Monday, July 21, 2014

Takziah MH17

Innalillahi wainna ilaihi raajiun
Takziah kepada semua ahli keluarga dan kenalan mangsa MH17.

Sungguh tidak diduga. Belum pun selesai misteri MH370, satu lagi MH hancur berkecai, ditembak! Sungguh kejam pihak yang melakukannya. Tanggunglah dosa membunuh ratusan nyawa.

Dahulu, selama enam tahun aku berulang-alik Penang-Cork, aku sentiasa berasa yakin bahawa penerbanganku selamat. Malaysia Airlines punyai rekod penerbangan yang cukup bersih. Sungguhpun ada penerbanganku yang dilanda gegaran kuat, aku tetap yakin bahawa tiada apa-apa yang buruk akan berlaku. Kini, setelah dua tragedi menimpa MH, aku menjadi lebih ragu-ragu. Bukan meragui MH, tetapi rasa takut terhadap nahas di udara. Berdebar rasanya ketika mahu menaiki kapal terbang, sedangkan kemalangan di jalan raya jauh lebih tinggi kadarnya berbanding kemalangan di udara!

Itulah route yang aku lalui dahulu. Alhamdulillah, selamat. Malah, penerbangan antarabangsa terakhirku adalah dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, menaiki KLM. Alhamdulillah, ajalku bukan dengan cara begitu.

Allah...aku tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan penumpang-penumpang MH17 itu saat kapal mahu terhempas. Adakah mereka menjerit ketakutan? Adakah mereka sempat mengingati Allah dan bertaubat? Adakah mereka sangat takut dan ngeri menanti maut? Yang sedang tidur mungkin hanya sempat tersedar sesaat, tanpa memahami apa yang berlaku. Mungkin juga yang terus ditidurkan, tanpa sedar-sedar. Mungkin juga kesan tembakan peluru berpandu itu menyebabkan penumpang cedera atau terkorban, sebelum kapal itu terhempas lagi. Amat ngeri membayangkannya. Semoga mereka melalui detik kematian yang mudah dan tidak menyeksakan. Sesungguhnya mereka tidak bersalah!

Saat memandu pulang ke rumah mak ayah petang Jumaat lepas, rasa begitu sayu. Bayangkan, jika aku terlibat dalam kemalangan dan maut serta-merta di tempat kejadian. Sempatkah untuk aku bertaubat? Sempatkah mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga? Sempatkah memohon kemaafan ? Bagaimana perasaaan mak dan ayah yang kutinggalkan dalam sekelip mata itu?

Ya Allah, matikanlah aku dengan cara yang baik, kurniakanlah aku husnul khatimah.

No comments:

Post a Comment