Sunday, May 03, 2015

Bukan Salah Myvi

Beberapa hari yang lepas, semasa melalui Jambatan Pulau Pinang untuk pulang ke rumah, aku dah nampak melalui cermin pandang belakang, sebuah kereta Myvi kelabu laju meluru dari lorong kiri. Pemandunya ingin memotong keretaku dan masuk ke lorong tengah, dia sepatutnya ke hadapan dulu di lorong kiri, tetapi dia menghimpit keretaku lalu masuk ke hadapan keretaku di lorong tengah. Aku yang sudah bersedia terpaksa memperlahankan kereta untuk memberi laluan kepadanya. Namun, aku hadiahkan hon panjang kepadanya dan dua kali kelipan lampu tinggi. Kurang ajar, dan tidak beretika!

Dua hari lepas, negara dikejutkan dengan kemalangan maut di Lebuhraya DUKE, dua kanak-kanak perempuan yang masih muda usianya, menjadi yatim piatu setelah kereta yang dinaiki ibu bapa dan adik bongsu mereka bertembung dengan sekumpulan pelumba kereta Myvi (MyviFamilia). Kejadian itu meragut nyawa tiga beranak itu sekaligus, dan masih ada lagi pelumba enam kereta Myvi itu yang meloloskan diri! Kebetulan ia melibatkan kereta Myvi. Bukan salah Myvi, tapi salah pemandu-pemandu yang pentingkan diri sendiri, cuai dan angkuh itu. Cubalah bayangkan, jika pemandu-pemandu Myvi ni kehilangan tiga anggota keluarga sekaligus, apakah perasaan mereka?

Sememangnya ajal mereka telah ditetapkan, namun apabila asbab kematian itu dikaitkan dengan sikap buruk pemandu lain, ia amatlah memedihkan untuk diterima. Semoga pemandu-pemandu Myvi racing itu dan semua pemandu lain mengambil pelajaran daripada tragedi ini. Takziah kepada keluarga yang terlibat, dan Al-Fatihah untuk mangsa yang terkorban...

No comments:

Post a Comment