Friday, March 25, 2011

Misteri Nusantara

Ketika itu sudah hampir Maghrib. Aku dipanggil ke triage untuk clerk new patient. Sahabatku juga pergi bersama, kebetulan memang ada dua pesakit sedang menunggu. Menarik, pesakitku seorang jurulatih scuba diving di Pulau Redang, datang ke hospital kerana reduced fetal movement. Semuanya seperti biasa hinggalah aku berduaan dengan pesakit itu. Sahabatku sudah menyelesaikan bahagiannya, malah menolongku untuk mengambil darah pesakitku itu.Tiba-tiba pesakit itu berkata bahawa dia tidak boleh tinggal di ward, kerana baru sahaja mengalami gangguan halus. Aku cuba menerangkan kepadanya bahawa kes sepertinya memerlukan admission selama 24 jam untuk pemerhatian. Dia keluar memanggil ibunya.

Ketika aku baru mula memberi penjelasan kepada ibunya, satu persatu wajah menjenguk ke bilik triage yang sempit itu.Tak mahu ramai-ramai, tunggu kat luar, okay. Kataku kepada kaum keluarga yang menjenguk-jenguk tadi. Ibunya memahami penjesalanku dan cuba memujuk anaknya.Tanpa diduga, suara pesakit itu berubah secara tiba-tiba, menjadi serak dan seakan-akan suara seorang lelaki. Allahuakbar!

Meremang bulu romaku."Nak balik malam ni juga, kena balik malam ni juga". Berulang-ulang kali pesakit itu berkata dengan suara sedemikian. Aku dan nurse saling berpandangan."Dia mula ganggu dah.." Kedengaran si ibu berkata.

" Doktor, baik inform MO yang dia tak mau admit."Nurse menggesa. Aku segera bangun dan keluar dari triage, dengan hati yang berdebar-debar. Allahuakbar, apa yang kulihat dalam drama berlaku depan mataku! Kutemui MO di tingkat atas, dia agak kurang percaya tetapi memberi penyelesaian yang baik. Tak payah admit, buat scan dan CTG cukup, lepas tu AOR discharge.

Ketika MO turun ke triage, pesakit itu masih seperti tadi, wajahnya expressionless, kepala kaku. Tiba-tiba dia gelak mengekek.Pelik benar bunyinya. Aku tahu pasal maternal blues dan postpartum depression, tapi antenatal ???.Lepas scan, aku hantar patient ke ward untuk buat CTG, sebelum tu dia berulang kali kata pada ibunya supaya balik sebelum Isyak. Aku tinggalkan dia dan berlalu ke surau untuk solat Maghrib bersama sahabatku.

Dua malam berikutnya ketika mahu pulang dari tagging dalam pukul 12 tengah malam, aku nampak seorang pesakit yang baru sampai dengan keluarganya, siap bawa beg pakaian, wajahnya seiras dengan pesakit itu. Dia tidak senyum padaku, mungkin kurang mengenaliku kerana aku sudahpun menanggalkan white coat dan name tag. Tapi aku pelik,hari tu tak mahu admission, takkan kali ni mahu pula. Sudah sembuhkah daripada gangguan itu, atau itu orang lain sebenarnya?

Beberapa hari kemudian, rakan sekerjaku bercerita mengenai pengalamannya berdepan pesakit yang hampir serupa keadaannya. Mungkinkah itu pesakit yang sama? Hmmm.

Dan esok adalah oncall pertamaku di jabatan ini, di bilik triage yang bersejarah itu. Juga bakal menjadi kamar malamku nanti. Semoga Allah permudahkan segalanya. Amin.

Tuesday, March 22, 2011

Hairan

Jika boleh bercakap, mengapa harus menengking? Suasana yang tidak kondusif untuk membina minda yang progresif. Setiap hari risaukan permulaan yang hitam dan perit. Hairan bagaimana manusia seperti mereka mampu hidup di bawah bumbung hitam yang pekat legam. Tidak bisakah berbicara bagai manusia yang punya hati dan perasaan? Seakan-akan mereka dahulunya begitu sempurna, tiada cacat cela. Manusia mudah lupa, sudah dapat menggapai langit, lupa pada daratan yang dahulunya tempat berpijak. Semoga aku tidak akan sekali-kali tergolong dalam kelompok itu.

Jika di Ireland dahulu, berdasarkan pengalaman yang serba singkat itu, aku dapati jabatan ini lebih bahagia. Daripada intern sampailah kepada consultant, semuanya baik belaka. Setiap hari menguntum senyuman manis, mendamaikan jiwa. Jururawat juga kebanyakannya baik dan sangat merendah diri, walau pengalaman bertahun-tahun di situ. Tidak seperti di sini, specialist bukan main lagi garang, bagai singa yang menunggu untuk membaham mangsanya. Baru sahaja membuka kad pesakit sudah dikatakan mengambil masa lama. Apakah yang mereka harapkan daripada kami yang baru hari pertama atau kedua bekerja di klinik itu? Jadi superman yang superfast kah?

Mereka yang diharapkan dapat membimbing kami pula dikhuatiri menghidap PMS selalu. Tidak semena-mena terdengar pekikan mereka menghiasi wad yang gloomy itu. Tahulah mereka stress, tapi perlulah pandai menguruskannya, bukannya dilempiaskan pada kami yang setahun jagung ini. Lagi sekali, seakan-akan mereka begitu sempurna semasa mereka menjadi kami. Manusia yang berulang-kali mengatakan bahawa dia tidak pernah mengadu domba rupa-rupanya lebih daripada itu. Terbongkar wajah sebenarnya saat kami meluangkan masa bersama kakak kerani yang serba tahu itu.

Mengapakah mereka memilih untuk hidup dalam suasana begini, sedangkan mereka ada pilihan untuk hidup dengan lebih tenang, tidak menyakiti dan tidak disakiti? Aku sangat tidak faham.

Dalam keadaan yang masih tidak difahami ini, masih ada manusia yang berhati mulia. Kebanyakannya yang berstatus junior. Posting pertama dan kedua. Kami menjadi gang, yang memahami antara satu sama lain, yang sama-sama pernah ditengking dan dipergunakan sehabisnya. Yang menjadi mangsa insan-insan yang sering menyakiti itu. Ternyata kami amat memerlukan antara satu sama lain. Tak sabar menanti rakan-rakan dari jabatan sebelum ini yang bakal mengisi jabatan baru ini.

Alhamdulillah berjaya off tag Jumaat lepas. Jawab viva macam apa saja, tapi jauh di sudut hati aku yakin bahawa aku layak untuk lulus, melainkan kalau examiner mahukan perfection. Sabtunya kami tiga beranak ke kenduri kesyukuran ibu saudaraku. Hmm…tidak tahu apa yang patut kurasa. Hairan bagaimana mereka semua boleh tahu pasal perkara itu. Berduyun-duyun pula mereka menasihatiku itu dan ini. Hakikatnya none of them are or were doctors. So do they really know how I live and how I suffer?

Pertemuan itu memang sudah ditentukan Allah, cuma destinasi seterusnya yang belum nampak. Sudah tentu mengharapkan sesuatu, tetapi bilakah masa yang sesuai untuk mengenalpastinya? Ya Allah, tunjukkanlah daku jalan yang benar, aku memerlukan sesuatu daripadanya, namun aku khuatir bahawa bukan itu yang terbaik buatku…

Tuesday, March 01, 2011

ANDAI



Aku sering bertanya pada diri sendiri, sejauh mana kehidupanku kini membawaku dekat pada Penciptaku? Sedalam mana pekerjaanku ini menambahkan kefahamanku pada agamaku? Setinggi mana kemuliaan yang ada pada profesionku yang dapat memuliakanku sebagai seorang insan?


Hidup tidak bererti jika hanya menjadi hamba duniawi. Jauh daripada jalan-jalan syurga.


Rindu pada waktu-waktu sibuk yang digunakan untuk berjuang. Perjuangan yang kecil namun amat bermakna. 


Andai dapat diputar waktu itu.
Andai hadir insan yang kembali membukakan jalan itu.
Andai pulang semangat itu.
Andai wujud suasana itu.


Andaian yang perlu ditukarkan menjadi kejadian.


Aku masih setia di sini, sendirian.Langkah pertama bermula semula.
Syukur pada Allah yang mengatur segalanya.