Sunday, December 28, 2014

Out Of Radar

Baru-baru ni entah macam mana tertekan status lama di Whatsapp - "out of radar", tiba-tiba hari ini dikejutkan oleh berita kehilangan pesawat Air Asia QZ8501 dari Surabaya ke Singapura. Innalillahi wainna ilaihirajiun. Masih belum ditemui hingga saat ini. Cuaca buruk dikatakan punca pesawat mungkin terhempas. Juruterbang telah meminta untuk menukar laluan, dan terbang lebih tinggi sebelum terputus hubungan. Semoga yang baik-baik saja semuanya. Tabahlah wahai ahli keluarga yang terlibat.

Saat banjir besar, pesawat hilang dan pelbagai lagi kejadian buruk / ujian yang berlaku ni, rasa serba salah pula nak promote event awal Februari ni secara besar-besaran. Khuatir dikatakan tidak peka, tidak kena masa. Namun promosi kena jalan juga.

Saat negara diuji macam ni pun masih ramai yang tak ambil pengajaran. Masih ramai yang leka dan lalai. Masih ramai yang tangguh untuk bertaubat. Masih ramai yang tak peduli nak bersihkan dosa. Masih ramai yang tak kisah untuk memohon keampunan kepada ibubapa. Tunggulah...tunggu. Silap haribulan buka mata dah di alam barzakh. Peringatan buat diri sendiri juga.

Saturday, December 27, 2014

Main Golf Tak Mengapa...

" Bermain golf ni sejak dulu lagi dilakukan oleh pemimpin-pemimpin. Sejak zaman TUn Razak, Tun Ismail lagi."

" Pemimpin pembangkang pun main golf juga, pergi bercuti ke luar negara juga."

Serius jawapan kebudak- budakkan. Malangnya ia datang daripada seorang Perdana Menteri. Tak payahlah nak kaitkan dengan pemimpin pembangkang mahupun pemimpin dahulu yang dah arwah pun untuk melindungi kelemahan diri. Lihat gaya bercakap dan eye contact pun dah tahu ketidakjujuran sedang berlaku. 

Tak pernah pula dengar pemimpin pembangkang main golf masa rakyat dilanda bencana besar. Kalau pemimpin dahulu macam Tun Razak tu tak tahulah.

Kalau Dato' Seri minta maaf saja kerana terpaksa memenuhi jemputan Obama pun tak mengapa. Rakyat sangat pemaaf. Tapi tak payahlah nak kona ke pembangkang pula. Nampak sangat tiada modal. Budak sekolah pun tahu permainan Dato' Seri.

Ni dah balik ni, jalankanlah tanggungjawab sebaiknya. Jangan tinjau dari pesawat saja. Pergi turun mengharung air bah, bawa wanita pertama Malaysia sekali.

Aduhai pemimpinku, PRU14 nanti kita tengoklah!

Thursday, December 25, 2014

Banjir dan Tsunami vs Golf

Innalillahi wainna ilahi rajiun. Takziah diucapkan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak. Semoga tabah mengharungi ujian Allah. Banjir pada tahun nampaknya yang terburuk, berlaku pula pada bulan Disember, begitu hampir dengan ulang tahun ke sepuluh tsunami 2004.

Masa tsunami 2004 dahulu aku berada di Ireland. Hanya mendapat perkhabaran penuh daripada seorang sahabat tentang kematian di Batu Feringghi. Barulah  aku sedar akan bencana itu. Kelam kabut menelefon mak dan ayah bertanya khabar. Mujur mereka selamat, cuma banjir lumpur sedikit dalam rumah. Masa tu tsunami dikaitkan dengan pesta seks Krismas yang dilangsungkan dengan penuh kemaksiatan. Manusia insaf sekejap, lepas tu buat lagi dan lagi. Tengok laporan di akhbar dan kaca televisyen, penangkapan GRO beramai-ramai. Walaupun setiap minggu ada tangkapan, setiap minggu jugalah ada kumpulan yang baru. Betapa manusia ni jadi hamba nafsu. Hamba seks. Astaghfirullah.


Esok adalah 26 Disember 2014. Genap sepuluh tahun tsunami berlaku. Mungkinkah ia berulang lagi? Ataupun Allah datangkan ia dalam bentuk banjir besar sekarang ni? Risau pula rasa nak memandu di Jambatan Pulau Pinang esok. Kalau cuti terus kan senang. Baru berangan-angan jika Malaysia menang Piala AFF Suzuki tempoh hari, dapatlah satu hari cuti peristiwa esok. Berangan sajalah. Malaysia menang tanpa piala. Menang 3-2 pada final kedua, namun tewas secara aggregat 4-3. Apa pun, tahniah Team Malaysia! Cuma ralat sikit sebab bukan Apek yang bermain sebagai posisi penjaga gol.

Tebing Sungai Kelantan


Banjir di Kelantan paling membimbangkan. Kuala Krai paling terjejas teruk. 500 mangsa banjir terperangkap dalam bangunan Sekolah Manik Urai, di tingkat 3 pula tu. Bagaimana dengan makan pakai mereka? Air Sungai Kelantan juga sudah melimpah. Bandar Kota Bharu juga sudah dimasuki air. Pesakit-pesakit di hospital dipindahkan ke tingkat lebih tinggi. Bekalan elektrik menggunakan generator. Bagaimana nanti bila janakuasa dah kehabisan tenaga? Pesakit-pesakit di ICU? Ya Allah, pulihkan semula banjir ini...

Pada saat rakyat Malaysia gusar dan bersedih dengan banjir, boleh pula pemimpin negara bercuti di luar negara. Siap main golf dengan Obama. Apakah??? Biar berbillion dana kau luluskan untuk bantu mangsa banjir, tetap tak sama dengan kau sendiri turun meredah air memberi bantuan. Rakyat nak tengok kau, bukan batang golf kau! Sangat kecewa dengan perkembangan ini. Jangan nanti balik tinjau guna helikopter saja. Kawasan negeri kau sendiri yang terjejas pun tak dipedulikan. Saat rakyat menderita, kau berseronok! Siapa pemimpin ni???!!!

Semoga Allah beri hidayah kepada pemimpin ini..jika tak boleh sedar juga, turunlah takhta. Semoga Allah beri kemudahan kepada semua mangsa banjir, jadikan mereka tabah dan kuat untuk menghadapinya. Semoga banjir akan semakit surut...Ya Allah, jika ini cara pembersih dosa-dosa kami, kami terima ya Allah...
Pemimpin berjiwa rakyat, meredah air bah

Sama-sama kita hulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa ini..



Monday, December 22, 2014

DOSA MENYAKITI HATI IBU DAN BAPA


Rasulullah saw bersabda yang maksudnya, “Semua dosa dilambatkan Allah hingga hari kiamat melainkan derhaka kepada ibu bapa, maka sesungguhnya Allah menyegerakan seksaan bagi yang bersangkutan sewaktu hayatnya di dunia ini sebelum matinya.” Ini jelas menunjukkan dosa anak derhaka dipercepatkan Allah balasannya ketika di dunia lagi dengan menimpakan bala kepada mereka.
Anak yang tidak menghormati ibu bapa tidak akan aman hidupnya ketika di dunia dan menerima balasan lebih hebat di akhirat. Umat Islam harus sentiasa sedar bahawa tiada siapa dapat menyangkal bahawa ibu bapa adalah orang yang paling berjasa dalam kehidupan kita. Ibu melahir dan mengasuh kita hingga ada ketikanya tidak mempedulikan kesenangannya demi keselamatan, kesihatan dan kebahagiaan si anak. Manakala bapa pula mencari nafkah siang malam bagi melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah, makan, pakaian dan menyekolahkan anak-anak.
Allah swt berpesan dalam Surah al-Israk ayat 23 dan 24 yang bermaksud, “ Tuhanmu memerintahkan kamu jangan menyembah selain daripada Nya dan berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang di antara keduanya telah tua jangan engkau mengeluarkan perkataan kasar, jangan pula engkau mengherdik, hendaklah engkau ucapkan perkataan yang mulia dan lemah-lembut kepada kedua-duanya,.
They are not perfect but SO MUCH so are we. At least they've done so much for us all these times. Ask yourself, what have YOU given them in return so far?
Just some bigheads, ego & perasan bagus.
Forgive us ya Allah...


-- got this from a junior's Fb

Friday, December 19, 2014

Kerinduan

Petang semalam, melihat keredupan yang mendamaikan, tiba-tiba rindu pada Ramadhan. Rindu pada suasana pagi hening saat bersahur, suasana siangnya yang walaupun kadangkala penat, tetap bersemangat bekerja. Masing-masing amat menjaga perilaku dan tutur kata, seolah-olah dosa hanya terhukum pada bulan Ramadhan...namun itulah magis yang ada pada kemuliaan Ramadhan. Rindu pada suasana petang...walaupun jalan jadi sesak kerana bazar Ramadhan, tetap terasa teruja untuk berbuka dan berterawih kemudiannya. Rindu pada kedinginan malam yang menggamit hati untuk berdiri dan sujud menghadapNya. Ya Allah, rindunya pada Ramadhan...moga bertemu lagi dengannya tahun depan, in sha Allah.

Mungkin kerinduan ini muncul kerana diri tidak tahan dengan suasana sekarang. Krisis akhlak yang semakin meruncing. Umpatan dan kejian menjadi-jadi. Puak-puak tertentu muncul. Orang ni kata kat orang tu. Melabel orang macam-macam. Astaghfirullah... Makin tidak selesa. Allah...beriku kekuatan untuk menangkis segala anasir ini. Aku tidak mahu terlibat dalam krisis ini. Aku mahu semuanya baik semula. Agama sama, didikan masih berbeza. Solat, tapi berterusan berbuat dosa. Lepas ni aku hanya mahu diam, jika ada kekuatan, aku akan mencegahnya. Aku mahu stay at least setahun lagi di situ, biarlah aku bekerja dalam suasana yang diredhai Allah.

P/S All the best untuk Team Malaysia AFF Suzuki Cup 2014. Perjuangan belum berakhir, harapan masih ada! Sabtu ni kita all out!

Thursday, December 11, 2014

Hendak Seribu Daya

Ahad lalu hilang mood nak bekerja keesokan harinya kerana kekalahan Malaysia kepada Vietnam 2-1 di tempat sendiri. Sembang-sembang dengan housemate, masih ada harapan lagi Malaysia ni dalam Piala AFF, jika kita all out macam lawan dengan Indonesia dahulu. Lupa terus yang perlawanan kedua di Vietnam adalah malam ni, sampailah bila dengar sorakan jiran baruku. Buka tv, tengok Malaysia dah lead 2-0. Biar betul? Cayalah team Malaysia. Terus parking depan tv. Rupa-rupanya Malaysia dapat penalti pada minit ke-4 selepas Indra Putra dijatuhkan. Safiq Rahim sekali lagi cemerlang dengan penaltinya. Gol kedua Mat Yo yang score (akhirnya). Tengah seronok tengok, tiba-tiba Vietnam dapat penalti pula atas kekasaran yang tidak seberapa pun, kononnya ada pemain Malaysia yang menarik baju pemain Vietnam dalam kotak penalti tu. Vietnam score 1-2. Malam ni Farizal jadi Goalie.

Kehangatan makin terasa apabila Indra Putra dapat bola di depan pintu gol sebelah kanan. Masa dia nak tendang ke tengah, kena pada kaki defender Vietnam dan gol!!! 3-1. Sebelum  berakhir separuh masa, Malaysia score lagi satu melalui sepakan sudut yang diambil oleh Piya dan disempurnakan oleh Kapten, Shukor Adan. Nampak Shukor Adan memimpin pasukan dengan baik. Malam ni team defender pun lebih kemas, Mahalli Jasuli tiada, Kunalan yang nampak menonjol di samping Zubir Azmi dan Fadhli Shaas.

Masuk separuh masa kedua, Malaysia lebih banyak bertahan. Berkampung ramai-ramai di bahagian pertahanan sampai tiada orang nak sambut bola di bahagian serangan. Piya digantikan oleh Baddrol Bakhtiar. Tak lama lepas tu, Vietnam yang bertali arus menyerang dapat peluang depan pintu gol. Walaupun dikawal oleh dua defender, bola bolos juga lalu ditendang kuat di depan pintu gol. Farizal memang tak boleh save dah. 4-2. Fuhh. Masa ni Malaysia macam baru tersedar, terus mempercepatkan perlawanan. Vietnam macam tak puas hati bila Malaysia lambat masa nak tukar pemain - Mat Yo dan Indra Putra dikeluarkan. Tapi alhamdulillah...Malaysia bertahan hingga ke akhirnya dan melangkah ke final dengan aggregat 5-4. Tahniah Harimau Malaya!

Nampaknya rakyat Malaysia boleh bersatu kerana bola sepak. Cuma insiden penonton Vietnam dipukul di Stadium Shah Alam tu tak patut berlaku. Itu bukan budaya kita. Kerana bola, dengar cerita Pencetus Ummah live pun start lambat, pukul 10 baru start. Yang tak minat bola, tidak berpuas hati dengan penangguhan ini. Dunia--dunia...

Minggu ni surprisingly bilangan pesakit di klinik berkurangan...alhamdulillah. Esok sehari lagi. Tapi Sabtu pun kena bekerja. Malam ada forum best!

Itulah, hendak seribu daya,..tak hendak seribu dalih. Malaysia Boleh!

Sunday, December 07, 2014

Zuriat Tanggang

Apa khabar agaknya dia? Sihatkah? Bahagiakah? Tidak rindukah pada ibubapa yang membesarkannya selama tiga puluh tahun? Tidak dicengkam rasa berdosakah kerana mengabaikan mereka? Tidak teringatkah pada adik-beradik yang sama-sama membesar suatu ketika dahulu? Tidak risaukah anak-anak yang sedang membesar ini bakal melakukan perkara yang sama kepadanya? Tidak terfikirkah yang ajal bakal menjelma tanpa sempat memohon kemaafan?

Dunia...dunia...
Walaupun bersifat fana, manusia tetap lebih mengagungkannya berbanding akhirat yang kekal. Jika semua manusia hidup bermisikan jannah, tak akan wujudlah jenayah dan kemungkaran di muka bumi ini. Takkan lahirlah zuriat-zuriat Tanggang, seperti yang dikupas dalam surat khabar hari ini. Mungkin apa yang berlaku berpunca daripada kekurangan ibu bapa juga, tetapi sebagai seorang anak yang beriman dan berilmu, tidak patut sama sekali melayani buruk ibu bapa. Gusar nanti perkara yang sama akan berlaku kepada mereka ini saat mereka tua nanti.

Walau hebat mana pun kita, jangan sesekali memisahkan ibu bapa dan anak-anak. Kita boleh mendabik dada, mengatakan bahawa kitalah isteri terbaik untuk suami, ataupun suami terbaik untuk isteri, tetapi jangan sekali-kali memisahkan pasangan kita dengan ibu bapa kandung mereka. Nerakalah jawabnya. Takut nanti suatu hari, kita yang terpisah dengan anak-anak sendiri.

Orang yang hidupnya menyakiti dan mengabaikan ibubapa, jujurlah mengakui yang dirimu tidak betul-betul bahagia. Masalah datang satu persatu. Kegembiraanmu hanya sebentar. Selebihnya kau menanggung perasaan hitam yang kau sendiri tidak dapat gambarkan. Insaflah...keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa. Jangan kau mimpi masuk syurga jika kau abaikan syurgamu di dunia ini. Seburuk-buruk ibu bapa, buruk lagi anak-anak derhaka!

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 23-24 yang bermaksud;

Dan Tuhanmu telah memerintahkan, hendaklah kamu jangan menyembah selain dari Dia (Allah), dan hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapa dengan sempurna. Jikalau salah seorang dari ibu bapamu atau keduanya sudah sampai kepada umur tua, jangan sekali-kali kamu berkata "Ah" kepada mereka. Dan jangan pula kamu menengking mereka. Dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang sopan.

Dan berbaktilah kepada keduanya dengan perasaan kasih sayang (yang mendalam) dan ucapkanlah, "Wahai Tuhanku! Kasihanilah keduanya (ibubapaku) sebagaimana mereka telah mendidikku sewaktu kecil."