Berita pengunduran tentera rejim Zionis dari Semenanjung Gaza membawa perkhabaran gembira buat warga Palestin khususnya dan seluruh manusia yang berperi kemanusiaan amnya. Briged Al-Qasam menjadi mahsyur di atas kekuatan dan kehebatan mereka.
Peperangan tersebut bukan sahaja menyatukan umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia, malah membuka pelbagai pintu rezeki. Para usahawan, peniaga dan artis kreatif mengambil kesempatan itu untuk melancarkan produk masing-masing. Bendera, mafla, tudung, t-shirt dan jubah, semua dijual menggunakan nama Palestin. Para peserta himpunan dan demonstrasi bantahan berebut-rebut mahu mendapatkan produk-produk ini sebagai tanda bersemangatnya mereka. Tidak kira harga mahal atau murah, asalkan ada tanda Palestin di tubuh.
Bendera Palestin sememangnya cantik warnanya. Kombinasi hitam,putih, merah dan hijau. Berkibaran di sana-sini. Seolah-olah salah jika kibarkan bendera Pas, takut dicop pembangkang, tetapi tidak mengapa mengibarkan bendera Palestin, itu semangat persaudaraan namanya. Mafla pelbagai corak dan jenis terjual. Paling ramai pembeli di kalangan pelajar. Mungkin itu yang paling mampu. T-shirt Save Gaza, Al-Qassam, I Support Gaza...juga laku terjual. Ada yang ambil tempahan khas, boleh cetak nama sendiri pada T-shirt. Tudung warna Palestin, habis dijual di pasaran. Cantik juga muslimah yang menggayakannya. Terbaru, jubah warna Palestin - harga mencecah seratus ringgit lebih, juga ramai yang membelinya.
Persoalannya di sini, di mana keperluannya untuk mendapatkan produk-produk ini.? Di mana letaknya keperluan vs kehendak terhadap barangan ini? Menggantung mafla di bahu/leher/dahi. Adakah kurang sokongannya jika tiada mafla? Membayar ratusan ringgit untuk jubah, mahu bergaya atau apa? Berapa peratus keuntungan jualan yang disalurkan kepada Gaza? Ada yang tidak disalurkan langsung, hanya perniagaan semata-mata.
Pening dengan sikap segelintir orang kita yang membeli untuk bergaya. Suka dipuji cantik mengenakan pakaian warna Palestin. Sudah memiliki mafla, lagi mahu membeli jubah, t-shirt dan tudung. Untuk apa agaknya? Mungkin wang itu boleh disalurkan kepada orang kita sendiri yang susah, nak beli t-shirt lima ringgit pun kumpul duit berbulan-bulan.
Peperangan di Gaza bukan sahaja mengajar kita erti persaudaraan dan kuatnya doa sebagai senjata, malah sepatutnya mengajar kita untuk lebih berjimat dan bersyukur. Saudara kita di sana nak makan pun kena catu, ada yang syahid semasa berbuka puasa, kita di sini yang makan pakai cukup, lagi mahu membazir dengan pelbagai produk nafsu. Tepuk dada, tanya iman.
No comments:
Post a Comment