Sudah lima hari tidak bekerja. Esok rasa beeeerat sangat nak bekerja semula.
Niatkan bekerja kerana Allah. InsyaAllah Dia permudahkan.
Masih lagi dalam tempoh "berkabung" atas pemergian arwah tok. Bulan Jun ini genap dua tahun arwah tinggal bersama-sama kami. Segala suka-duka masih segar dalam ingatan. Masih ingat lagi, kami pergi mengambil arwah dari kampung dengan keretaku yang berusia sebulan.Tanggungjawab menjaga arwah terletak di bahu kami bertiga - mak, ayah dan aku.
Aku bersyukur kerana arwah menghembuskan nafasnya di hadapanku, bukan di hadapan mak. Tentu mak lebih trauma jika ia berlaku di depan matanya. Sekurang-kurangnya aku sudah biasa berhadapan dengan situasi seperti ini. Cuma yang GERUNnya ialah mengenangkan pada saat itu malaikat maut berada hampir denganku, sedang mencabut nyawa arwah. Tapi aku tidak dapat merasa kehadirannya apatah lagi melihatnya. Gerun. Betapa maut itu bisa menginsafkan kita. Hidup hanya sementara.
Pengalaman terlibat secara langsung semasa pengebumian arwah mak caq empat bulan lalu banyak membantu.Itu yang kami gunakan semasa menguruskan jenazah arwah.Sebagai seorang pegawai perubatan, aku terpaksa pronounce death ke atas Tok sendiri. Emosiku sangat terkawal pada hari itu, alhamdulillah, diberiNya kekuatan. Ketika ayah keluar mengambil mak pulang dari tempat kerja, aku menelefon kedua-dua abangku. Teruknya cara aku break the news..failed! Sia-sia belajar Behavioural Science dulu. Tapi yang penting maklumat itu sampai secepat mungkin. Mereka perlu pulang segera!
Kerja-kerja mendapatkan khidmat pengurusan jenazah, laporan polis hinggalah penguburan diselesaikan oleh ayah dengan bantuan Pak Hussin. Aku bertindak menguruskan rumah, memaksimakan ruang sebanyak mungkin untuk tetamu yang bakal menziarahi jenazah nanti. Mak pula mula menyebarkan berita kematian itu kepada sanak-saudara.
Aku percaya bahawa Allah telah kurniakan kesudahan yang baik terhadap arwah. Allah menutup aibnya sebaik mungkin. Arwah meninggal selepas siap aku mandikannya dan pakaikannya dengan baju bersih. Tubuh badannya bersih, tiada najis, tiada bauan yang tidak enak. Alhamdulillah.
Kesibukanku menguruskan hari tersebut menyebabkan aku tiada masa untuk melihat tetamu yang datang. Daripada ratusan penziarah, aku hanya sempat bersalaman dengan dua puluh orang lebih sahaja.Aku harap mereka memahami situasiku. Aku banyak berada di tempat jenazah dimandikan, menolong apa yang patut, sehinggalah jenazah dikapankan. Kemudian segera mengikut YB ke surau untuk solat jenazah dan upacara pengebumian.
Pelbagai karenah penziarah yang dapat kurakamkan dalam ingatan. Ada anak saudara arwah (lelaki) yang begitu menghargainya, dia segera ke hadapan apabila pengurus jenazah panggil saudara terdekat untuk menjiruskan jirusan-jirusan terakhir terhadap jenazah. Dia juga menghulurkan sumbangan yang agak banyak kepada mak walaupun dia bukanlah dari kalangan yang berada. Ada pula anak saudara arwah yang pernah offer untuk menggunakan rumahnya (yang jaraknya 45 minit) untuk urusan pengurusan jenazah. Katanya kami di sini tak kenal sesiapa.Dia menelefon ke rumah pada pagi itu dan bertanya tentang urusan, aku yang menjawab panggilan itu , dan memberitahunya bahawa kami uruskan jenazah di rumah kami sahaja dan kami telah memanggil pengurus jenazah bertauliah dari kawasan kami (pakej).Mungkin dia merajuk (sekadar andaian), dia datang ke rumah pada hari itu tetapi tidak bertegur sapa pun dengan mak atau ayah, apatah lagi untuk masuk ke rumah melihat arwah.
Ada pula mak cik yang rumahnya begitu dekat dengan kami tapi tidak pernah sekalipun menjenguk arwah sejak arwah tinggal di sini hampir dua tahun lalu, tiba-tiba menunjukkan mukanya tatkala nyawa sudah keluar dari badan. Kami hanya bersangka baik. Mak menyambut kehadirannya dan bersalaman dengannya, malah offer untuk pergi melihat arwah buat kali terakhir.
Dalam ramai penziarah yang hadir, rupanya ramai yang tidak berminat untuk ikut ke kubur. Hanya ayah, aku, abang long, YB, isteri YB, dua sepupuku, adik ipar ayah, menantu adik ipar ayah dan Pak Hussin yang ikut ke kubur. Alhamdulillah kelima-lima cucu arwah ada bersama. Pakej pengurusan jenazah itu include bacaan talkin di kubur. Sungguhpun dikatakan talkin itu tiada dalam sunnah, aku tetap merasa GERUN mendengar bait-bait ayat yang dibacakan. Cukup untuk menyedarkan dan menginsafkan diri.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah Tok dan tempatkannya di kalangan hambaNya yang beriman. Semoga tiada kesalahan kami yang arwah tidak ampunkan.Sesungguhnya kami amat menyayangi arwah.
Peristiwa kematian ini sedikit sebanyak membantutkan semangat untuk pilihanraya nanti. Berhenti sekejap bagi memberi ruang kepada hati ini untuk bertenang. Sesekali apabila teringatkan saat-saat terakhir arwah, aku menjadi sangat hiba. Nanti bila semangatku dah datang semula, akan ku sambung perkara-perkara yang belum selesai...
Aku sudah menempah baju untuk PRU13 nanti, kalian bila lagi?
No comments:
Post a Comment