Wednesday, May 26, 2010

Sahabat Yang Baik

Berehat sebentar bersama air kosong. Penatnya setelah seharian mengemas, semalam pula seharian menghadap komputer. Hasrat untuk membeli-belah dan berziarah ke sana-sini langsung tidak kesampaian lantaran lambakan kerja yang masih belum selesai pun. Allergic rhinitis pun masih berdegil dan masih enggan mengundur diri. Dah masuk tujuh minggu.

Hari yang ditunggu sudah hampir tiba. Namun, pada saat terakhir ini, informasi yang dinantikan masih belum tiba. Lambat tahap dewa ni. Ada instinct yang kurang enak. Semoga tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku.

Lewat senja tadi aku menyusuri jalan yang selalu kulalui untuk ke rumah sahabat-sahabatku.Kali ini aku hadamkan betul-betul warnanya, rupanya, besarnya, panjangnya...kerana aku pasti akan merinduinya nanti. Enam tahun di sini, masa yang cukup lama untuk jatuh hati biarpun dengan sebatang pokok tua. Ada beberapa tempat nostalgia yang tidak sempat kukunjungi sebelum pulang, termasuklah The Lough, yang begitu menggamit ketenangan saat melihat airnya yang dikocaki itik-itik dan rerumputannya yang kehijauan.

Kali ini juga aku bakal pulang dengan tangan kosong. Sungguhlah tidak sempat untuk ke pusat bandar itu untuk membeli sebuah dua buah tangan. InsyaAllah, jika ada rezeki, boleh kubuat demikian sebelum konvokesyen nanti. Itupun jika ada rezeki aku pulang semula ke sini.

Kelmarin, aku berchatting dengan dua sahabat karib, kenalan sejak sekolah rendah. Atas fikrah yang sama, kami menjadi satu geng yang cukup akrab. Rindunya pada mereka lantaran tidak dapat berjumpa pada cuti musim panas yang lepas. Itulah sahabat-sahabatku di tanah air. Saat mahu pulang ini, aku agak gusar memikirkan tentang insan bergelar sahabat. Di sini, aku dapati ramai teman yang sangat baik untuk digelar sahabat. Baik yang senior, yang sebaya, mahupun yang junior, semuanya sangat baik hinggakan acap kali terdetik di hatiku, sayangnya nak tinggalkan mereka.Mana mungkin aku akan beroleh sahabat sebaik mereka di tanah air nanti. Aku gusar pada sukarnya untuk mencari sahabat sebaik mereka di sini.Mungkin masa yang akan menentukannya.

Saat menulis ini teringat pula pada kerja-kerja yang belum selesai.Biar aku selesaikannya dahulu.

No comments:

Post a Comment