Thursday, May 02, 2013

Suci Dalam Debu

Nukilan FB Ustaz Hasrizal Abdul Jamil


" Arghh, politik kotor. Saya tidak mahu campur!"

Pendapat ini, hanya akan terbit daripada satu antara dua keadaan diri iaitu:

1. EGO. Menganggap semua yang ada di sekelilingnya tidak cukup bagus untuk beliau berpihak.

2. JAHIL. Tidak memahami peringatan Nabi Sallallahu alayhi wa sallam, bahawa hakikatnya, kebaikan di akhir zaman memang berselaput dengan ASAP, rumit untuk dicari, dan hanya boleh ditemui dengan jiwa yang jernih mencari kebenaran. Politik akhir zaman memang sangat kotor, dan ia bukan alasan untuk mengenepikannya.

SUCI DALAM DEBU - hadith Huzaifah bertanya Nabi:

Orang ramai lazimnya bertanya kepada Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam tentang kebaikan. Aku pula bertanyakan baginda tentang kejahatan kerana khuatir terjebak dengannya.

Lalu aku bertanya," Wahai Rasulullah, dahulunya kami berada dalam jahiliah dan kejahatan, kemudian Allah mendatangkan kebaikan ini (perutusan Islam oleh Muhammad), apakah selepas kebaikan ini ada lagi kejahatan?"

Baginda menjawab, "ADA"

Aku bertanya lagi," apakah selepas kejahatan itu ada lagi kebaikan?"

Baginda menjawab," ADA. Akan tetapi ia diselubungi asap."

Aku bertanya lagi," Apakah asap itu?"

Baginda menjawab," Iaitulah kaum yang mengambil petunjuk bukan daripada petunjukku. Kamu tahu siapa mereka dan kami mengingkarinya."

Aku bertanya lagi, " Apakah selepas kebaikan (yang diselubungi asap) itu ada pula kejahatan (yang seterusnya)?"

Baginda menjawab," ADA. Iaitulah pendakwah ke pintu Jahannam. Sesiapa yang menyahut seruan tersebut akan dicampakkan ke Jahannam."

Huzaifah berkata," Wahai Rasulullah, terangkan kepada kami karekter mereka."

Baginda menjawab," Mereka itu kulitnya seperti kulit kita dan bercakap dengan bahasa kita sendiri."

Huzaifah bertanya," Apakah yang engkau perintahkan seandainya aku bertemu dengan zaman itu?"

Baginda menjawab," Hendaklah engkau beriltizam dengan kesepakatan (jemaah) kaum Muslimin dan imam-imam mereka."

Huzaifah bertanya," Apakah yang perlu aku lakukan jika ketika itu tiada jemaah dan tiada imam?"

Baginda menjawab," Tinggalkan kesemua kelompok itu walaupun engkau terpaksa berkeadaan menggigit akar pokok, sehinggalah maut mendatangimu dan engkau kekal dalam keadaan itu."

Hadith riwayat al-Bukhari, no. 3606.

No comments:

Post a Comment