“Masa YB berkahwin dahulu, kita sanggup berhabis duit semata-mata mahu membawa rombongan ke akad nikah di JB. Naik Airasia, makan minum, penginapan, semuanya ditanggung.Mereka nak ikut, tak sampai hati pula mahu menolak.Tetapi, apabila mereka ingin ke kenduri mana-mana, tak pernahnya dipelawa kita menumpang kereta mereka.” Mak meluahkan rasa terkilannya.
Bukan mengungkit, apatah lagi mengata. Memang adat kehidupan begitu. Manusia memang mudah lupakan budi. Tak mengapa mak, buat baik dibalas baik, tidak semestinya orang yang sama membalas budi kita itu.
Sejak kecil, mak dan ayah mendidik kami menjadi manusia yang berdikari. Pandai bawa diri, dan tidak terlalu menyibuk urusan orang lain. Ambil tahu urusan orang lain sekadar berpada-pada. Jika boleh ditolong, tolonglah, jika tidak, usahlah menambah bebanan.
Mak dan ayah jarang sekali mengambil tahu urusan hidup anak-anak orang lain. Jika diceritakan, mereka dengar, jika diam, mereka tidak pula sibuk-sibuk nak tahu. Namun ramai di kalangan rakan-rakan mereka mempunyai sikap terlalu mengambil tahu.
“Macam mana anak, apa buat sekarang? Bila mahu kahwin, umur dah berapa ni? Mana menantu yang itu, tak Nampak pun? Blab la blab la..”
Mungkin mereka mengambil berat; bersangka baik.
Musim peperiksaan, bukan sekadar cabaran untuk menjawab soalan sahaja, malah yang lebih mencabar adalah, menguruskan diri untuk menghadapi pelbagai karenah manusia di sekeliling. Ada yang beriya-iya bertanya keputusan, ada yang mahu banding-membandingkan, ada yang sibuk menyemak keputusan rakan kerana diketahuinya nombor pelajar rakan itu, ada pula yang sampai menghubungi rakan serumah untuk mengetahui perkembangan diri.
Aku? Lebih gemar memandang dan mendengar dari jauh. Rakan kena oral? Doakan dia lulus. Rakan Berjaya? Senyum, gembira dengan kejayaannya walau hati berkocak memikirkan keputusan sendiri. Rakan gagal? Beri semangat kepadanya, bantunya dalam sesetengah perkara, jika dia minta rahsiakan, simpanlah rahsia itu sebaik mungkin.
Perit rasanya apabila mengetahu diri ini diperkatakan di belakang. Ingin mengambil tahu soal diri, tidak dihubunginya sendiri, tetapi rakan lain yang menjadi sasaran sumber maklumat. Pantang betul.
Lebih perit lagi apabila sesuatu yang dipesan untuk disimpan sebagai rahsia, senang-senang sahaja dibocorkan oleh orang yang dipercayai.Kurang sensitifkah?
Hidup mana sempurna. Aku sendiri begitu banyak kelemahan. Kadang kala, sifatku yang pendiam dikatakan sombong, dianggap susah mahu didekati. Kadang kala, senyumku dianggap menyindir, dianggap pelik, padahal selalu sahaja aku senyum pada orang.
Kadang-kadang rasa bagai mahu diam saja, jika bicara itu bisa mengundang salah faham.
Ayah selalu berpesan, berhati-hati, jangan sampai melakukan kesalahan yang besar kepada orang lain. Sekali buat salah, orang Nampak yang salah saja. Semua kebaikan yang ditabur selama ini dilupakan begitu sahaja.
Samalah juga, jika selama ini kita begitu mengambil berat dan menjaga perasaan orang lain, sekali kita buat sesuatu yang tidak disukainya, terus dikatakan yang kita ini membelakangkannya dan mementingkan diri sendiri. Segala pertolongan kita selama ini dilupakan terus, bagai tak pernah berlaku.
Soal sensitivity. Jika ada orang bersedih ataupun sakit, kita hendaklah peka dengan keadaannya. Kawal emosi gembira kita, hormati keadaannya yang berduka itu. Tangguhkan dahulu kegembiraan kita , jangan menambah kesedihannya. Ada orang terlepas pandang perkara ini. Dia gembira, gembiralah, gelak kuat-kuat, cerita pada semua kawan, menyanyi dengan riang. Tak sedar ada rakan di sekeliling yang terasa dengan perbuatannya. Jika bersedih pula, usahlah sehingga mengenepikan hak orang lain. Bersedih hingga tak bercakap dengan orang, bersedih hingga abaikan tugasan harian, bersedih hingga tak makan masakan orang. Tak betul tu. Sedihlah berpada-pada.
Apa-apa sajalah. Hidup mana sempurna.
No comments:
Post a Comment