Thursday, October 01, 2015

Mencegah vs Merawat

Hari ini ada seorang doktor berkongsi pengalaman beliau berhadapan dengan satu kes yang wajib menjadi pengajaran kepada semua ibu bapa di luar sana.

Seorang kanak-kanak berusia 9 bulan dibawa ke Jabatan Kecemasan kerana mengalami sawan. Doktor yang menguruskan kes itu memberikan beberapa jenis ubat untuk merawat sawan itu.

Kemudian datang seorang lagi doktor yang mendapati bahawa posisi bayi itu seolah-olah dia menghidapi penyakit tetanus atau lebih dikenali sebagai kancing gigi.

Lalu ditanya kepada bapanya adakah bayi itu diberikan vaksin. Mereka sungguh terkejut kerana bayi itu hanya mendapat vaksin pada hari pertama iaitu vaksin BCG untuk menghindar jangkitan TB atau batuk kering. Selepas itu, bayi itu hanya diberikan rawatan homeopati.

Ini bermakna bayi tersebut tidak langsung menerima vaksin tetanus yang sepatutnya diberikan seawal sebulan dalam jadual imunisasi terkini (sebelum ini bermula pada umur 2 bulan).

Jangkitan tetanus telah berjaya dikawal di negara yang mempunyai sistem imunisasi yang baik. Namun, dengan fenomena anti vaksin yang menular seantero dunia, penyakit yang sepatutnya sudahpun dapat dikawal kini kembali dalam masyarakat.

Di Australia, kerajaan mula mengenakan undang-undang yang ketat dalam menangani sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab ini. Antaranya adalah dengan mewajibkan semua kanak-kanak yang hendak dihantar ke pusat nurseri telah diberi vaksin mengikut jadual yang sudah ditetapkan.

Kita sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan dan penghormatan kepada ilmu dan kepakaran. Kita boleh bersetuju bahawa perihal agama sepatutnya dirujuk kepada para ulama' dan asatizah yang telah bertungkus-lumus menuntut ilmu yang berkaitan. Sebagaimana kita berpegang bahawa kepimpinan yang punya ilmu dan pengalaman dalam politik yang didasarkan kepada Islam, maka mereka adalah golongan yang ahli yang wajar diberi kepercayaan mengemudi parti Islam.

Maka, begitulah jua sepatutnya sikap kita dalam bidang yang lain. Contohnya, doktor adalah golongan yang telah mempelajari secara terperinci bagaimana merawat penyakit, maka sewajarnya merekalah yang diberikan kepercayaan menjaga dan merawat penyakit.

Dalam kes di atas, bayi itu telah dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi. Bayi dengan usia sedemikian apabila telah mengalami sawan yang teruk sebegitu, maka ada kemungkinan boleh mengalami kerosakan kepada otaknya dalam jangka masa panjang.

Ya, kita banyak berjumpa kes orang tidak mengambil vaksin tapi tidak pula dijangkiti penyakit yang berkaitan dengan vaksin itu. Jika itu sebab yang kita pegang, maka adakah kita tidak perlu memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar di atas kenderaan, sedangkan ramai yang tidak berdisiplin dengannya tidak pula pernah tercedera.

Vaksin adalah untuk mengelakkan berlakunya beberapa jenis penyakit jika kita terdedah pada jangkitan yang berkaitan pada masa akan datang. Kefahaman ini kita perlu tanam pada semua ibu bapa.

‪#‎profesionalistiqamah‬
‪#‎movingforward‬
‪#‎beristiqamahhinggakemenangan

Salam semua. Blh kita viral kan as now anti vaksin grp for children is on the rise di Msia. Tq.


Sent from my iPhone

No comments:

Post a Comment