Terkadang aku berfikir sendirian
Perlukah amarahku dibiar terus menyala
Membakar membara dengan rasa bangga
Mencela mereka dengan kata-kata…
-Bicara Kata, Inteam
____________________________________________________________
Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa
Kerana mulut, badan binasa.
Istilah sahabat sebenarnya membawa pengertian yang amat mendalam.Sahabat kepada Rasulullah, adalah mereka yang hidup pada zaman baginda, taat pada perintah baginda dan mati dalam Islam. Sahabat Rasulullah adalah mereka yang baginda sayangi, percayai dan hormati.
Seorang sahabat berbeza parasnya dengan seorang teman, seorang kawan, mahupun seorang kenalan. Sahabat sepatutnya menjadi seorang yang amat baik dan rapat dengan kita.Ya, seorang yang boleh dipercayai dan layak untuk disayangi sepenuh hati.
Seorang sahabat adalah seorang yang beramanah, memegang janji dan teguh mempertahankan rahsia dan kepercayaan kita.Tidak sesekali akan mengkhianatinya apatah lagi menghilangkan kepercayaan kita.Hatta pada perkara sekecil zarah sekalipun,pasti dipertahankan kepercayaan dan amanah itu.Seringkali kita berpesan, ‘’sahabat, tolong jangan dedahkan perkara ini ya!’’ Lalu sahabat kita pun bersetuju untuk memegang amanah dan kita pun berasa tenang hati.Rahsia kita berada di ‘tempat’ yang selamat.Biarpun sekadar rahsia ‘terpecahkan pinggan’ atau ‘dapat B dalam ujian’ ataupun ‘terponteng kelas kerana bangun lambat’…seorang sahabat pastinya akan teguh menyimpan rahsia selagi belum mendapat lampu hijau untuk mendedahkannya.Sahabat tahu bahawa,sesuatu perkara yang kecil pada orang lain mungkin adalah sangat besar pada kita.
Seorang sahabat adalah seorang yang tulus dan jujur dalam pembicaraannya.Tidak sesekali memperkatakan ketidakpuasan hatinya di belakang, apatah lagi menyebarkan keburukan kita kepada orang lain.Sahabat sentiasa akan berterus terang,kerana hanya dengan cara inilah perbuatan mengumpat, tikam belakang dan khianat dapat dielakkan.Malah, berterus terang juga dapat membantu kita memperbaiki diri.
Seorang sahabat adalah seorang yang mengambil berat keadaan kita.Sakit di berikan ubat, sedih dipujuk-pujuk, marah ditenang-tenangkan, kecewa diberikan semangat dan harapan…Tema sahabat ialah , ‘’jika care, katakan care’’.Sahabat tidak sesekali mengorek-ngorek cerita kita melalui orang lain,sahabat akan terus berhadapan dengan kita dan mendapatkan maklumat yang diperlukan.
Seorang sahabat adalah seorang yang berhati cekal, tidak mudah berputus asa dan tidak mudah berkecil hati.Sahabat tidak tegugat oleh sedikit ujian persahabatan, akan diteruskannya bersahabat dengan kita meskipun hatinya terusik oleh perbuatan kita.Sahabat tidak akan begitu mudah berkecil hati dan menjauhkan diri,apatah lagi mengharapkan untuk dipujuk.Sahabat…hatinya kuat laksana besi.
Seorang sahabat adalah seorang yang melindungi.Jika kita meminta, pastinya sahabat akan memberikan perlindungan kelas pertama, baik perlindungan fizikal, mental, material mahupun emosi.Sahabat akan melindungi maruah dan nama baik kita, sungguhpun pada perkara-perkara yang dianggap kecil.Sahabat pasti sangat menghargai perlindungan yang diperolehnya daripada kita dan berazam untuk turut melindungi kita apabila tiba masanya.
Sahabat…
Amanah yang dihulurkan telah kau khianati
Janji yang dimeterai telah kau mungkiri
Aku di sini masih setia menggalas amanahmu
Masih utuh menyimpan janjiku
Tapi sahabat?
Sahabat …
Dahulu aku melindungimu sepenuh hati
Namamu kupastikan tidak tercalar sedikitpun
Biarpun aku payah mencipta helah
Namun sahabat langsung tidak melindungi
Namaku tercalar, robek dan bernanah
Sahabat …
Tiada guna aku bermasam muka
Tiada faedah aku berkecil hati
Hanya kekesalan bernaung di hati
Cuba membuang kejelekan pada perbuatanmu itu
Mungkin ada hikmah padanya
Sahabat …
Harapkan pagar, pagar makan padi
Mampukah aku mempercayaimu lagi?
Mungkin masa bisa merawat
Kedukaan yang telah sahabat ciptakan
Sahabat..oh sahabat
No comments:
Post a Comment