Take chances, make mistakes. That's how you grow. Pain nourishes your courage. You have to fail in order to practice being brave !
Wednesday, September 15, 2010
Aidilfitri
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana telah mengizinkanku untuk menyambut Aidilfitri sekali lagi pada tahun ini. Kali ini di tanah air, bersama keluarga tersayang.
Minggu terakhir Ramadhan adalah minggu yang begitu sibuk, pada siang hari sibuk mengemas, membeli dan membuat persiapan raya, pada malam hari pula sibuk mengejar pahala ibadah, manalah tahu jika ada rezeki menjeguk malam al-Qadar. Katanya, malam al-Qadar itu tidak panas dan tidak pula sejuk. Subhanallah!
Kerap pula aku berkunjung ke Gurney Plaza, hanya lima minit berjalan kaki dari rumah. Sangat convenient,macam-macam ada. Farmasi Guardian dan Watson, Celcom Point, Popular Bookstore, MPH dan kedai cenderahati, semuanya ada. Cuma alangkah baiknya jika Cold Storage digantikan dengan Giant, dan Clarks digantikan dengan Bata.Hari itu aku ke sana untuk membeli Gaviscon untuk mak tetapi aku melencong ke Popular dahulu untuk mencari majalah Anis. Malangnya aku tidak dapat menaiki escalator yang biasa ku ambil itu kerana dihalang oleh orang ramai yang berpusu-pusu ke ruang legar untuk melihat jualan murah kamera pelbagai jenis dan jenama. Apalagi, sesatlah, terpaksa berpusing-pusing untuk mencari wing yang betul.
Majalah Anis keluaran September sangat bermanfaat, semua artikelnya kena dengan Ramadhan dan Aidilfitri. Tajuk-tajuk artikel begitu catchy dan isinya juga berkualiti. Antaranya ia menyentuh soal anak menantu yang pulang ke kampung, rajin-rajinlah menolong ibubapa, PULANG KE KAMPUNG, JANGAN JADI PERMAISURI. Malah ada sedikit tips - muslimah yang mahu menolong di dapur, pakailah tudung gelap supaya tak mudah nampak kotor,dan pakai baju gelap yang cukup longgar dan selesa supaya tidak nampak bentuk tubuh dan menimbulkan fitnah. Satu lagi artikel yang bagus ialah adab-adab bersalaman di pagi raya.Mesti mula salam dengan ibu dahulu, baru ayah. Peluk ibubapa lama sikit supaya timbul rasa sebak dan insaf. Semalam baru baca satu lagi artikel berkenaan wanita yang diduakan kasih oleh suaminya. Wanita itu memandu kereta laju dengan fikiran yang tidak menentu lalu berhenti di kawasan rehat dan rawat. Rupa-rupanya Allah takdirkannya bertemu dengan seorang kakak yang memberi nasihat berguna. Katanya, jika pemilik cinta diketepikan dan peminjam cinta yang diagung-agungkan, bagaimana mahu memperolah cinta dan kebahagiaan sebenar? Banyak lagi yang belum dibaca.
Ketika Ramadhan, aku ada menemani ayah beberapa kali ke bazaar Ramadhan.Paling ramai dan meriah adalah berdekatan Hospital Pulau Pinang, apa ntah nama jalan itu.Bilangan gerainya sangat banyak, bilangan pengunjung juga banyak, kakitangan hospital juga ramai, pesakit yang pakai baju hospital pun ada berlegar-legar. Pengunjung bangsa dan agama lain juga ramai, ada seorang makcik Cina tu beli ayam percik dan pulut udang sampai tiga puluh ringgit lebih, batang kayu untuk bakar ayam percik pun dimintanya.Mereka turut tumpang seronok dengan kemeriahan bazaar, aku pun seronok lihat mereka membeli.
Yang kerap kami beli di bazaar ialah air minuman - air jagung, air soya, air cincau, cendol, air tembikai susu, lychee kang. Harga kebanyakannya RM1 sebungkus, tapi aku puas hati sangat pada satu gerai air di bazaar Tanjung Tokong ni, yang dijual oleh pemuda-pemuda, kerana mereka menjual air RM1 dalam bungkusan plastik yang besar! Ada juga peniaga yang mungkin kurang pandai masak tapi ambil kesempatan mengaut keuntungan, atau mungkin mereka tidak pandai mengagak gula garam, maklumlah berpuasa.Apam balik yang kubeli tawar, sesuai untuk diabetics.Tepung talam yang ayah belikan untuk mak pula tidak menjadi dan mentah, sampai mak jadi tak lalu dah untuk makan kuih itu lagi.Ada pula seorang teman sekerja mak yang sanggup ambil cuti hampir sebulan untuk berniaga sate di bazaar itu, mahu untung lebih. Teringat tazkirah ustaz yang menjadi imam tarawih, katanya kita tidak patut terlalu berlebih-lebihan dalam mencari rezeki, jika Allah takdirkan kita dapat dua ribu sebulan, maka dua ribulah rezeki kita.Salah jika kita sibuk cari duit lebih sehingga pekerjaan kita yang utama itu terjejas.Kalau tak terjejas, tak mengapalah, tapi check balik, bagaimana pula dengan keluarga kita, kawan-kawan kita, ibadah kita, terabai tak?
YB dan kakak ipar pulang beraya di Penang tahun ni. Mereka bertolak pukul 12 malam, pukul 11 pagi baru sampai, lebuhraya sesak kerana berlaku kemalangan, treler terbalik. Sepatutnya beberapa hari sebelum raya ni, kenderaan berat tidak perlulah beroperasi.Malam itu selepas solat isyak,kami mula masak kuah kacang dan nasi impit, aku cadangkan pada mak supaya masak ayam masak merah dan ayam goreng malam itu juga, supaya pagi raya nanti tak perlulah berjam-jam di dapur, cuma masak nasi tomato saja.Malah ada extra, kelempung goreng kunyit!
Selesai solat raya, kami bermaaf-maafan. Sedih habislah, mulanya nak buat cool, tapi tak tahan apabila melihat YB sebak ketika bersalaman dengan mak dan ayah. Yang kelakar tu, mungkin sebab dah lama tak beraya, lepas salam dengan mak dan ayah, aku terus nak sambung prepare makanan, lupa pulak nak bersalam dengan abang dan kakak ipar. Hah, macam mana la boleh terlupa, tapi aku buat-buat cover, kononnya aku ke meja makan untuk mengambil tisu untuk mengelap air mata, padahal terlupa!
Pukul 10 lebih hanya ada dua kanak-kanak datang beraya, kata ayah, tahun lepas ramai. Pukul 10.30, aku dah keluar dari rumah untuk bersama sahabat-sahabatku, tahun ni kami cukup korum, alhamdulillah. Siti mengambil kami bertiga untuk ke rumah Jaz yang pertama. Kononnya nak limit 40 minit saja per rumah, tapi terlebih pulak, kononnya pukul dua lebih boleh bersurai, pukul 6 baru kami habis.Tapi between houses tu aku sempat pulang ke rumah sekejap kerana abang long dan famili sampai dan keluarga Mak Caq dari Sungai Petani sampai dengan dua buah kereta.Tapi ramai sangat orang, tak sempat nak bermain dengan si Aliff Zikri tu.Apabila keluarga Mak Caq beredar, aku pun segera ke rumah Farah, rumah terakhir konvoi raya kami. Sempat bermesyuarat mengenai trip tahun baru kami.Masa tu aku memang dah sakit belakang dan tak larat dah.
Raya kedua kami pulang ke kampung untuk menjenguk Tok.Tapi sebelum tu kami singgah di rumah Mak Ngah Munah dan Mak Caq Nah dulu, sepupu-sepupu mak. Mereka memang rapat dengan kami. Lama pula di situ kerana ralit dengar abang Hamid cerita pengalamannya jumpa makhluk halus.Berani sungguh dia, sampaikan anak-anaknya yang kecil pun dah pernah tengok hantu. Alhamdulillah, Tok masih sihat cuma tak boleh berjalan saja.Ramai pula sepupu mak yang datang hari tu.Sempat juga ziarah Tok Anjang yang kini hanya ada sebelah kaki akibat diabetes, aku sungguh selesa berbual dengannya kerana Tok Anjang begitu cergas dan suka bergurau.Dahulu dia berkawan baik dengan arwah Usman Awang, katanya Tongkat Waran itu adalah cota yang arwah guna semasa bekerja dahulu.Akhirnya ke rumah Tok Su Wan di kampung yang sama itu,tapi sayangnya Pak Cik Leman tiada di situ. Kali ni heboh soal pembahagian tanah pusaka. Dahulu pemilik tanah yang asal tak kisah pun apabila saudaranya nak buat rumah di atas tanahnya, adik-beradik katanya, kini bila dah tinggal cucu-cicit, mulalah berebut,sampai suruh sukat tanah.Aku dan keluarga cuma mendengar, kami tak mahu masuk campur, walaupun keluarga Tok Su ada bau-bau bacang dengan kami.
Balik dari kampung, terus bergegas ke Bayan Baru, rumah sepupuku yang buat open house. Dari pagi tadi mereka dah mesej, ajak makan bihun sup.Sempat juga singgah di rumah sepupu seorang lagi yang hanya terletak di lorong bersebelahan. Anak perempuannya sangat comel dan montel. Kali ni Abang Mail cerita pengalamannya kena buatan orang. Dahulu ada orang dengki padanya, dia sangat pandai bidang electronics engineering ni sampai boss hantar ke Germany dan Australia, balik dari sana terus sakit teruk sampai tak boleh kerja. Bila dah sembuh, dia berhenti kerja saja dan luangkan masa dengan keluarga. Bila dia buka gerai burger, ada pula orang dengki lagi, sampaikan orang ramai tak nampak gerainya. Astaghfirullah, dengki betul manusia, senang-senang saja guna jin dan iblis untuk kenakan orang. Semoga Allah melindungiku dan keluargaku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment