Monday, August 18, 2014

Syawal Bulan Makan?

Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Syukur kerana masih diberi kesempatan untuk menikmati Syawal sekali lagi. Sudah nak berakhir pun Syawal.

Bulan Ramadhan, tidak ramai yang berlumba-lumba menganjurkan majlis iftar ataupun menyediakan juadah berbuka setiap hari kepada mereka yang berpuasa. Bulan Syawal, ramai yang berlumba-lumba menganjurkan rumah terbuka. Setiap minggu ada jemputan. Ada yang buat dua-tiga minggu berturut-turut. Tahniah kepada mereka yang ikhlas meraikan sahabat handai serta sanak-saudara pada rumah terbuka mereka. Tahniah pada mereka yang berjaya menghubungkan silaturrahim sesama manusia dengan menganjurkan rumah terbuka. Besar pahalanya menjamu orang lain makan.

Namun, ada juga yang tidak berapa enak dilihat dan didengar. Di pejabat, setiap unit atau jabatan nak buat jamuan raya. Makan-makan-makan. Apabila pihak pentadbiran buat jamuan raya, habis lengang pejabat, sehinggakan semua urusan terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kakitangan jabatan pergi makan-makan. Yang kakitangan dari jabatan lain juga tidak melepaskan peluang pergi makan, makan dan makan. Pergi dengan rakan-rakan sejabatan, duduk makan bersama, dah kenyang, balik ke jabatan masing-masing. Silaturrahimnya di mana?

Lelaki menjemput perempuan ke jamuan raya di rumahnya. Maka pergilah sekumpulan perempuan ke rumah lelaki ini, begitu juga sebaliknya. Dapat makan dan bersembang, ukhuwah pun terjalin. Persoalannya, terjagakah ikhtilat mereka? Lepas makan, ambil gambar dua tiga keping, gelak-gelak, puji-memuji...ikhtilat?

Semua senario tersebut telah berlaku di depan mata sendiri. Bukan rekaan semata-mata. Hairan. "Kagum" dengan generasi sekarang yang seakan-akan hilang rasa malu dalam diri. Zaman aku lebih muda dahulu, kami hanya beraya di rumah rakan-rakan perempuan. Tak kisahlah dari pagi sampai petang sekalipun, hanya rumah rakan perempuan yang kami pergi. Pergi dengan geng-geng perempuan juga. Rakan lelaki juga tiada yang menjemput kami. Tebalnya rasa malu dalam diri.Rasanya tak terjejas pun ukhuwah jika tak makan-makan sekali macam itu.

Baru-baru ini, aku ditinggalkan sendirian di bilik rawatan semata-mata kerana para pembantuku mahu makan jamuan raya anjuran jabatan lain. Setahu aku tengah hari itu mereka telah keluar makan tengah hari, tapi kemudian nak makan lagi? Aku sabar. Bilik-bilik lain pun mula lambat juga. Pesakit pun tidak ramai sangat petang tu. Tengah aku berkira-kira untuk ambil kad dan mula sendirian, mereka kembali ke bilik. Masing-masing membawa dua tiga mangkuk/pinggan berisi makanan. Sempat makan dulu (dengan lahapnya) sebelum panggil pesakit. Sungguh aku berasa terkejut dan janggal dengan situasi itu. Laparnya...bukankah dah keluar makan tadi? Lahapnya makan laksa, nasi impit dan sate..bukankah baru-baru ini makan benda yang sama masa jamuan raya jabatan lain? Makan macam tak biasa makan makanan tu.

Aku sabar. Berbau bilik dengan makanan raya. Aku fokus dengan pesakit. Pembantuku sekejap duduk depanku, sekejap bangun ke belakang. Aku sabar. Apa yang kalutnya, nanti dah habis tengok pesakit, makanlah puas-puas, bukannya makanan tu nak basi pun. Tengah sibuk periksa pesakit, boleh pula pembantuku nak buka cerita yang dia jumpa seorang kenalan ni masa jamuan raya tu. Respon aku? HA. Lepas tu aku suruh dia cek suhu. Cerita tak dilayan. Ada pesakit kot. Pesakit bukannya pekak, dan aku perlu fokus! Masa selang waktu antara pesakit seterusnya, sempat pula pembantuku bertanya, "ada banyak-banyak kat belakang tu, tak teringinkah?". Jawapan aku? TAK. Lepas tu aku senyum. Aku dah kenyang makan jamuan raya bekas wad aku dulu masa lunch break. Nak suruh aku makan lagi pukul 3 petang tu? Memang tak lah. Raya bukan semata-mata untuk makan okay.

Peristiwa macam inilah yang buat aku rasa ralat dengan jamuan raya. Terutamanya apabila fokus kerja terganggu. Nak kata tak suka jamuan raya, tipulah. Cuma tak suka sikap segelintir orang terhadap jamuan raya. Dalam erti kata lain, BURUK PERANGAI.

Benarlah, jika nak tahu madrasah Ramadhan kita berjaya atau tidak, lihatlah pada Syawal kita.

Tahun lepas, aku sangat Raya Sick. On call berderet-deret lepas raya. Bila post call, balik rumah parents, sambung raya. Dekat tiga minggu jugalah aku rasa begitu. Tahun ni, alhamdulillah, bila aku habis cuti raya seminggu, mood raya hilang terus. Malah aku teramat rindu pada Ramadhan. Rindu pada disiplin diri semasa Ramadhan. Rindu pada keajaiban Ramadhan. Rindu suasana ibadah dan kebajikan semasa Ramadhan.

Hujung minggu baru ni, aku terpaksa ketepikan dua jemputan rumah terbuka. Tiada kaitan dengan perasaan-perasaan di atas, cuma aku perlu melayani tetamu yang hadir ke rumahku pula. Maaf andai ketidakhadiranku membuatkan ada yang berkecil hati.

Salam penghujung Syawal.


No comments:

Post a Comment