Monday, July 20, 2015

Baik Buruk, Itulah Keluarga :)

Baki dua hari setengah lagi sebelum bekerja semula.
Alhamdulillah. Aidilfitri disambut amat sederhana. Baju tidak berlebihan, tiada langsir baru, tiada perabot baru, dan makanan pun tidak dibazirkan. Malam raya, dapat tidur sebelum pukul 1 pagi, cuma terganggu oleh bidikan meriam buluh dan mercun bola.

Seronok tengok keluarga orang lain pakai baju raya warna sedondon. Keluargaku tidak begitu.
Seronok tengok keluarga lain berkumpul ramai-ramai sampai penuh rumah, bergambar sampai berlapis-lapis. Keluargaku tidak begitu.
Seronok tengok keluarga lain bercuti dan berziarah tiga empat buah kereta sekali. Keluargaku tidak begitu.

Walaupun keluargaku tiada semua itu, aku tetap seronok dengan keluarga sendiri.
Kami tak pakai baju raya sedondon, tapi kami pastikan semua ahli keluarga pakai baju raya baru yang cantik.
Kami tak dapat berkumpul seramai itu, tapi apabila berkumpul mana yang ada, kami tetap meriah dan bergambar juga.
Kami tak bercuti atau berziarah tiga empat kereta sekali, tapi kami berziarah juga walau hanya dengan sebuah kereta.

Inilah keluargaku. Baik buruk tetap keluarga sendiri juga yang best. Dah kenal keluarga sejak kecil, apa lagi mahu komplen? Tak perlu nak banding-bandingkan dengan keluarga orang lain, masing-masing punyai cara tersendiri kan.

Ada juga segelintir orang kita yang apabila berkahwin dan masuk ke dalam keluarga pasangannya, dia jadi culture shock. Dia rasa keluarga pasangannya baik serba serbi. Ibubapa mertua lemah lembut dan penyayang, sanak-saudara pasangan sopan santun, adik-beradik pasangan ramah tamah, termasuk juga rumah keluarga pasangan yang amat selesa! Maka mulalah dia merasakan bahawa ini dunia barunya yang lebih baik, buat apa bersusah payah hidup dalam dunia lamanya. Iyalah, keluarganya sendiri kurang serba serbi. Mak ayahnya garang dan tegas, adik-beradiknya pendiam dan tidak pandai melayaninya, sanak-saudaranya sangat kekampungan, serta rumahnya sempit dan panas. Tunggu apa lagi kan, baiklah bersama keluarga pasangannya.

Dilupakan terus pada pengorbanan mak ayah membesarkannya dalam keadaan serba kesusahan. Ketegasan mak ayahnyalah yang menjadi pendorong untuknya habiskan pelajaran di menara gading. Sikap pendiam adik-beradiknyalah yang mengundang damai dalam rumahnya, tidak pernah bingit. Sikap kampung sanak-saudaranya itulah yang sentiasa bertanya khabar dirinya setiap kali berjumpa. Rumah sempit dan panas itulah tempatnya membesar menjadi seorang manusia.

Siapa yang tak sukakan kesenangan dan kemewahan kan, namun jangan sesekali lupakan asal usul kita. Jangan lupa dari rahim mana kita dilahirkan ke dunia. Jangan lupa, keringat siapa yang membanting tulang untuk memberi kita makan setiap hari. Jangan lupa, bumbung mana yang menjadi tempat berteduh kita sejak kecil.

Saat menyalami tangan ibu bapa mertua, tidak teringatkah pada ibu bapa sendiri di kampung? Saat menikmati kemeriahan berkumpul bersama keluarga pasangan, tidak teringatkah pada keluarga sendiri? Seburuk-buruk ibu bapa kandung, syurga tetap pada keredhaan mereka, dan sebaik-baik ibu bapa mertua, mereka tidak pegang anak kunci syurga kita.

Tepuk dada, tanyalah iman, lebih-lebih lagi anak-anak lelaki yang tanggunggawabnya terhadap ibu bapa tidak pernah putus walau berapa pun isterinya. Jangan lupa, kita juga akan tua suatu hari nanti, kita juga akan memiliki anak-anak yang meningkat dewasa, kita juga akan memiliki menantu, sanggupkah kita dilayan sebegitu rupa nanti?

Hari baik, bulan baik, jika ditunggu esok, esok belum pasti lagi ada hayat kita.

Salam Aidilfitri 1436 H.

p/s seburuk-buruk ibubapa mertua, kita sebagai pasangan jangan sekali-kali pisahkan mereka dengan pasangan kita.

No comments:

Post a Comment