Tuesday, July 08, 2014

Perbandingan

Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah. Sesekali rasa bagai tidak mampu untuk menjaga kedua-duanya. Nikmat kesihatan diambil semula dalam sekelip mata. Kesakitan menjadi penghapus dosa-dosa kecil. Mungkin sakit biasa pada pandangan perubatan. Mungkin sakit yang didatangkan oleh manusia yang busuk perut. Ala kullihal, Allah yang mengizinkannya berlaku. Tentu ada hikmahnya. 

Syukur kerana bekerja dalam bidang ini. Darah, najis, serta bau hospital bukan lagi asing bagiku. Aku belajar cara memakaikan diapers dewasa pun melalui pemerhatian semasa bekerja. Jika aku sanggup menguruskan kencing berak arwah tok dahulu, inikan pula ibu sendiri. Ayah sendiri. Mereka sudah membesarkan aku dengan keperluan asas yang cukup, dan menjadikan aku seorang manusia. Mana mungkin aku melupakan jasa mereka. Tanpa mereka, aku tidak akan berada di sini.

Teringat pada sebuah artikel nukilan Ustaz Hasrizal, jika tak silap tulisannya berkisar "cinta tanpa syarat". Salah satu perkara yang dikupasnya ialah bagaimana seseorang itu berubah selepas berkahwin dan mengenali keluarga mertuanya. Ditakdirkan bahawa keluarga baru itu baik serba-serbi. Cakap lemah-lembut, ambil berat, tidak lokek duit, peramah... Lalu mula dibanding-bandingkan dengan keluarga sendiri. Dua puluh tahun lebih hidup bersama keluarga, tiba-tiba baru sebulan dua masuk ke dalam keluarga baru, sudah mula berubah.

Begitu juga seorang lelaki/perempuan yang sesekali bermalam di rumah rakannya, mula membuat perbandingan setelah melihat layanan baik keluarga rakannya. Maka mulalah berkata," alangkah baiknya jika ibu bapaku jua begitu." Manusia memang suka membanding -bandingkan, cuma adakah kita sedar dengan setiap perbezaan itu dan bersyukur dengannya? Tepuk dada, tanya hati. 

Siapakah yang melahirkan dan membesarkan kita? Siapa yang susah bekerja untuk mencari wang untuk memberi kita makan dan memberi pendidikan kepada kita? Rumah siapakah yang kita rasa paling selamat, walaupun ia kecil dan sempit? Sakit demam kita dahulu, siapakah yang bersengkang mata menjaga kita? Adakah isteri/ suami kita yang baru dikahwini? Adakah ibu bapa mertua yang baru dikenali? Adakah ipar duai kita? Adakah ibubapa rakan yang menjaga kita?

Jika temui jawapannya, kembalilah ke pangkal jalan. Saidina Ali pernah berkata, jagalah kedua orang tuamu, kelak anakmu akan menjagamu. 

Semoga aku dapat bertawasul dengan kebaikanku terhadap ibubapaku pada saat aku memerlukannya nanti. Ameen.

No comments:

Post a Comment