Harus optimis dalam hidup.
Harus berbaik sangka sesama manusia,apatah lagi dengan Tuhan.
Harus berani mendepani cabaran.
Harus tabah menghadapi dugaan.
Itulah sikap seorang Muslim yang payah untuk melekat di jiwa.
Pagi tadi Surau Bagan Jermal menganjurkan solat sunat tasbih sempena tamatnya puasa enam, ia menjadi tradisi tahunan tapi sampai sekarang aku tak tahu asal-usulnya. Jamuan makan disediakan pasca solat sunat. Hairan, apabila menjual di gerai sendiri, harganya RM1.50, apabila mengenakan caj untuk ajk surau, harganya RM2. Kuantiti dan kualiti yang sama. Manusia, dengan orang surau pun mahu kaut untung lebih, lepas ni cari tender lainlah.
Petangnya ke dua buah balai polis mencari ASP, seorang pun tiada, semuanya sibuk ke Times Square, ada event katanya. At least tinggalkanlah seorang di balai, takkan nak tunggu ada kes besar baru dipanggil balik ke balai? Sampai ke Jabatan Siasatan Jenayah aku melilau mencari ASP, siap terserempak dengan tahanan pakai baju ungu, mirip baju peguam bertaraf datuk itu.
Semalam berbanggalah pihak berkuasa apabila mendapat pujian Perdana Menteri. Kerana mereka, kes pembunuhan empat yang hilang itu berjaya dirungkai dengan cepat. Namun, kerana mereka jugalah empat insan itu menjadi mangsa apabila kes-kes terdahulu yang dilaporkan tiada tindakan susulan. Ada yang kata, memanglah , apabila kes melibatkan orang kenamaan, lajulah mereka bekerja, tak cuti raya pun tak mengapa, tapi bila kes melibatkan orang biasa, bertahunlah baru selesai. Seorang kenalan yang rumahnya dimasuki perompak, sampai sekarang masih tiada perkembangan baru. Kata dah ada suspek, mana susulannya?
Selamat maju jaya diucapkan kepada KPN yang baru, semoga kadar jenayah dalam negara dapat dikurangkan serta imej bersih dan dipercayai anggotanya dapat dipulihkan. Rakyat perlu dikembalikan kepercayaan mereka terhadap pasukan penjaga keamanan negara ini. Kata ayah, dahulu mereka tidak dibenarkan untuk bercampur dengan orang umum ketika bertugas, sebab itulah mereka digeruni dan dihormati. Sekarang, mereka selamba saja makan di kedai kopi bersama orang umum sambil membawa senjata. Teringat pula pada pihak berkuasa yang berbaju maroon yang selalu lepak-lepak di gerai kopi makcikku, bila rakan setugas telefon, mereka selalu jawab, “on the way ni” , padahal berjam-jam lepak di situ.
Dalam pada kita mengutuk perbuatan kejam peguam berdatuk itu, sempat pula surat khabar nombor satu di Malaysia itu ambil kesempatan mempolitikkan suspek tersebut. Memang wajarlah semua wartawan dari surat khabar tersebut dipandang rendah. Kalau mahu kerjayamu dihormati, berhentilah, carilah kerja dengan akhbar yang tidak belut seperti itu.
Setuju dengan pendapat penganalisis jenayah yang bertelinga capang itu, almarhumah Datuk Sosilawati ketika hayatnya seorang yang banyak berbakti, ketika matinya juga beliau berbakti, kerana kematiannyalah yang membawa kepada penemuan bukti jenayah suspek tersebut.
No comments:
Post a Comment