Saturday, September 25, 2010

ZIARAH

*Baru pulang dari kembara mencari kehidupan, indahnya berada di rumah.*


 " Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya”  (HR Muslim)


Ziarah biasanya dilakukan dalam pelbagai situasi; ziarah selalu pada bila-bila masa, ziarah ketika sakit dan ziarah jenazah setelah meninggal dunia. Ziarah adalah salah satu hak kerabat terdekat yang perlu ditunaikan.Walaupun hanya berjiran sebelah rumah, namun jika jiran itu adalah kerabat terdekat kita, maka merekalah yang wajar kita ziarahi dahulu, barulah kenalan lain yang lebih jauh. Orang tua suka orang muda menziarahinya.Orang muda yang punyai kudrat lebih banyak daripada orang tua haruslah lebih kerap berziarah. Ziarah bukan hanya ketika raya, tetapi sepanjang masa.


Melalui ziarah, kita dapat mengenali saudara-mara, senang bila nak berkenduri-kendara nanti,mudah dapat makluman jika ada sakit mati serta dapat elakkan daripada mengahwini saudara-mara sendiri jika kenal dengan lebih awal. Ziarah dapat merapatkan lagi hubungan yang sedia rapat, dan menyambung semula hubungan yang hampir putus.


Penat juga berziarah ni. Pada raya kedua dan ketiga yang lalu, kami sekeluarga menghabiskan masa pagi hingga malam untuk ziarah saudara-mara,alhamdulillah.Seeloknya kita jamah sedikit daripada setiap hidangan di setiap rumah,walaupun menu utamanya hampir sama, iaitu bihun-bihun-bihun.Bersembang juga rata-rata pada perkara yang sama; belajar di luar negara, bila nak mula kerja, bila mak nak pencen, bila abang nak dapat anak etc


Penat juga bila ramai orang datang ziarah ke rumah, tapi ini lebih menyeronokkan. Pada raya pertama, ramai sungguh yang datang sebaik sahaja usai solat Jumaat, sehinggakan aku dipanggil pulang dari konvoi rayaku untuk bertemu saudara-mara yang datang dari jauh.Budak-budak pun ramai datang minta duit raya, mujurlah kakak iparku yang handle, jadi dia kenal siapa yang baru datang dan siapa yang dah second round.Malamnya aku seronok melaksanakan hobiku, iaitu basuh pinggan mangkuk, namun bila pinggang dan belakang mula sakit, aku mula terfikir, tahun depan minta ayah belikan pinggan kertas sajalah. :)


Semasa raya kelima, sepupuku sampai dengan empat buah kereta. Aku keseorangan masa tu kerana ayah keluar mengambil mak dari tempat kerja.Fuh, berjag-jag air sarsi aku bancuh, semuanya licin.Malam itu aku tersenyum apabila digelar nenek; kerana sepupuku sudah ada cucu belaka,maka aku adalah nenek saudara mereka. Orang ziarah pun macam-macam gelagatnya. Ada tu, bila masuk rumah, terus buat inspection sampai ke bahagian dalam rumah. Aku ditinggalkannya terpinga-pinga.Sekurang-kurangnya pun duduklah dahulu,kemudian baru minta izin untuk tengok-tengok. Nak kata kerja interior design pun tidak.Apalah yang menarik sangat dengan teratak lamaku ini. Ada juga gelagat pakcik-pakcik yang ramah menghulur salam, tidak sedar bahawa yang hendak disalaminya itu bukan mahramnya. Terpaksalah aku menyambutnya atas dasar hormat. Orang tua dah hulur, tak baik pula jika tidak disambut. Masa nak pulang, mengelatlah aku, jalan jauh-jauh sikit.


Antara adab-adab ziarah yang masih kuingat, belajar Pendidikan Islam dahulu:
1. Beri salam max tiga kali, cukup kuat untuk didengari oleh tuan rumah. Ketuk pun tiga kali saja.
2. Tunggu hingga dijemput masuk baru masuk.
3. Berdiri di bahagian tepi, jangan berdiri betul-betul di depan pintu, untuk memberi peluang kepada tuan rumah untuk bersedia.
4. Duduk dalam rumah menghadap pintu keluar, melainkan jika kerusinya menghadap ke lain.
5. Menjamah makanan yang dihidangkan walaupun sedikit cuma.


Syukur, kerana mak dan ayah mendidik kami berziarah. Ziarah itu budaya ahli syurga.

No comments:

Post a Comment