Apabila perkara yang dirancang telah dihalang, pasti perasaan duka itu terbit, namun hati yang subur dengan iman kepadaNya pasti bisa dipujuk, agar tidak berlarutan rajuknya.
First of all, tidak sedikit pun aku meminta untuk dihantar ke sini. Langsung tiada dalam perancangan. Namun, Dia telah merancang untuk membawaku ke sini. Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk hidup berdikari, walau masih dekat dengan kedua orang tua. Kehidupan di kawasan ini lebih mendamaikan. Kurang sedikit hiruk-pikuk kesibukan duniawi. Bekerja di jabatan ini jua ditentukanNya. Ini pilihan terbaik yang ada pada masa itu, dengan harapan dapatlah membuat pilihan yang lebih baik kemudian nanti.
Karenah birokrasi menutup pintu keluar yang ada. Apabila adanya seorang ketua yang terlalu menjaga nama baik institusi berbanding menjaga masa depan orang-orang bawahannya, terpaksalah aku berkampung di sini. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.Apa yang dirasa, tidak tersampai oleh baris-baris ayat yang dipenakan. Dia tidak mahu melepaskan kami pergi. Baginya, minat dan kemahuan kami adalah tidak penting. Yang penting adalah untuk mengisi kekosongan yang ada. Malah amaran dikeluarkan bahawa tindakan demerit akan dikenakan andai kami mempersoalkannya lagi. Pemerintahan kuku besi ni.
Sukar sekali untuk mengikhlaskan diri, bahawa aku bekerja ini kerana Allah. Dua rakan sekerja lelaki secara jujur mengatakan bahawa akulah yang kelihatan paling gembira bekerja di sini, kerana aku biasa nampak gembira saja. Jangan menilai dari luaran, dalam hati siapa yang tahu? Dahulu di ED juga ada seorang rakan sekerja yang mengatakan kekagumannya melihatku yang sentiasa kelihatan tenang walau dalam situasi apa jua. Oh, tidak! Luarannya mungkin aku tenang, dalamannya hanya Allah yang tahu. Mungkin kerana aku tidak pandai untuk menunjukkan emosi, mungkin juga aku jenis yang lebih suka untuk menyembunyikan emosi. Maka mereka mengatakan bahawa aku tenang. Aku gembira. Aku tiada masalah.
Saat mendengar kata putus daripada ketua itu, terasa gelap sebentar hidupku. Perlu tunggu enam bulan lagi sebelum boleh merancang ke arah masa depan yang diingini. Kejam. Pemimpin tidak adil. Nanti aku pakai kereta kabel untuk bergerak baru tahu. Protest!!!!
Namun aku sedar, bahawa setiap yang berlaku itu adalah yang terbaik daripada Allah. Allah yang lebih tahu. Maka aku harus memujuk hati ini untuk redha dengan ketentuanNya.Ada hikmah yang perlu dicari. Harus ikhlaskan hati bekerja keranaNya. Bukan kerana manusia. Jaga akhlak, jaga iman, jaga amalan. Kerana aku seorang Muslim.InsyaAllah, hidup dan mati keranaNya.
No comments:
Post a Comment