Sunday, March 16, 2014

JALAN KELUAR

Alhamdulillah...segala puji bagi Allah. Allahu akbar. Subhanallah.

Walaupun terpaksa menghadapi satu kematian yang pahit pada rabu lalu, sebenarnya ada banyak lagi perkara lain yang manis. Allah sudah mula menunjukkan jalan. Hanya manusia yang perlu mula melihat.

HUJAN

Sejak semalam, hujan turun dengan lebatnya pada waktu petang. Basah bumi disimbahi rezeki. Suatu keadaan yang amat kunantikan setelah hampir dua bulan bumi gersang. Aku pernah menulis entri berkenaan hujan yang kucintai tatkala belajar di Cork dahulu. Bagaimana aku meredah hujan dengan basikal, melawan arus angin, hujan sesejuk ais...itu semua nikmat yang kuhargai. Aku suka suasana hujan. Menginsafkan. Menyejukkan. Namun, jika hujan terlalu lebat, aku risau. Risau pada pengguna jalan raya. Risau jika ayah dan mak perlu ke tempat jauh dengan menaiki motorsikal. Risau pokok tumbang, risau jalan pecah...risau banjir...
Semoga nikmat hujan yang kembali ini dapat memulihkan masalah kekurangan air di empangan, terutama di Selangor.

MH370

Sudah seminggu ia hilang, masih belum dapat dikesan. Penemuan bukti terbaru lebih mengarah kepada pesawat dirampas. Siapa yang rampas? Kenapa nak rampas? Di mana ia sekarang? Masih menjadi tanda tanya. Aku yakin, sedikit demi sedikit persoalan ini akan terjawab.

Amat tertarik dengan persoalan yang dilontarkan oleh mak dan ayah tadi. Dalam waktu begini, kenapa orang-orang bijak pandai bab "melihat" ni tak dapat petunjuk tentang pesawat? Mereka begitu yakin memberitahu bahawa orang ini disihir oleh orang itu, si dia yang buatkan si fulan jadi sakit, siap gambarkan yang penyihir itu seorang lelaki, umur 50-an, orang dekat, orang jauh...etc...Kenapa masa pesawat ni hilang, mereka tak suarakan ilham mereka?

Semuanya dengan izin Allah...ingat senangkah nak belajar ilmu baca-membaca ni? Ingat senangkah Allah nak bagi ilham hanya selepas amalkan doa-doa seminggu dua? Sedangkan orang alim ulama pun susah nak dapat ilham inikan pula orang biasa-biasa, yang solatnya sekejap khusyuk sekejap tak khusyuk, yang dosanya banyak, yang hubungannya dengan manusia rapuh, apatah lagi dengan Allah...? Tepuk dada, tanya iman, adakah itu ilham dari Allah atau...?

ALAHAI BOMOH 1 MALAYSIA

Namanya saja dah tahu dah orang siapa. Bukan senang-senang boleh buat ritual di KLIA jika encik boss tak bagi. Tak kena soal siasat polis pun. Yang buat solat hajat kena soal polis. Satu dunia gelakkan Malaysia. Yang lebih penting, orang Islam jadi celik mata, celik hati. Mereka tahu, itu syirik, itu khurafat. Sekurang-kurangnya masih ada yang bersifat Furqan, yang alim ulama pakat bagi ceramah tentang bahaya khurafat. Satu musibah yang membawa kepada rahmat. Tapi malu tetap malu. Apa agaknya ahli-ahli keluarga geng tikar terbang tu rasa? Semoga Allah tunjukkan jalan buat mereka...

MATI DI KONSERT

Setiap kali solat, berdoa agar Allah matikan kita dalam husnul khatimah. Pengakhiran yang baik. Bayangkan jika kita mati di konsert...mati akibat overdose dadah pula tu...Astaghfirullah...pengakhiran yang sangat buruk. Di manalah tempat kita di akhirat nanti jika  mati begitu. Konsert Future Music Festival itu tidak patut langsung diteruskan. Tidak menghormati sensitiviti rakyat yang terlibat dengan MH370. Tidak dikawal selia sebaiknya. Bagaimana dadah boleh terlepas begitu? Banyak pula tu, sampai overdose? Ramai pula Melayu Muslim yang pergi. Yang survive, hantar gambar seksi-seksa mereka di instagram. Yang mati, apa perasaaan keluarga mereka? Cukup-cukuplah tu dengan konsert. Tak mati jika tak pergi konsert. Tapi mati pula bila pergi konsert macam ni. Harap pihak berwajib siasat segera dan telus dengan outcome nanti.

KEMBALI KE JABATAN LAMA

Jumaat lepas, surat yang dinanti-nanti telah kunjung tiba. Alhamdulillah, khidmatku di jabatan pediatrik hanya berbaki dua minggu, lepas itu, aku bebas kembali ke jabatan lama. Tiada lagi oncall yang menyeksakan. InsyaAllah akan kugunakan masa dua minggu ini sebaik mungkin. Bekerja wajib ikhlas, niat Lillahitaala.

AKTIVITI

Sekarang dah aktif balik dalam aktiviti luar. Bosan...asyik bekerja saja, perlu buat aktiviti lain juga. Baru pulang dari mesyuarat urusetia untuk satu aktiviti yang best..bulan depan jadual pack...dua weekend dah kena booking. InsyaAllah, demi ummah, dan demi diri yang perlu diisi oleh ilmu ukhrawi. Perlu sibukkan diri untuk melupakan segala kesedihan. Jika tiada yang sudi mendampingi diri, aku lebih sudi mendampingiNya. Rasa sangat tua saat berkenalan dengan urusetia lain tadi. Masa mudaku telah berlalu, kini hanya mengisi masa akhir hayatku. Tua atau muda, ajal pasti menanti.

Masih ada beberapa lagi perkara yang belum ditemui jalan keluarnya. Mungkin diri sendiri yang kurang berusaha. InsyaAllah, perlu usaha keras lagi. Moga Allah tunjukkan jalan keluarnya, biar kebenaran nampak depan mata, biar kesedaran timbul sebelum maut menjelma. Selepas Allah dan Rasul, pasti ada ibu bapa...rugilah mereka yang dikurniakan ibubapa tetapi tidak tahu menghargai mereka. Khuatir suatu hari nanti, anak-anak sendiri yang membuang kita...

No comments:

Post a Comment