Sunday, October 16, 2016

Sah !

Hari yang dinanti telah tiba. Allahuakbar, rasa bagai baru semalam dok berangan pasal hari ni. Tengok-tengok dah muncul. Seawal pukul lima dah bangun. Badan masih letih, tak cukup rehat. Dititipkan doa semasa tahajjud, semoga Allah permudahkan segalanya, semoga Allah melindungi perjalanan rombongan ke sini, dan semoga Allah beriku kekuatan. Sudah bertekad sejak beberapa hari ni, tak boleh menangis! Say no to crying! Seganlah menangis depan orang ramai. Nanti muka pula comot.

Itu adalah Subuh terakhirku sebagai bujangan. Masya Allah, lepas ni aku adalah milik seseorang! Lepas YB dan Kak Balqis sampai, mereka ambil alih tugasan mengemas baki yang tinggal. Aku segera membersihkan diri. Ayah pergi ambil tempahan nasi lemak dan kuih muih daripada Pak Haji Simpang Tiga. Aku breakfast seorang diri di dapur sebab nak cepat. Sempat pula sakit perut selepas breakfast. Pukul lapan, Yon dah mesej, bagitahu dia tengah tunggu Mak Ngah siap, lepas tu terus datang rumahku. Debaran.

8.30am, Yon dan mak ngah sampai, terus mula sesi make up. Yon terima cadanganku untuk guna lipstick soft pink saja, segan nak bibir merah depan tok kadi. Dalam empat puluh lima minit dah siap make up, salin baju, dan pakai tudung. Yon tolong pakaikan veil. Alhamdulillah hasilnya memuaskan. Masa aku keluar dari bilik, mak dan YB baru balik ambil sireh junjung.

Nurol dan Jaz sampai masa tengah pakai tudung, siap buat live update dekat Farah and CT. Saudara mara dah mula sampai, termasuklah yang membawa hantaran last minit tu. Mereka selit di bawah kek sponge chocolate. Nurol tolong letakkan bead strings pada bekas bahulu bentuk nenas yang juga baru diambil pagi tu. Terima kasih semua :)

Hampir pukul sepuluh, masih tiada khabar diterima. Dah sampaikah? Sangkut di jalankah? Call dua kali tak angkat. Pasrah. Langit dah mula mendung, angin bertiup kencang membawa awan hitam. Saat itu, dapat panggilan. Alhamdulillah, mereka dah ada di masjid. Syukur. Perjalanan ke masjid bagai tersekat. YB dan ayah kalut mengambil payung. Hujan lebat dengan angin lintang membasahi kami. Lambatnya ambil payung. Mak Teh beritahu, tok kadi dah ada di masjid. Berdebar lagi. Janji 10.30 pagi, masa tu baru 10.10 pagi. 

Tidak betah berlama-lama, aku terus menapak ke kereta Jaz, naik dengan Nurol sekali. Biar mak dan ayah naik dengan YB. Satu demi satu kereta meninggalkan rumah, menuju ke masjid yang hanya terletak 500 meter ke dalam kampung. Jaz masuk hingga ke depan tangga masjid. Kereta pengantin kan, istimewalah sikit. Segan nak keluar dari kereta. Nampak bakal biras sedang duduk di kerusi tepi masjid. Melangkah naik anak tangga masjid, mata menangkap kelibat dia, sedang berdiri di muka pintu. Berdebar. Saling berbalas senyuman. Dia yang akan memiliki aku beberapa minit saja lagi. Allah...semoga ini yang terbaik untukku.

Kembaq hang lah...sama..dah la baju sama!
Terdengar di gegendang telinga, komentar Jaz dan Nurol. Nak tergelak pun ada. Itu first time ada orang komen yang muka kami sama. Mungkin sebab warna baju sama? Iyalah, kain yang sama. Masuk dalam masjid, duduk di satu sudut. Panaslah pulak, bangun ke tengah sikit, dekat dengan kipas angin. Lensa kamera tidak putus-putus merakamkan wajahku. Jadi kekok pula, nak senyum kah, nak serius kah, nak candid kah? Waktu ni terdengar kak Balqis juga kata, wajah kami seiras! Orang kata, kalau pasangan wajah seiras, jodohnya kuat. Ameen!

10.25 pagi, tok kadi panggilku dan ayah. Minta kad pengenalan dan salinan kad pengenalan. Alamak, mana ada salinan kad pengenalan, tak tahu pun kena bawa? 
"saya dah pesan banyak kali suruh bawa kan?"
Kena sound dengan tok kadi. Not a good first impression. Bila masanya tok kadi pesan? Masa kat pejabat agama pun tak, masa on the phone dengan ayah pun tak, masa tok imam datang rumah pun tak. Yang mana dah kahwin pun tak disuruhnya bawa salinan kad pengenalan pun.

Kad pengenalananku dan "kembarku" diambil oleh seseorang, bawa pergi fotostat. Satu kerja pula. Haru betul. Kena isi borang kebenaran bernikah, exactly the same form yang aku dah isi dan hantar ke pejabat agama hari tu. Timbul rasa tak puas hati. Dah la kena marah macam tu, kena isi borang kali kedua pula. Dalam dok frustration tu sampai lupa number ic dia, padahal dah hafal sebelum ni. Terus minta YB rescue, bawa borang tu kepada tuannya dan isikan nombor ic.

Khutbah pun bermula. Lembut gemalainya suara tok kadi, nak dengar butiran khutbah pun susah. Hanya muslimin di sekelilingnya yang dapat dengar kot. Yang aku berjaya dengar, point ketiga untuk isteri, hendaklah mendidik anak-anak...
Lepas setengah jam, khutbah berakhir. Time ni baru berdebar yang amat. Tangan kanan genggam tangan kiri, tangan kiri picit tangan kanan. Nak pegang tangan mak susah sikit, sebab mak duduk atas kerusi di belakangku. Nak pegang tangan Jaz atau Nurol , nanti mak kecik hati pulak. Maka peganglah tangan sendiri.

Sempat dengar tok kadi tanya beberapa soalan. Sebelum tu siap tengok lagi mas kahwin dan barang kemas. Make sure cukup. Yang tak sangka tu, dia pun gementar juga :) ingatkan cool saja. Alhamdulillah, dengan dua kali lafaz, maka sahlah kami sebagai suami isteri....Terima kasih ya Allah...

23 September 2016


No comments:

Post a Comment