Amat menarik persoalan yang dikongsikan oleh Ustaz Sharhan Shafie baru-baru ini. Seorang lelaki bertanyakan masalah rumah tangganya yang terkena ilmu sihir. Pasangan suami isteri ni lepas berkahwin duduk berasingan, namun hubungan mereka amat baik. Selepas beberapa bulan, barulah si isteri dapat transfer tempat kerja dan duduk sebumbung dengan si suami. Kebahagiaan mereka tidak lama, mereka mula bergaduh walaupun untuk perkara-perkara kecil. Asal jumpa, mesti nak gaduh. Sampai ke tahap isteri meminta cerai.
Si suami tidak tahan, lalu pergi berjumpa dengan seorang perawat. Terkejut dia apabila perawat itu memberitahu bahawa isterinya seorang perempuan yang amat jahat dan buruk, lalu disuruh supaya menceraikannya. Si suami amat marah dengan dakwaan perawat itu, namun dia mulakan juga proses penceraian.
Tidak lama kemudian, abang kepada suami itu datang mengajaknya berubat. Si suami keberatanlah, kerana tidak mahu perawat kali ini sama seperti perawat pertama dahulu. Namun, dia mengikut jua. Kali ini perawat memberitahu bahawa mereka terkena ilmu sihir. Isterinya pernah melangkah taburan sihir yang dibuat oleh orang yang dengki kepadanya. Perawat itu memberikan air penawar untuk dicampurkan ke dalam mandian isteri. Alhamdulillah, si isteri pulih, mereka mesra kembali tetapi tidak bertahan lama. Mereka kembali bergaduh.
Si suami kembali mencari perawat itu. Dua tiga kali jugalah berubat, semuanya hanya bertahan sementara. Kuat sungguh sihir yang dikenakan itu. Hubungan mereka bertambah teruk. Si isteri sudah tidak tinggal sebumbung. Malah dia telah melantik peguam untuk mempercepatkan penceraian. Si suami pasrah. Saat dia melafazkan cerai di kamar mahkamah, segala beban di bahunya terasa hilang. Tenang hatinya. Namun semua beban itu seolah-olah terhempap pada bahu si isteri pula. Dia menangis teresak-esak, menyesal dengan perbuatannya dan minta rujuk kembali.
Hari pertama bergelar duda, dia dihujani oleh puluhan mesej dan missed call daripada bekas isterinya. Semuanya untuk rujuk semula. Dia nekad untuk tidak rujuk semula walaupun rasa kasihnya masih berbekas.
Dahsyatnya membaca kisah lelaki ini. Lihatlah apa yang perawat pertama telah lakukan. Memburuk-burukkan si isteri dan meruntuhkan rumah tangga. Begitukah etika seorang perawat? Walau seburuk manapun seseorang itu, seorang perawat tidak boleh sekali-kali sampai nak runtuhkan masjid. Entah betul entah tidak tilikannya dan rawatannya. Sebab itulah amat bahaya jika kita terlalu percaya dan taksub pada ilmu tengok-tengok ni. Dalam erti kata lain, tilik. Memang ada orang yang belajar ilmu ini, mereka boleh dapat maklumat yang hampir tepat. Contohnya orang ini sedang sakit, orang ni bergaduh dengan orang yang lebih muda daripadanya, orang ini terkena sihir...namun perawat ini juga manusia yang lemah, tidak sempurna dan kurang ilmunya berbanding ilmu Allah.
Keadaan akan menjadi lebih parah apabila perawat mula mengeluarkan fakta, orang ni dibuat oleh orang ni, orang dekat, jiran, saudara, suami, isteri dan sebagainya. Mula bergaduh sesama manusia. Seeloknya jangan didedahkan penghantar sihir itu, rawatkan saja. Inilah masalahnya kalau taksub sangat bab tengok-tengok ni. Percaya bulat-bulat pada perawat. Semua benda yang jadi dikaitkan. Dah tak kenal keluarga sendiri. Berpecah-belah. Iblis tersenyum riang. Sia-sia solat lima waktu, dapat didikan agama dari kecil, bila besar, derhaka pada ibu bapa dan pasangan kerana percaya pada tilikan.
Kembalilah kepada Allah. Jika hebat ilmu tilik itu, mengapa sampai sekarang MH370 masih belum ditemui? Tiliklah di mana ia? Berdosa besar mereka yang tengok-tengok ni, kemudian memberitahu hasil tilikannya sehingga berpecah belah sesama saudara. Tanggunglah di akhirat nanti. Begitu juga orang-orang yang melakukan sihir ini, tanggunglah dosa, takut nanti kubur pun tak mahu terima!
No comments:
Post a Comment