Monday, July 31, 2017

REZEKI

Dalam tahun ni saja ramai sahabat yang mengakhiri zaman bujang. Masing-masing masih muda usianya.
Tahun ini juga ramai sahabat yang dikurniakan rezeki anak.

Yanti, kini hamil anak ketiga. Umur 29 tahun, dah nak masuk tiga orang anak.
Kak Asma, sedang hamil anak keempat.
Nadia, berkahwin pada bulan November, terus mengandung. Mungkin dah dekat due nak bersalin.
Shihin, berkahwin bulan Januari, terus bunting pelamin, tak sempat kenduri sebelah lelaki, dah ada isi.
Sakinah, berkahwin beberapa bulan, berharap dapat anak, terus mengandung, dapat anak yang sihat dan comel, kini mengandung pula yang kedua.
Nad, juga bunting pelamin. Muda-muda dah jadi ibu.
Siti, anak kedua masih menyusu lagi, dah hamil pula yang ketiga.

Ramai lagi staf di tempat kerja yang hamil, tengok-tengok dah pakai baju materniti.

Murahkan rezeki mereka? Cepat hamil. Mengandung pun lancar sampai melahirkan. Anak sihat dan membesar dengan sempurna.

Besarnya kuasa Allah dalam mengatur kehidupan manusia. Adakah yang tidak berjaya mengandung tu Allah tak bagi rezeki?
Rezeki masing-masing. Ikut waktu, ikut keadaan.

Kak F, umur 45, dapat rezeki mengandung anak keempat, walaupun dah caesarean tiga kali, sepanjang tempoh hamil tiada masalah, tiba-tiba lepas lahir, tak sampai sebulan, bayinya ada tumour dalam kepala. Kini dalam proses rawatan kemoterapi.

Adakah aku manusia yang tidak bersyukur?

#bersyukur #berdoa #bersabar #berusaha #berbincang

Thursday, July 20, 2017

Kematian yang dicemburui

Hari tu 1 Ramadhan. Teruja pulang ke kampung, nak iftar dengan mak dan ayah. Usai solat Asar, terus siap-siap tunggu ayah pulang dari masjid, nak ke bazar Ramadhan. Ayah pulang membawa berita. Berita yang amat hiba.

Pak Teh terlibat dengan kemalangan jalan raya, motorsikalnya terbabas ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Kejadian berlaku dalam pukul 3.30pm. Impak jatuh semasa kemalangan sangat kuat, Pak Teh cedera parah hingga meragut nyawanya. Innalillahi wainna ilaihi rajiun.

Aku seakan-akan tidak percaya dengan berita itu. Berkali-kali tanya ayah, betulkah? Macam mana pemberi maklumat tu tahu? Masa tu memang mengharap sangat, yang itu hanyalah salah faham, dan mangsa kemalangan itu adalah orang lain dengan nama yang sama.

Terkejut, sukar untuk menerima berita itu. Terus temankan ayah masuk ke bilik, sampaikan berita pada mak pula. Mak juga terkejut sangat. Sepupunya dah tiada. Secara tiba-tiba. Tanpa diduga!

Kami teruskan juga hasrat ke bazar Ramadhan. Sungguh terasa kehilangannya. Saat kami masih bertatih di tempat baru itu, Pak Tehlah yang membantu kami serba-serbi. Pak Teh yang mula-mula nampak ayah di masjid dulu, dan arwah tersangatlah mengalu-alukan kedatangan kami di situ. Kenduri kesyukuran, Pak Teh yang kelola. Kenduri tunang, Pak Teh juga jadi orang kuat. Kenduri kahwin, Pak Teh pun semangat pakai baju batik ikut warna tema hijau. Aidilfitri, Pak Teh bawa segerombolan keluarganya datang beraya ke rumah. Jika mak ke masjid, Pak Teh nampak, pasti ditegurnya, "Kak Cik".

Pak Teh dah pergi selama-lamanya. Hayat Pak Teh sampai di situ saja. Tak sempat pun nak buka puasa hari pertama. Hanya sempat solat terawih pertama malam sebelum tu, dan menjadi orang yang bacakan selawat antara rakaat.

Balik dari bazar, ayah terus ke rumah Pak Teh. Jenazah masih di hospital lagi, menunggu untuk dimandikan dan dikapankan terus sebelum dibawa balik ke rumah. Sayu rasa hati. Saat ramai orang bergembira bersiap untuk berbuka puasa hari pertama, keluarga Pak Teh sedang bersiap-siap untuk menerima jenazah di rumah.

Malam tu aku ke masjid dengan hubby, mak dan ayah pergi kemudian. Terasa suram dan sayu suasana dalam masjid. Majoriti jemaah bercakap tentang kematian Pak Teh. Lepas solat Isyak, mak dan ayah terus ke rumah Pak Teh, tak menunggu terawih. Aku dan hubby habiskan terawih 8 rakaat dan terus berjalan ke rumah arwah, yang terletak 80 meter saja dari masjid.

Jenazah terbaring kaku di ruang tamu. Aku masuk dan menyalami Mak Teh dan memeluknya. Aku pun kelu lidah, tak tahu nak kata apa. Hubby duduk menunggu di luar rumah. Nampak kelibat mak, aku masuk ke dalam, ke ruang dapur. Nampak jubah kelabu Pak Teh yang siap diseterika, tersadai di atas meja.

Setiap kali kain penutup muka jenazah dibuka, aku ke hadapan untuk melihat wajah Pak Teh buat kali terakhir. Rasa belum puas berukhuwah dengannya. Dulu tak rapat pun dengannya sebab duduk berjauhan. Sekarang dah dekat, terasa rapatnya hubungan. Arwah juga selalu datang ke rumah hantar sayur-sayuran yang ditanamnya. Daging korban pun arwah datang hantarkan.

Jenazah disolatkan di masjid tepat jam 11 malam. Hubby pun tunggu sampai solat jenazah, ingatkan nak balik selepas jenazah dibawa ke masjid. Ramai sungguh masjid malam tu, terang-benderang disinari cahaya lampu. Ramai yang menyembahyangkan jenazahnya. Semoga ruh Pak Teh tenang di sana dan dicucuri rahmat Allah.

Selepas beberapa hari Pak Teh meninggal, aku masih terasa bagai arwah masih hidup. Terbayang-bayang susuk tubuhnya di masjid, terdengar-dengar suaranya memanggil mak. Hanya selepas 3 minggu barulah rasa boleh terima pemergian Pak Teh.

Ajal maut Allah dah tentukan. Jika tiada kemalangan pun Pak Teh pasti meninggal hari itu juga. Ajal aku entah bila...semoga aku dimatikan dengan iman, dalam keadaan yang baik.

Bacalah al Quran



Dari fb ustazah Ainun Mardhiah  :                                     Bila ada ibu bertanya,

"Ustazah, saya sibuk sangat setiap hari. *Tak sempat baca Al-Quran.*Balik rumah kerja banyak, saya kerja..camana ya Ustazah?"

Saya takde jawapan.
Serius saya takde jawapan.

Sebab pada pendapat saya.. *Al-Quran bukan aktiviti sampingan yang aci buat sahaja..ia adalah KEWAJIPAN. 1 kewajipan kepada kita walau sesibuk manapun kita.*

Apatah lagi untuk kita yang bergelar isteri dan ibu..emosi turun naik. Ujian datang kiri kanan depan & belakang..Sampai kadangkala kita terduduk. Sedih sangat mengenangkan nasib diri..Sebab tu sahabatku, Kita sangat perlukan Al-Quran.

Jiwa akan sakit kalau tak baca Al-Quran dalam sehari.
Hati akan lemah kalau tak mentadabbur Al-Quran berhari-hari.
Kita jadi serabut, keliru tak tentu hala..
Rasa nak marah, gelisah sepanjang masa.
Itu tak kena,ini tak kena.

Saya faham..kita sibuk..
Tapi adakah itu jawapan yang kita nak bagi di depan Allah nanti?
Malu sangat dengan Allah..
Macam-macam nikmat Allah bagi kita.
Kita nak kahwin..Allah bagi suami yang baik..
Kita nak anak..Allah bagi anak-anak yang comel..
Kerjaya yang best..
Kawan-kawan yang memahami..
Tapi bab Al-Quran kita berkira sangat..kenapa?

Sibuk apa sebenarnya kita?
Sedang Al-Quran itu ayat Allah, yang jadi panduan untuk kita melangkah di atas bumi sehari-hari..

[TIPS UNTUK DEKAT DENGAN AL-QURAN ]

+Pertama sekali, paksa diri. Mula-mula memang susah. Bila dah jadi rutin, insyaAllah susah sangat nak tinggal..Tengah pangku anak pun kita rasa tak sabar nak baca Al-Quran.

+ Kalau tak pandai,belajar. Jangan Malu. Ia Fardhu Ain ke atas diri kita. Biar malu atas dunia, jangan kita malu di akhirat sana.

+Rutinkan setiap pagi baca Al-Quran. Bangun awal sebelum Subuh. Tak banyak page pun takpe janji konsisten. Bila ada masa, baca lagi. Jadikan rutin. Alah bisa tegal biasa.

+MUJAHADAH. Sakit nak buat, susahnya Ya Allah.. Tapi lawan malas tu. Lawan segala alasan tu. AKU BUAT KERANAMU YA ALLAH. Aku nak dekat dengan Al-Quran. Moga dengan membaca & mentadabbur Al-Quran aku makin mengenali zat dan kekuasaanMu Ya ALLAH.

InsyaAllah bila kita ikhlas nak berubah Allah akan tolong. YAKIN SAHABAT! :)

#bacaALQURANhatitenang
#berubahkeranaAllah
#impiHusnulKhatimah

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.