Ahad baru ni berakhirlah sudah Da'i Pendakwah Millenia musim ketiga. Da'i Hamidah menjadi juara. Sememangnya beliau mempunyai aura yang istimewa. Aku sangat tertarik dengannya saat episod pertama lagi. Lagipun beliau mempunyai asas ilmu agama yang sangat baik, sesuai untuk diketengahkan sebagai da'i dalam masyarakat. Tahniah Da'i Hamidah, menjadi sumber inspirasi buat rakyat Malaysia!
Semasa Da'i musim yang pertama, seseorang pernah bertanyakanku, mengapa aku tidak pergi ujibakat. Aku pun tidak sangka dia akan tanya begitu. Layakkahku? Adakah dia melihat kelebihanku sehingga bertanya begitu? Kini orang yang bertanya itu pun sudah menjauhkan diri. Entah bila dapat berhubung semula.
Sebenarnya semua kita adalah da'i. Title sebagai seorang Muslim telah secara automatik menjadikan kita seorang da'i. Seorang da'i adalah seorang penyampai. Semua orang Islam wajib menyampaikan tentang Islam, mengikut tahap ilmu yang dia ada, asalkan ilmu itu benar. Program Da'i di TV3 itu sedikit sebanyak telah memberiku inspirasi untuk membaiki diri dengan ilmu, agar lebih mudah untukku menyampaikan. Aku juga seorang da'i.
Pada Sabtu yang lepas pula telah berakhir perhimpunan Fastaqim 60K. Lebih daripada 100000 yang hadir, Allahuakbar! Mereka ini yang masih terus istiqamah dengan perjuangan Islam. Teringat akan program khusus yang pernah kuhadiri beberapa tahun lepas. Kami adakan diskusi berkenaan istiqamah vs berpisah daripada jemaah. Ada beberapa jawapan yang memberi gambaran bahawa mereka akan keluar daripada jemaah atas sebab-sebab tertentu. Realitinya berlaku pada waktu ini. Beberapa nama besar yang dihormati, yang menjadi pimpinan pelajar waktu itu telah pun mengasingkan diri daripada jemaah. Entah apa yang mereka tidak puas hati. Presidennya tetap sama, yang mereka wala' kan dari dulu, dasar perjuangan jemaah tetap sama, yang mereka terangkan pada mad'u dulu, malah pimpinan "jemaah" baru mereka itu tidak tergolong pun dalam kumpulan ulama'. Apa yang mereka pandang, dan apa yang mereka mahu bawakan?
Aku bersyukur, walaupun tidak begitu aktif turun padang, aku tetap tidak tergugat oleh anasir-anasir negatif yang nak memecahbelahkan jemaah. Tidak perlu buat jemaah baru saat jemaah yang sedia ada masih relevan dan tidak menyimpang daripada Islam.
Teruskan istiqamah! Semoga sahabat-sahabat yang terpesong sejenak itu kembali ke pangkal jalan.
No comments:
Post a Comment