlari semula. Semoga Zamani benar-benar pulih dan kembali dekat kepada ajaran agama yang sebenar.
No comments:
Post a Comment