Rosak anak-anak jika pendidikan mereka rosak. Rosak pendidikan jika pentadbir sistem pendidikan rosak amanahnya. Bagaimana soalan UPSR 2014 - Sains dan English yang didakwa dicetak di luar negara dan dijaga keselematannya boleh bocor? Ingatkan bumbung sahaja yang bocor, soalan peperiksaan pun bocor. Bagaimana nak mempercayai sistem pendidikan jika orang-orang yang mengawal sistem pendidikan pun tidak amanah? UPSR saja pun, nak bocor bagai tu kenapa? Biarlah budak-budak darjah enam ni jawab sendiri. Sungguh, segelintir warga negara mempunyai masalah akhlak dan etika kerja yang serius!
Zaman dulu-dulu yang serba kurang canggih ni, susah soalan nak bocor. Selamat saja calon-calon peperiksaan jawab periksa seminggu, lepas tu merdeka. Pada tahun aku mengambil UPSR adalah tahun pertama subjek Sains diperkenalkan. Hanya lapan orang daripada sekolahku yang dapat 5A, termasuk aku, alhamdulillah sebagai satu-satunya murid Melayu Islam yang dapat 5A. Syukur sangat, walau sekadar darjah enam.
Ingat lagi masa tu, semua buku teks aku dah baca dari kulit ke kulit. Khatam semua. Cikgu nasihatkan beli buku-buku latihan tambahan, buat latih tubi dua minggu sebelum peperiksaan. Masa tu aku tanya pada ayah, ayah kata, tunggu ayah dapat bonus hujung minggu nanti. Aku pun tunggulah, nak beli guna duit sendiri tak mampu, dan aku sebagai budak umur 12 tahun sudah mengerti kesusahan hidup. Ayah bukan kerja bergaji besar. Aku pun tak ingat kenapa aku tak minta dengan mak. Cukup masa, aku pun pergi ke kedai buku dengan ayah. Aku cuma beli buku latihan tambahan yang bersaiz kecil, separuh A4, kerana harganya lebih murah. Empat buah buku cuma dalam RM20.
Oleh kerana itu aku tidak pernah lupakan kesusahan keluarga kami dahulu. Kerana itu aku bersyukur dengan kemudahan yang kami nikmati sekarang. Aku hargai lelah ayah dan mak membesarkan aku. Sombonglah jika aku tidak membalas jasa mereka, walaupun membesarkan anak-anak adalah memang tanggungjawab mereka.
Aku ingat lagi masa hari keputusan UPSR keluar, kami sampai awal-awal pagi. Keputusan pun tak ditampal pada dinding lagi. Mr Teh, cikgu Matematik, keluar sambil membawa senarai keputusan. Tersenyum-senyum dia. Sebaik sahaja Mr Teh nampak aku, terus sebut namaku, dan kata 5A. Bersorak kawan-kawanku. Kenangan yang indah. Mr Teh ni dahulu tegas, kalau ada soalan matematik yang salah jawapan, dia akan ketuk buku tu ke bahu/lengan kami. Mr Teh ada seorang anak murid kesayangan, iaitu ketua kelas kami, Joanna. Joanna selalu tak kena pukul, tetapi pada hari aku tak dipukul (kerana semua soalan betul), Joanna kena pukul. Satu kelas happy :)
Sekali tu saja, lepas tu semua orang pun jawab soalan betul-betul, dan ramai yang score full marks. Itulah berkat ketegasan guru mengajar dulu-dulu, murid -murid takut, tetapi tidak sampai mencederakan, apatah lagi mendera. Apa khabar agaknya Mr Teh dan Joanna?
Zaman sekarang, murid melawan guru. Guru mendenda murid dengan denda yang pelik-pelik. Jawatankuasa kertas soalan, yang terdiri daripada guru-guru pecah amanah. Peningkatan pesakit-pesakit mental dari kalangan guru-guru. Datang ke klinik follow up untuk psychiatry disorder, tengok pekerjaan - guru. Bagaimana agaknya mereka mengajar anak-anak murid di kelas?
Guru adalah satu profession yang mulia dan amat dihormati. Usahlah mencemarkannya dengan perkara-perkara yang memalukan. Nak buat jahat, ingat dosa neraka. Semoga para guru tidak akan jemu mendidik anak bangsa! Terima kasih buat semua guru saya!
No comments:
Post a Comment