Sambung tonton Oasis, ada drama bertajuk Syurga Untuk Lelaki. Sungguh memberi pengajaran. Alif dan ibunya amat rapat dan mengasihi antara satu sama lain. Ibunya mahu Alif gembira, lalu mengahwinkannya dengan Rohani. Rohani seorang gadis yang baik, dia diminati oleh Rahim. Alif pula diminati oleh Ros. Ros amat marah setelah mengetahui Alif telah berkahwin. Ros selalu mengadukan hal ehwal hatinya kepada Mak Long. Mak Long mula mencucuk jarum. Mak Long hasut Rohani dan menyebarkan fitnah ke atas ibu Alif. Rohani mula bergaduh dengan ibu mertuanya. Akhirnya Rohani dan Alif berpindah. Sudah lama mereka tidak menjenguk ibu. Ibu sentiasa berdoa supaya mereka bebaik semula, walaupun ibu berkecil hati dengan Rohani (akibat fitnah itu).
Alif menghidap barah hati peringkat akhir. Alif teringatkan ibunya di saat hujung hayatnya itu dan berazam untuk berbaik semula. Rohani pula sedang mengandungkan anak pertama. Pada suatu petang, Rohani ke rumah Mak Long dan terdengar perancangan jahat Mak Long bersama Ros dan Rahim. Tembelang sudah pecah. Hakikat sebenar telah diketahui. Rohani menyesal bersangka buruk dengan ibu mertuanya.
Alif dan Rohani pulang ke rumah ibu pada malam raya. Mereka memohon keampunan, dan ibu mengampunkan mereka. Kata ibu, dia tidak pernah membuang Alif dan Rohani dari hidupnya. Ibu sambung masak untuk raya. Rohani dan Alif pasang langsir. Alif bersyukur kerana masih diberi peluang menyambut raya dengan ibu dan Rohani. Alif pesan pada Rohani, JANGAN TERLALU MUDAH MEMPERCAYAI ORANG, KENA ADA RUANG PADA KEPERCAYAAN ITU.
Sedang mereka berbicara, Alif rebah ke lantai. Hayatnya sampai di situ saja. Ibu dan Rohani redha akan pemergian Alif. Di hujung babak, ibu, Rohani dan cucunya melawat kubur Alif. Rohani dan anaknya tinggal bersama ibu aman damai.
Ada banyak drama yang berkualiti dan memberi manfaat kepada kita. Banyak daripadanya adalah pengajaran daripada kisah benar. Rugilah jika kita tidak mengambil pengajaran daripadanya.
No comments:
Post a Comment