Wednesday, July 22, 2015

Guri

Bergigih membersihkan "guri" @ tempayan antik ni, milik arwah tok dulu. Masa tok duduk rumah papannya dulu, guri ni diletakkan di kaki tangga. Sebelum naik tangga nak masuk rumah, basuh kaki dulu dengan air guri. Sejuk dan nyaman!

Masa rumah tok dirobohkan, kami tak cakna sangat nak ambil barang-barang tok. Ada yang keluarga Arwah Pak Chaq ambil, ada yang Mak Long ambil, dan ada yang terbiar saja. Bila Mak Long dah tanya, aku pun claim la harta klasik arwah tok ni. Siap dapat dua biji, tapi yang satu lagi tu dah retak dan bocor, cuma yang ini masih elok. Habis aku cuci tadi dan isikan dengan air. Nanti nak sapu syelek bagi berkilat.

Selepas Pak Chaq meninggal dunia, kami bawa tok tinggal dengan kami. Hampir dua tahun juga tok tinggal dengan kami. Daripada boleh mengesot, sampailah tok dah uzur dan perlu dipakaikan diapers.Tok meninggal pun di depan mataku, selepas aku mandikannya pagi Ahad tu. 

Suka duka dan cabaran menjaga tok hanya aku, mak dan ayah yang merasainya. Tok ketika dahulu tak sama dengan tok tiga empat tahun sebelum kematiannya. Sikap tok berubah bersama usianya. Lebih degil dan lebih lancang. Tapi itulah tok kami. Lepas tinggal dengan kami, wheezing@ penatnya hilang terus. 

Aku belajar lebih bersabar menjaga orang tua apabila aku turut bantu mak uruskan tok. Aku belajar pakaikan diapers dewasa, pada waktu hampir sama aku belajar pakaikan diapers bayi. Aku hadap berak kencing tok sama macam aku hadap najis pesakit-pesakit di wad. Bezanya, aku tak perlu tukarkan diapers pesakit di wad sebab sudah ada jururawat yang buatkan.

Kami bagi tok makan kenyang-kenyang sampai berat badannya bertambah. Ayah sebagai menantu, rajin cubitkan ikan jadi small pieces supaya mudah tok makan. Tok kan dah kurang gigi. Apabila aku atau mak mandikan tok, ayah bantu mop lantai tempat tok tidur. Baju tok kami rendam asing, tapi kami tak berkira untuk basuhkan.

Waktu raya, ramai sanak-saudara datang melawat, sebab tok satu-satunya orang tua yang masih hidup di kalangan adik-beradiknya. Sampai sakit pinggangku asyik basuh gelas. Tok tidak nyanyuk, mungkin berkat daripada surah Yaasin yang pernah dihafalnya.

Hmmm bukan senang nak jaga warga emas ni. Perwatakan mereka sudah berubah, tak sama dengan waktu mereka lebih muda. Siapa yang tiada pengalaman mungkin tak memahaminya. Jangan bercakap besar, dengan mengatakan bahawa dia boleh layan orang tua lebih baik daripada orang lain jika belum mencuba. Bercakap itu mudah, nak buat tu yang susah. Buat dulu, baru boleh mendabik dada kata kau boleh jaga orang tua.

Sudah dua tahun tok meninggalkan kami. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Semoga tok telah ampunkan kekhilafan kami sebelum dia pergi. Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment